suria

Noryn terharu, Atilia bersyukur ‘Malam Nada Biru’ dapat sambutan

Konsep latar set yang ringkas nampak menarik walaupun tanpa pentas dengan bermandikan cahaya biru sesuai dengan nama konsert 'Malam Nada Biru'. -foto The Star oleh BRIAN MOH
Konsep latar set yang ringkas nampak menarik walaupun tanpa pentas dengan bermandikan cahaya biru sesuai dengan nama konsert 'Malam Nada Biru'. -foto The Star oleh BRIAN MOH
Konsep latar set yang ringkas nampak menarik walaupun tanpa pentas dengan bermandikan cahaya biru sesuai dengan nama konsert 'Malam Nada Biru'. -foto The Star oleh BRIAN MOH

Permulaan yang membanggakan...begitulah yang boleh diluahkan tentang persembahan pertama konsert ‘Malam Nada Biru’ yang dipersembahkan oleh penyanyi Jazz, Atilia dan Noryn Aziz.

Konsert yang julung kalinya diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 30 dan 31 Julai lalu secara istimewa dan eksklusif itu pastinya meninggalkan kesan bermakna kepada semua penonton.

Dewan yang bermandikan cahaya biru itu begitu sesuai dengan konsep ‘Malam Nada Biru’ anjuran syarikat produksi Atilia, Mujik Productions dan Bsync Productions milik Noryn.

Begitu juga persembahan pembuka yang memang mantap oleh pemuzik Eric Lee (pengarah muzik dan keyboard); Tok Khon dan Sze Wan (keyboard); Jamie Wilson (gitar); Zailan Razak (bass); Lewis Pragasam (drum) dan Steve Thornton (perkusi) dengan alunan muzik Jazz daripada nada perlahan kepada nada rancak.

Seterusnya, Atilia mengambil tempat dengan menyanyikan lagu ‘Sangkar’. Pada saat ini, nyanyian Atilia tidak menghampakan penonton namun muzik yang terlalu kuat hingga vokal penyanyi latar, kumpulan Rteez iaitu Khairy, Zda dan Bai kurang didengari membuatkan persembahan menjadi tidak seimbang.

Selepas menghabiskan nyanyian sebuah lagu itu, Atilia sempat berkata-kata dengan menyifatkan konsert pada malam itu sangat intim dan dekat dengan penonton.

“Saya berasa bangga apabila berada di sini dengan menyanyikan lagu-lagu saya serta dibantu oleh orang di belakang saya.

“Malam Nada Biru ini merupakan malam yang akan dikenang sampai bila-bila..,” luahnya yang dijangka akan melancarkan album terbarunya pada September depan.

Selepas itu, Atilia mendendangkan lagu duetnya, ‘Oh Love’ dengan vokalis Hujan iaitu Noh dari album keduanya, ‘Indah’. Namun disebabkan Noh tidak dapat hadir, jadi pasangan duetnya diganti oleh Jamie Wilson.

Atilia tetap bertenaga ketika menyanyikan lagu seterusnya iaitu ‘Kau Gelombang’ yang dipetik dari album ibunya, Salamiah Hassan.

Walaupun lagu itu merupakan lagu lama, ia tetap menarik minat penonton untuk turut serta menyanyi.

Seterusnya, Atilia mengajak penonton untuk ‘groove’ bersama menerusi lagu ‘Harus Bagaimana’.

Ketika Atilia menyanyikan lagu runut bunyi Teater Muzikal P. Ramlee iaitu ‘Leka’, suasana menjadi lebih romantik apabila lampu dimalapkan ditambah dengan alunan lagu cinta yang syahdu dan lenggok suara yang merdu.

Selepas itu, cahaya lampu yang malap bertukar ke warna kuning manakala dekorasi ruang menyanyi yang ringkas tanpa pentas dan hanya dihamparkan permaidani bersaiz sederhana kecil.

Pemain percussion Steve Thornton juga mampu menarik perhatian penonton dengan gaya dan pelbagai alat muzik yang dimainkan.

Atilia meneruskan nyanyiannya dengan lagu kelapannya, ‘Ranjau’ bersama pemain trompet yang dijemput khas, Andy Wen sambil mengajak penonton mengalunkan nada ‘papapa....’.

Selepas 20 minit ‘intermission’, Noryn mengambil tempat dengan vokal yang tinggi dan lebih menyerlahkan persembahan.

Noryn juga nampak lebih energetik daripada Atilia sesuai dengan lagu yang dinyanyikan serta bijak menguasai ruang tempat nyanyian.

Penonton juga bagaikan bersetuju apabila mereka lebih memberikan tepukan gemuruh kepada Noryn.

Memetik kata-kata Noryn sebelum meneruskan nyanyiannya, “Kadangkala agak sukar juga untuk membuatkan orang terus-menerus menyokong saya bagi mengekspresikan muzik dan kebenaran muzik itu.”

Seterusnya, Noryn menyampaikan lagu ‘Kembalikan’ dan ‘Lara’ yang penuh dengan penghayatan dan butir bicara yang jelas manakala lagu ‘Kembalikan’ dinyanyikan dengan penuh dramatik, syahdu serta menyentuh jiwa.

Menerusi lagu ‘I’m Alright’, Noryn berkata ‘tanpa cinta, kita tiada kehidupan’ dan dia hanya menyanyikan lagu yang ditujukan untuk kaum wanita itu hanya untuk memberitahu yang dia berada dalam keadaan baik.

Noryn menyanyikan lagu ini dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan penuh penghayatan yang mendalam.

Lagu ketujuh yang dinyanyikan oleh Noryn adalah ‘Bila-Bila Saja’ dan lagu terakhir yang dialunkan secara duet adalah lagu dari single pertamanya, ‘Cerita Cinta’ manakala Atilia pula menyanyikan lagu ‘Sangkar’.

Secara keseluruhannya, ramai yang berpuas hati dengan iringan muzik yang mantap di samping nyanyian yang bertenaga daripada kedua penyanyi itu pastinya penonton merasa tidak rugi menghabiskan RM80 untuk sekeping tiket masuk menonton konsert yang dihoskan oleh Sazzy Falak itu.

Noryn terharu, Atilia bersyukur

Atas kejayaan konsert ‘Malam Nada Biru’ ini, Atilia mahupun Noryn berpuas hati dengan kelancaran konsert yang dipersembahkan itu.

“Alhamdulillah, permulaan konsert ini berjalan dengan lancar...,” luah Atilia seusai konsert itu.

Noryn pula berkata: “Saya berasa teruja, terharu dan seronok apabila penonton memberikan perhatian sepenuhnya kepada konsert ini.

“Kalau ketika kami menyanyi di kelab-kelab malam biasanya orang akan sibuk dengan makanan dan minuman masing-masing tetapi di dalam Lambang Sari ini ramai yang mahu memberikan tumpuan.

“Muzik kita susah untuk mendapat sokongan di luar..jadi sebab tu kita buat sendiri. Kami nak juga jemput artis indie pada persembahan akan datang.”

Atilia juga memberitahu produksinya mempunyai perancangan untuk menampilkan artis seperti Liza Aziz dan Azlina Aziz dalam konsert ‘Malam Nada Biru’ selepas ini.

Ini kerana menurutnya, konsert ini akan menjadi konsert bulanan yang akan diadakan pada setiap dua bulan sekali bermula bulan Oktober depan.

Artikel Lain