suria

Shamsul buang sikap 'control macho'

Shamsul janjikan kelainan dalam Evolusi KL Drift 2 - foto MSTAR ONLINE
Shamsul janjikan kelainan dalam Evolusi KL Drift 2 - foto MSTAR ONLINE
Shamsul janjikan kelainan dalam Evolusi KL Drift 2 - foto MSTAR ONLINE

KEJAYAAN filem sulungnya yang meraih kutipan sebanyak RM4.5 juta serta turut mendapat pengiktirafan Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) tahun lalu, ternyata telah membakar semangat anak muda ini untuk terus menghasilkan sekuel kepada filem tersebut, Evolusi KL Drift 2.

Kemampuan sulung Shamsul Yusof sebagai pengarah di layar perak dengan turut mempertaruhkan karya yang dihasilnya sendiri itu telah berjaya dibuktikan oleh anak teruna kepada penerbit dan pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam ini.

Bertitik tolak dari situ, Shamsul terus nekad menghasilkan filem keduanya, Bohsia, yang telah pun selesai penggambarannya dan bakal ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan 23 April depan.

Kini, pengarah muda dan pelakon berusia 24 tahun ini sudah bersedia untuk kembali sibuk di set penggambaran Evolusi KL Drift 2 yang bakal bermula 1 Februari ini.

Menjanjikan kelainan yang lebih mantap, kata Shamsul, filem yang menelan belanja sebanyak RM2.1 juta ini turut menampilkan muka baru, selain mengekalkan beberapa pelakon asalnya.

Dua pelakon yang sedang meningkat naik, Scha dan Remy Ishak serta Shaheizy Sam diberi kepercayaan oleh Shamsul untuk turut menerajui filem ini bersama pelakon-pelakon asal seperti Aaron Aziz, Farid Kamil dan dirinya sendiri.

Turut menjayakan filem ini ialah Hetty Sarlene, Rizal Ashraf dan Zul Ariffin.

"Dari segi jalan cerita, saya tetap kekalkan seperti konsep yang dulu tetapi lebih banyak aksi akan dibuat. Saya juga akan tekankan pada aspek pembikinan yang akan dibuat dengan lebih teliti kali ini.

"Tidak ada lagi elemen lumba haram dalam filem ini kerana watak-watak tersebut telah saya 'upgrade' menjadi pelumba drift profesional. Cuma mungkin adegan seperti 'racing' di jalanraya itu tetap saya buat, tetapi tidak lagi dalam bentuk lumba haram.

"Begitu juga dengan barisan pelakon. Scha dan Remy antara pelakon baru dalam filem ini. Scha dipilih kerana saya lihat dia adalah yang paling layak untuk bawa watak sebagai 'Minah drift' yang agresif.

"Ketika saya buat skrip ini, memang saya tidak tahu siapa yang sesuai bawa watak tersebut. Tetapi bila melihat lakonannya di dalam drama Awan Dania, saya yakin dialah yang paling sesuai," kata Shamsul yang ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut di Finas, semalam.

Menurut Shamsul lagi, penghasilan skrip untuk filem ini cukup mencabar buat dirinya. Jika untuk filem pertamanya dulu, Shamsul yakin dengan hasil karyanya sendiri, tetapi kali dia turut mendapatkan cetusan idea daripada Penolong Pengarahnya, Rizal, yang juga turut membintangi filem tersebut.

"Kali ini memang sukar untuk saya hasilkan skrip sendiri. Saya tidak nafikan, antara tiga skrip filem yang saya buat iaitu Evolusi 1, Bohsia dan Evolusi 2 ini, skrip terbaru inilah yang paling mencabar kerana saya ingin buat sesuatu yang berbeza dan ada kelainannya.

"Nasib baik saya juga dibantu oleh Rizal, jadi saya rasa lebih berkeyakinan," tutur Shamsul yang berkata, Evolusi KL Drift 2 adalah filem aksi terakhirnya dan akan cuba menghasilkan filem bergenre lain pula selepas ini.

Mengulas lanjut tentang pembikinan filem ini, kata Shamsul, dia tidak menafikan bajet RM2.1 juta yang diperuntukkan itu tidak begitu besar memandangkan filem yang dihasilkannya itu pada dasarnya memerlukan kos yang tinggi.

"Saya sudah cuba kurangkan apa yang patut terutamanya dari segi prop untuk supaya tidak lari bajet. Alhamdulillah, kali ini saya mendapat banyak penaja. Selain Toyo Tyres sebagai penaja utama, ada lebih kurang 17 lagi pihak penaja lain.

"Jika untuk filem pertama dulu, cukup sukar untuk saya cari penaja. Mungkin mereka masih belum percaya pada kemampuan saya ketika itu

"Malah, ayah saya juga sudah lebih yakin dengan saya dan beri kebebasan untuk saya berkarya sendiri. Tetapi, sebagai orang baru, saya tetap tidak pinggirkan idea yang dia curahkan," ujar Shamsul yang menambah, sebanyak 10 buah kereta dan lima pelumba drift profesional akan digunakan di dalam filem ini.

Selesa bersendirian

Hati yang tercalar setelah percintaannya dengan aktres Diana Danielle putus di tengah jalan nampaknya masih dirasai oleh pelakon muda ini.

Meskipun cuba mengelak untuk berbicara tentang hal ini, namun dari riak wajah dan nada suaranya, jelas menunjukkan jejaka ini masih lagi 'down' ekoran insiden hitam itu.

Pergaduhan pasangan tersebut cukup hangat diperkatakan tidak lama dulu setelah Diana membuat laporan polis kerana dikasari oleh Shamsul.

Malah, selepas berlakunya insiden itu, nama Diana yang sepatutnya membintangi filem Evolusi KL Drift 2 ini juga khabarnya digugurkan dan lantaran itu digantikan dengan Scha.

Shamsul tidak menafikan watak tersebut pada awalnya memang ingin diserahkan kepada 'bekas kekasihnya' itu. Namun jejaka ini hanya tersenyum dan menjawab ringkas tatkala hal itu dibangkitkan media.

"Memang benar, watak itu pada awalnya ingin saya tawarkan kepada Diana. Tetapi ketika itu skrip belum siap sepenuhnya dan kita tidak berbincang lanjut pun," jawab Shamsul, ringkas, sambil enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

Ditanya adakah hubungan mereka kini sudah pulih atau dia sendiri telah berjumpa dengan pengganti Diana, Shamsul terus tersenyum sambil berkata:

"Saya tidak mencari pun. Saya selesa hidup sendirian sekarang ini," luah Shamsul secara ringkas.

Tak 'control macho' lagi

Melihat lakonan-lakonannya sebelum ini, tidak dinafikan, Shamsul dilihat sering membawakan watak lelaki yang serius dan ego sehinggakan ada yang melabelkan pelakon muda ini sebagai 'control macho'.

Shamsul sendiri akui, dia sedar tentang kritikan ramai terhadap dirinya itu. Namun, ujarnya, karektor yang ditampilkan di kaca televisyen mahupun di layar perak itu bukanlah menggambarkan dirinya yang sebenar.

"Sejujurnya, saya adalah seorang yang pemalu. Tetapi saya ambil kritikan yang datang itu secara positif. Masih banyak yang saya kena baiki.

"Tetapi di dalam filem kedua saya, Bohsia, saya tak ada lagi 'control macho'. Watak Mat Rempit yang saya bawakan dalam filem tersebut benar-benar berbeza dengan apa yang sering saya buat," kata Shamsul.

Bercerita tentang filem Bohsia yang juga turut dijayakan oleh Nabila Huda dan Diana Danielle itu, kata Shamsul, filem tersebut telah diklasifikasikan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tontonan 18 PL.

"Saya tidak kisah dengan hal itu. Saya tidak ada masalah walaupun dilabel 18PL. Tidaklah pula saya rasa kecewa kerana dari awal lagi saya sudah jangkakan kemungkinan seperti ini.

"Saya tidak rasa ia boleh menjejaskan kutipan filem itu kerana saya percaya pada rezeki. Lagipun, tujuan saya hasilkan filem itu bukan untuk eksploitasi mana-mana pihak, tetapi cerita ini sarat dengan mesej," kata Shamsul yang turut berhasrat untuk berlakon di bawah produksi lain jika berpeluang.

Artikel Lain