suria

Raja Lawak 3: Sepah nekad tidak akan berpecah!

Sepah yang terdiri daripada Mamat (kiri), Shuib dan Jep bersama trofi kemenangan mereka. -foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN
Sepah yang terdiri daripada Mamat (kiri), Shuib dan Jep bersama trofi kemenangan mereka. -foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN
Sepah yang terdiri daripada Mamat (kiri), Shuib dan Jep bersama trofi kemenangan mereka. -foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN

BERAKHIRNYA program Gelanggang Raja Lawak Astro musim ketiga pada Jumaat lalu tidak bermakna juaranya, kumpulan Sepah akan membawa haluan masing-masing di luar sana.

Biarpun ditawarkan bergerak secara solo, tiga orang anak muda yang dikenali sebagai Jep atau Nazri, Mamat dan Shuib ini mungkin tidak akan menerima tawaran tersebut kerana mereka sudah berjanji dan nekad tidak akan berpecah.

Jelas Sepah, konflik mungkin akan terjadi di mana-mana dan bila-bila masa sahaja, bagaimanapun mereka akan cuba membendung setiap perselisihan yang bakal berlaku kelak.

“Sedangkan lidah lagi tergigit. Jika ada masalah, kami akan atasi secara baik.

“Alhamdulillah sehingga kini persefahaman antara kami bertiga masih baik. Kami doakan semoga persahabatan kami semakin akrab.

“Tak adil rasanya kalau salah seorang daripada kami memilih untuk bergerak solo. Saya rasa seperti berlaku kezaliman antara kami.

“Kalau kami sudah pergi bertiga, jadi balik juga kena bertiga,” ujar Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 24, ketika sidang media selepas program tersebut berakhir di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

Sepah juga mengaku, disebabkan persefahaman membuatkan mereka berjaya meraih gelaran juara.

“Saya dan Mamat sudah berkawan sejak bersekolah di tingkatan 1 manakala kami mengenali Shuib sejak empat tahun lalu.

“Jadi, sebab itu kami dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain.

“Misalnya, jika dalam program ini orang biasa melihat kami biasa menggunakan bahasa kasar, jadi begitulah kami di luar,” tambah Jep.

Bercerita mengenai sebalik kisah perkenalan Mamat, Jep dan Shuib, Jep berkata dia mengenali Shuib ketika mereka sama-sama menghadiri sesi ujibakat Akademi Fantasia musim keempat dan musim kelima.

“Setahun selepas kami menjalani ujibakat AF itu, kami bertiga pergi mencuba ujibakat program Sinaran Pasport Kegemilangan.

“Kami memang lulus dalam ujibakat program tersebut, selepas itu lama juga kami tunggu tetapi tiada jawapan daripada pihak yang mengendalikan program itu.

“Waktu itu, kami menamakan kumpulan kami sebagai Sepah d’ Hawau.

“Selepas itu, pada tahun lepas kami masih lagi tidak berputus asa untuk menyertai ujibakat Raja Lawak Astro musim ketiga ini.

“Pada mulanya kami disingkirkan oleh pihak juri dan bukanlah peserta kegemaran mereka.

“Namun, mungkin sudah rezeki kami apabila akhirnya kami dipilih oleh pengurus saluran Astro Prima sebelum ini iaitu Khairul Anwar Salleh dan penerbit Homegrown Production Sdn. Bhd, Michael Christian Simon,” kata Jep yang bekerja sebagai ‘ramp agent’ di syarikat penerbangan Air Asia.

Ketika membuat persembahan, kumpulan ini dikritik suka menggunakan perkataan 'double meaning' dan 'kasar'.

Misalnya, ramai yang tergelak dan menganggap subjek burung yang digunakan sebagai bahan lawak berunsur 'double meaning' ketika persembahan bertemakan muzikal.

Tiga jejaka dari Kulai, Johor ini berkata mereka akan cuba mengubah gaya percakapan 'kasar' yang sudah menjadi tabiat mereka selama ini.

“Kami langsung tiada niat pun untuk menggunakan perkataan ‘double meaning’ di dalam lawak kami.

“Lagipun, kami tak boleh alih pemikiran orang. Kalau orang dah fikir seperti itu, seperti itulah jadinya.

“Tetapi selepas dikomen, kami akan cuba ubah kebiasaan kami itu. Maklumlah, kami ni ibarat bayi yang baru belajar merangkak,” terang Jep yang lebih banyak bercakap berbanding rakannya yang lain.

Atas kemenangan yang diraih, Sepah berjaya membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta jenama Citroen Picasso, wang tunai RM20,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Memandangkan hadiah tersebut terpaksa dikongsi bertiga, Jep berkata mereka memilih untuk menjual kereta yang dihadiahkan itu seterusnya membahagikan wang tersebut antara mereka bertiga.

“Pada mulanya, saya pernah berkata yang kami tidak akan jual kereta itu. Namun, selepas kami berbincang, kami fikir lebih baik kami jual kereta itu dan bahagikan wang itu sama rata.

“Kami bercadang untuk berikan sedikit wang itu kepada orang tua kami,” beritahu Jep mewakili Shuib dan Mamat.

Masuk sahaja hari ini, Sepah sudah pun bergelar artis dan mewarnai industri seni hiburan tanah air.

Bertanya tentang arah tuju mereka selepas ini, Jep berkata mereka akan mencuba setiap peluang yang diberikan seperti bidang lakonan.

“Setakat ini, kami belum tahu apakah tawaran untuk kami yang sedang diatur oleh Maestro.

“Tetapi, seperti yang kami tahu pihak Astro berminat untuk menawarkan kami berlakon drama di Astro Ria dan Astro Prima.

“Tentang program sendiri, kami belum diberitahu oleh pihak Astro lagi. Namun, jika berpeluang, kami bercita-cita untuk membuat sitkom seperti yang pernah dilakukan oleh kumpulan Senario.

“Jika boleh, kami akan memanggil Man Belon dan Am untuk sama-sama untuk menyertai kumpulan kami kerana mereka berdua ini berbakat dan boleh pergi jauh,” luah Jep yang menganggap Senario sebagai idola mereka.

Program baru untuk Sepah tiga minggu dari sekarang

Dalam pada itu, menurut pengurus saluran Astro Prima, Nizam Sani, pihak Astro akan mengaturkan rancangan untuk Sepah dalam masa tiga hingga empat minggu dari sekarang.

“Kami akan beritahu kelak tentang program untuk Sepah. Mereka akan diberikan program khas di Astro Prima dan Astro Ria.

“Mereka juga dibenarkan untuk menyertai stesen televisyen lain tetapi tawaran tersebut perlu melalui Maestro Talent,” kata Nizam.

Jihan berserah kepada rezeki

Peserta wanita yang berjaya memecah rekod peserta wanita pertama berjaya ke peringkat akhir dalam Raja Lawak, Nuur Jihan Musa atau Jihan, 26, mendapat tempat kedua dalam program ini.

Dengan itu, Jihan berjaya membawa pulang hadiah motosikal jenama Naza Blade 250R, wang tunai RM14,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

“Secara keseluruhannya, saya berpuashati dengan persembahan kedua yang bertemakan muzikal itu.

“Tentang perancangan selepas ini, kalau ada rezeki di sini, Insya-Allah saya akan mencubanya.

“Saya suka berlakon dan menari. Saya juga hendak cuba membuat ‘stand up comedy’. Saya mahu mencuba apa sahaja kerja di dalam bidang seni ini jika berpeluang,” tutur Jihan yang pernah menimba ilmu dalam lakonan teater di bawah tunjuk ajar aktres Fauziah Nawi.

Amir bergurau elak daripada dipeluk

Sementara itu, peserta yang mendapat tempat ketiga adalah Mohd. Amirullah Azmi, 21, atau Amir.

Amir tidak pulang dengan tangan kosong kerana dia turut berjaya membawa pulang hadiah iaitu wang tunai RM8,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Ketika beraksi di pentas, peserta berasal dari Kelantan ini tidak menunjukkan persembahan yang mengagumkan penonton.

Secara keseluruhannya, Amir masih mengekalkan corak persembahan yang lama dan kurang lawak.

Amir yang dikritik membuat persembahan syok sendiri oleh juri mengakui kenyataan tersebut.

“Syok sendiri? Betul kot. Saya hanya buat persembahan yang saya mampu,” ulas Amir ringkas.

Bukan itu sahaja, Amir juga seolah-olah ‘perasan bagus’ apabila dia menolak salah seorang peserta yang mahu memeluknya di akhir program tersebut.

“Tak delah. Bukan saya berniat nak menolak. Saya bergurau sahaja tu,” jawab Amir yang popular dengan tagline 'I'm sorry'.

Artikel Lain