suria

Nabil beralih ke dunia muzik pula

Nabil ketika merakam suara untuk lagu Radio yang turut dinyanyikan oleh Diana Danielle dan Imran Ajmain. -foto koleksi Imran Ajmain
Nabil ketika merakam suara untuk lagu Radio yang turut dinyanyikan oleh Diana Danielle dan Imran Ajmain. -foto koleksi Imran Ajmain
Nabil ketika merakam suara untuk lagu Radio yang turut dinyanyikan oleh Diana Danielle dan Imran Ajmain. -foto koleksi Imran Ajmain

SELAIN berjaya bergelar seorang pelakon, pengacara dan pelawak, juara Raja Lawak 2, Ahmad Nabil Ahmad, 26, turut memasang minat untuk menyanyi.

Walaupun diakui kurang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, namun Nabil masih menyimpan kemas minatnya itu.

Justeru, apabila ditawarkan untuk merakamkan lagu walaupun hanya menyanyikan serangkap lirik lagu, anak jati Negeri Sembilan ini tidak melepaskan peluang yang ada lantas terus menerima tawaran tersebut.

Baru-baru ini, Nabil diundang untuk merakamkan lagu ‘Radio’ secara trio dengan penyanyi Imran Ajmain dan Diana Danielle.

Lagu tersebut merupakan single ketiga Imran yang bakal dimuatkan di dalam album penuhnya pada bulan April nanti.

“Saya menyanyi sedikit sahaja dan tiada apa yang ‘gempak’ dengan nyanyian saya itu.

“Sebelum ini, bukan saya tak pernah menyanyi di khalayak ramai. Menyanyi hanya sekadar untuk suka-suka tu bolehlah.

“Kiranya ini merupakan kali pertama saya melalui proses rakaman lagu,” ujar Nabil dalam nada riang.

Ujarnya, dia tertarik untuk menerima tawaran nyanyian secara trio itu apabila melihat tugasannya tidaklah terlalu berat.

“Saya memang minat menyanyi tetapi dalam masa yang sama saya sedar yang saya tidak mempunyai ‘suara’. Jadi, apabila mendapat peluang ini, saya terus bersetuju. Lagipun, bahagian yang saya perlu nyanyikan tidak banyak.

“Tiada masalah untuk saya menyanyikan sedikit lirik lagu yang diberikan.

“Kalau saya diminta menyanyikan sebuah lagu memang tak dapatlah,” gurau Nabil dalam loghat Negeri Sembilan.

Tambah pemuda yang dikaitkan dengan pelakon Irma Hasmie ini, dia juga bakal bekerjasama dengan komposer Ajai atau Mohd. Faizal Maas tidak lama lagi.

“Insya-Allah, saya juga akan merakamkan lagu dengan Ajai nanti. Mungkin lambat lagi,” tuturnya.

Bukan itu sahaja, Nabil juga menunjukkan bakatnya di dalam pembikinan lagu dan lirik.

“Setakat ini, material untuk lagu yang bakal dinyanyikan itu belum ada lagi sebab saya belum gubah lagu dan liriknya.

“Baru ada satu hingga dua lagu yang masih dalam proses gubahan lagi. Apa yang boleh dikatakan, saya membuat lagu mengenai diri-sendiri,” cerita Nabil yang sedang menjalani pengambaran filem Momok The Movie dan menantikan kemunculan filem-filem lakonannya yang bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.

Antaranya adalah Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh betul, Notti, Pisau Cukur dan Ee..Hantu!!.

Sementara filem pertama lakonannya iaitu Sifu & Tongga telah pun menemui penonton di pawagam sejak 29 Januari lalu.

Selain itu, Nabil juga bergelar pengacara untuk program Ewah-Ewah, Pondok-Pondok dan Studio Nabil.

Dalam pada itu, Imran menambah, Nabil dan Diana terpilih untuk menyanyi lagu Radio kerana lagu tersebut mengisahkan tentang tiga artis yang mempunyai latar belakang yang berbeza.

"Lagu itu menceritakan tentang kisah hidup kami bergelar anak seni di mana saya, seorang penyanyi dan komposer yang mencuba nasib dari Singapura ke sini, Nabil pula merupakan artis kelahiran Raja Lawak yang semakin meningkat naik manakala Diana adalah budak yang berbakat tetapi orang lain tidak tahu.

"Jadi, saya gabungkan cerita sebenar ini ke dalam bentuk lirik dengan bantuan Adib Fabulous Cats.

"Sementara lagu itu digubah oleh saya," ulas Imran.

Menurut Imran, proses rakaman mengambil masa kira-kira setengah hari iaitu dari pukul 7 malam hingga ke 12 tengah malam.

"Semasa rakaman itu, ada huru-hara sedikit. Ikutkan kami hanya boleh menyelesaikan rakaman dalam masa satu hingga dua jam sahaja.

"Saya pun dah bagi demo lagu kepada Diana sejak lebih seminggu lalu tetapi pada hari itu dia kata belum mendengarnya.

"Jadi, rakaman itu dilakukan dalam beberapa kali disebabkan kami ingin berlatih terlebih dahulu.

"Menariknya, sepanjang rakaman itu Nabil sentiasa membuat lawak sehingga saya sempat merakam suaranya ketika berlawak untuk dimuatkan di dalam lagu itu.

"Sementara Diana pula merasakan lagu itu jujur dan berasa seronok apabila menyanyikannya," jelas Imran mengenai lagu yang dipecahkan kepada tiga rangkap untuk mereka bertiga.

Bercerita mengenai albumnya yang bakal menemui pendengar pada April depan, kini Imran berpuas hati dengan 90 peratus rakaman yang dibuat.

"Sekarang, saya perlu menunggu proses memasukkan vokal ke dalam lagu.

"Alhamdulillah, saya tidak menyangka yang album ini dibuat boleh dibuat dalam masa yang singkat berbanding album pertama saya yang mengambil masa selama dua tahun.

"Kandungan album ini mula dikumpul sejak Disember lalu dan sekarang sudah boleh selesai," beritahu Imran yang menggunakan beberapa studio rakaman termasuk studio milik penerbit Edrie Hashim di Damansara Perdana.

Selain itu, Imran turut menggunakan khidmat 'arranger producer' Khairafik Khairudin yang menggubah lagu untuk 'rapper' Caprice dan Dior.

Tambah Imran, untuk lagu terakhir di dalam albumnya nanti, dia ingin membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat dan berkebolehan untuk mencipta lirik lagu.

"Dalam minggu depan, saya akan membuat pertandingan untuk sesiapa yang boleh mencipta lirik lagu mengikut melodi yang saya gubah.

"Saya akan siarkan melodi mengikut rentak 'hahaha' di dalam You Tube yang boleh didapatkan di laman web imranajmain.com.

"Jadi, pemenangnya akan mendapat hadiah di mana saya akan merakam lirik lagu tersebut untuk dimuatkan di dalam album saya nanti.

"Lagu tersebut merupakan lagu terakhir yang akan dirakam nanti," ujar Imran yang akan membuka pertandingan itu selama seminggu.

Jelas Imran, dia membuat pertandingan itu kerana sebelum ini dia tidak tahu bagaimana hendak 'approach' orang biasa untuk membuat lirik.

"Sebelum ini saya ada menerima lirik tetapi tidak berlagu oleh peminat saya. Jadi, saya tak tahu nak buat apa. Jadi, ini merupakan cara saya untuk mengajak peminat terlibat sama di dalam pembikinan lagu saya," kata Imran mengenai lagu yang digubah dalam rentak balada itu.

Dalam pada itu, Imran juga rasa berbesar hati apabila Pengarah Metadome Sdn. Bhd. Ferhard Ahmad kerana memberikan sepenuh kebebasan kepadanya untuk menunjukkan kreativiti.

Metadome merupakan syarikat yang menerbitkan album Imran.

"Insya-Allah, selepas ini kami mempunyai harapan tinggi untuk membuat video lagu Radio," akhiri Imran.

Pada hari Sabtu dan Ahad ini, Imran akan ke Sungai Petani dan Pulau Pinang bersama Liyana Jasmay, Nurul, Zhana, Fabulous Cats dan Nitrus untuk menjayakan 'roadshow' yang dianjurkan oleh Metadome.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain