suria

Linda-Que idam ramai anak

Wajah ceria Linda dan Que selepas selamat diijabkabulkan pada 14 Februari lalu di Bora Ombak, Ampang. foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Wajah ceria Linda dan Que selepas selamat diijabkabulkan pada 14 Februari lalu di Bora Ombak, Ampang. foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Wajah ceria Linda dan Que selepas selamat diijabkabulkan pada 14 Februari lalu di Bora Ombak, Ampang. foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

MUNGKIN tidak ramai selebriti yang inginkan bilangan anak yang ramai apatah lagi dengan jadual karier seni yang adakalanya tidak menentu, namun tidak bagi pasangan pelakon Que Haidar dan koreografer Linda Jasmine Hashim yang merancang untuk mempunyai ramai anak pada masa akan datang.

Selepas selamat diijabkabulkan pada Hari Kekasih iaitu 14 Februari lalu di Bora Ombak, Ampang, pasangan ini berdoa semoga rezeki untuk mendapat anak disegerakan oleh Allah.

“Kalau boleh saya dan Linda inginkan anak secepat mungkin dan seramai yang boleh,” kata Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 30.

Dalam pada itu, Linda, 37, juga bersetuju dengan apa yang diberitahu oleh suaminya itu.

“Saya juga sama sahaja. Saya suka sangat untuk mendapat anak lagi, Insya-Allah. Kalau boleh saya hendak ramai anak,” luah Linda sambil tersenyum.

Menurut Linda, dia memang telah lama memikirkan untuk berkahwin lagi namun, tidak menyangka yang jodohnya itu adalah Que.

“Apabila kita jatuh hati dengan seseorang dan merasai kasih sayangnya, secara semulajadi kita akan rasai semua ini.

“Apa yang istimewa tentang Que, dia sangat ‘sweet’, jujur, serta boleh membuat saya ketawa dan senang hati,” ucap ibu kepada Qalif Khan, 9, ini.

Tambah Linda, yang pasti dia menyenangi sikap Que yang tidak hipokrit dan tidak memikirkan yang Que perlu memilih dia disebabkan faktor tertentu.

Sementara Que pula berkata Linda mempunyai sedikit persamaan seperti ibunya dari segi kualiti yang ada padanya.

“Linda mempunyai kualiti yang menyamai seperti ibu saya. Misalnya, dia cerewet dengan anaknya di mana bagi saya cerewet adalah bagus untuk kebaikan.

“Dari sudut yang lain, saya menyukai Linda kerana dia mempunyai wajah ‘Pan Asian’ yang agak menarik,” tutur Que yang tujuh tahun lebih muda daripada Linda.

Ditanya tentang bagaimana cara dia akan mengawal Linda pada masa akan datang, memandangkan isterinya itu kadangkala suka mengenakan pakaian seksi, jelas Que: “Saya tak pernah menetapkan bahawa Linda perlu memakai pakaian yang bagaimana asalkan dia menjaga kelakuan di hadapan orang ramai.

“Sebagai manusia, apa yang saya tekankan supaya dia tidak mengambil tahu tentang keburukan orang lain.”

Ketika ditanya kepada pasangan ini tentang bahagian manakah yang membuatkan mereka berasa tertekan dari mula mereka mengumumkan untuk berkahwin sehingga ke hari tersebut, Que berkata:

“Semua bahagian membuatkan kami tertekan."

Sementara Linda pula mencelah: “Dugaan yang berlaku sentiasa turun dan naik. Setiap perkara berlaku dengan pantas sehingga ke malam ini.”

Ditanya tentang di mana mereka akan menetap selepas ini, kedua-duanya berkata mereka memilih untuk mencari rumah yang lebih besar.

“Kemungkinan kami akan tinggal di Ampang kerana anak saya bersekolah di Cheras,” ujar Linda yang turut menuturkan mereka belum merancang lokasi untuk berbulan madu.

Bagaimanapun, Que berkata mereka mungkin memilih lokasi bulan madu bertemakan laut.

“Saya sukakan pantai namun kami belum rancang untuk pergi ke mana. Kami akan mencari lokasi bulan madu yang sesuai nanti,” kata Que.

Menjawab tentang persoalan rutin harian yang bakal dilakukan selepas ini, Linda berkata dia akan melakukan kerjanya seperti biasa di mana dia mempunyai studio tarian yang perlu diuruskan.

“Selain itu, saya juga terlibat dengan kerja amal dan aktiviti lain,” ulas Linda.

Mengenai penjagaan Qalif, Que berkata dia telah berbincang dengan Linda tentang cara untuk menjaga anak tirinya itu.

“Qalif bijak, hensem, ‘perfect’ dan manja dengan saya,” kata Que sambil tersenyum.

Menyentuh tentang persiapan untuk majlis resepsi di sebelah pengantin lelaki, Que berkata keluarganya serta orang kampung telah bergotong-royong menyiapkan hampir 50 peratus persiapan di Felda Taib Andak.

“Mak saya dan kawan-kawannya yang membuat persiapan di sana. Ada juga pihak yang membantu dari segi kad jemputan,” ulas Que yang bakal bersanding di atas pelamin berkonsepkan diraja manakala baju pengantin berkonsepkan tradisional dan moden.

Que yang sedang bercuti sehingga 19 Februari ini menambah dia bakal mengambil cuti semula untuk majlis resepsinya di Johor nanti.

“Pada 20 Februari ini, saya akan menjalani pengambaran drama 13 episod Cinta Untuk Ain. Selepas balik bercuti dari Johor nanti, saya akan menyambung pengambaran lagi.

“Sebab itu saya belum boleh tetapkan bila kami akan berbulan madu kerana saya mempunyai komitmen kerja.

“Bagaimanapun, saya tetap akan merancang satu tarikh untuk kami berbulan madu selepas selesai pengambaran nanti,” akhiri Que.

Dikesempatan itu, Linda dan Que sempat merakamkan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis perkahwinan mereka.

Kata Linda: “Terima kasih kepada The Blooming Cake yang menaja kek yang sangat cantik, Jakel yang menaja fabrik lebih daripada RM20,000, Calvin Thoo, Syaiful Bahrim, Datin Sharifah Kirana, Lord’s Tailor, Habib Jewels, Kak Ton dari Bora Ombak.

“Turut serta Shasha Bashir, Wan, Jeslina Hashim di mana dia sangat bekerja keras sehingga nak pengsan tetapi apa yang dilakukan oleh Jes seperti ‘magic’, Awal Ashaari, pengerusi majlis, kompang, Farhan, Riz, Amylea, Jebat, Zila dan Ala Dancers yang melakukan persembahan serta sesiapa sahaja yang mendoakan kebahagiaan kami.

“Tidak lupa Qalif yang sangat sabar dan tidak mendapat cukup perhatian dalam 10 hari ini. Syukur juga sebab tak hujan dan saya suka dengan majlis ini.”

Bingkisan perkahwinan Linda-Que

-Dengan dua kali lafaz, Que dan Linda sah bergelar pasangan suami dan isteri selepas dinikahkan oleh jurunikah Kampung Melayu Ampang Abu Sapian Jasin berwalikan bapa Linda, Datuk Murad Hashim kira-kira pukul 5.45 petang.

-Que memberikan hantaran berupa mas kahwin RM1101, sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran kepada Linda. Menurut Que, jumlah mas kahwin itu ditetapkan mengikut kadar yang diberikan oleh kerabat diraja Kedah kerana Que mempunyai hubungan yang kuat dengan kerabat Sultan Kedah.

-Kira-kira 150 orang yang menghadiri majlis pernikahan Linda dan Que sempena Hari Kekasih itu.

-Sementara Linda membalas hantaran Que dengan sebentuk cincin.

-Ketika majlis akad nikah, Linda mengenakan busana putih rekaan Datin Sharifah Kirana yang dianggarkan berharga RM50,000.

-Menurut Kirana, baju tersebut menggunakan fabrik sutera renda mewah yang halus yang ditakhta dari batu permata dan chiffon ditambah dengan sulaman motif bunga jasmine untuk perkahwinan dalam taman itu direka khas untuk Linda kerana tudung yang disarungkan olehnya tidak pernah dipakai oleh mana-mana wanita sebelum ini.

-Disebabkan terlalu teliti, Linda mengambil masa selama lima kali untuk sesi ‘fitting’ baju tersebut. Kirana menggelarkan perkahwinan Linda dan Que sebagai ‘wedding of the year 2009’.

-Que juga segak dengan baju Melayu yang direka oleh Kirana.

-Untuk majlis persandingan, Linda anggun di dalam gaun petang rekaan Syaiful Bahrim yang dianggarkan berharga lebih RM15,000.

-Selain itu, Syaiful turut bertindak menggubah hantaran perkahwinan Linda dan Que menggunakan bunga ros segar berwarna putih.

-Que pula kelihatan segak dengan sut kolar Nehru berharga RM2,500 rekaan Lord’s Tailor. Menariknya, sut itu menyamai paten sut yang dipakai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

-Calvin Thoo pula menjahit pakaian mereka berdua untuk upacara memotong kek.

-Ketiga-tiga pasang pakaian yang direka itu menggunakan fabrik daripada Jakel.

-Linda menggenakan kasut Lewre berwarna silver dengan disalut berlian swarovski berharga lebih RM2,000.

-Keserian Linda bertambah apabila disolek oleh Tia dan disalut dengan barang kemas daripada Habib Jewels yang berharga lebih RM500,000. Pada mulanya Linda turut memilih set safir biru dan berlian yang berharga lebih RM2 juta namun akhirnya dia tidak jadi memakainya kerana tidak sesuai dengan mana-mana baju pengantinnya.

-Dekorasi dibantu oleh sepupu Linda, Jeslina Hashim merangkap perunding perkahwinan dari Polkadotted Creative Solutions.

-Kira-kira 400 tetamu yang menghadiri majlis resepsi tersebut.

-Majlis resepsi pasangan ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian anak didik Linda dari Akademi Fantasia iaitu penyanyi Amylea, Farhan dan Riz. Turut serta adalah Jebat dan Zila selain persembahan tarian ‘Raikan Kasih’ oleh Ala Dancers.

-Majlis persandingan di kampung Que pula akan berlangsung pada 15 Mac depan dengan tema diraja. Pelamin mereka ditaja oleh AZ Saloon Bridal House.

-Dianggarkan seramai 2,500 orang tetamu akan menghadiri majlis di Dewan Orang Ramai Felda Taib Andak, Kulai itu. Majlis itu juga diserikan dengan penuh adat termasuk berzanji, persembahan tarian zapin, sesi karaoke dan pertunjukan bunga api.

-Pereka Datin Sharifah Kirana sekali lagi ditugaskan membuat pakaian pengantin mereka untuk resepsi kedua itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aditya: Kecelaruan hala tuju!

Artikel Lain