KAKAK TUA: Cerita artis - dengar boleh, percaya jangan! - Hiburan | mStar

KAKAK TUA: Cerita artis - dengar boleh, percaya jangan!

Kak Ros, yang dilaporkan bernikah baru-baru ini dengan pemuda berusia 27 tahun - 'main sembunyi-sembunyi' dengan media?.
Kak Ros, yang dilaporkan bernikah baru-baru ini dengan pemuda berusia 27 tahun - 'main sembunyi-sembunyi' dengan media?.

Alkisah, carilah jawapan kenapa dan mengapa golongan artis paling susah hendak 'membetulkan' lidah mereka.

Mustahil mereka ini tidak ditarbiyahkan supaya berkata benar. Mungkinkah sifat ini satu transformasi atau transisi saja? Atau sudah sedia ada dalam diri sejak mula bergelar artis.

Boleh dibilang dengan jari artis yang suka berterus terang dan lurus percakapan mereka.

Tambahan kalau melibatkan usia dan status. Tidak selesa atau sudah terbiasa tipu umur? Tapi mereka lupa kita ada arkib yang menyimpan semua kisah silam mereka termasuklah biodata ketika mula-mula penglibatan dalam karier seni.

Sebenarnya orang media ini baik-baik dan berhemah juga kerana jarang yang suka mengenakan artis.

Ketika pelakon Bell dilaporkan berdusta pada 'bekas' kekasihnya, bukan sedikit yang terpana dengan perbuatan pelakon berbakat ini. Tiba-tiba, semua ingin tahu apa sebenarnya yang terjadi. Memang sahih lah Bell ada 'kekasih hati' dan pernah 'main-main' melafazkan cerai pada isteri yang setia.

Bila sudah terbongkar dan orang ketiga membuka pekung, jalan paling selamat 'tertidur' dalam mahkamah macam episod dalam drama TV.

Yang kabur tiba-tiba cerah bila bahan bukti tampil buat pengakuan. Nak main silap mata ala David Copperfield pun tak boleh lagi. Pecah tembelang sehingga anak isteri yang tidak berdosa jadi mangsa. Cerai, talak, rujuk, fasakh, sulh' tiba-tiba jadi rujukan. Kalau sendiri londeh hal dalam kelambu, jangan salahkan media. Maka sebab itu bila ada sesiapa yang bertanyakan kesahihan cerita atau gosip artis-artis yang terpampang di dada akhbar, Kakak Tua pesanread in between the lines. Dengar sajalah, percaya jangan. Begitu juga dengan pelakon veteran Rosnah Mat Aris yang dikhabarkan sudah menikah dengan lelaki muda berusia 27 tahun pada 13 November juga tidak terkecuali termasuk dalam senarai ini.

Pengesahan dari Imam dan dua saksi di sebuah masjid di Gombak, siap dengan tarikh dan waktu diijabkabulkan, tidak berdaya membuat Kak Ros angkat bendera putih. Jalan pintas, tutup telefon bimbit jadi sukar wartawan

hendak dapat pengesahan. Kakak Tua faham sangat dilema Kak Ros. Ye lah, bila diri sedang diulit bahagia, kehadiran wartawan merimaskan saja....

Tapi dalam Islam, soal nikah kahwin ini seharusnya dihebahkan supaya tidak timbul fitnah di belakang hari. Bukannya nak suruh canang tiga hari tiga malam, naik kereta kuda keliling Menara KLCC atau buat hebahan di Istana Carcosa, kemudian panggil media atau Melodi buat liputan. Rasanya mediapun tidak mengharapkan sangat undangan kalau pihak pengantin tidak sudi layangkan undangan. Cukup sekadar memberitahu peminat-peminat yang tulus setia, melalui media, tentang khabar gembira itu.

Makin ramai yang dapat penyakit 'siakap senohong' ini termasuklah seorang pengarah agak senior itu. Bila kes pengesahan nikahnya bersama isteri baru, dirisik di Kuala Terengganu, mulalah tak senang duduk.

Setakat 'no komen' sudah biasa didengar tapi 'menyinga' dan hilang 'cool' lagi. Tak sangka pula sampai sanggup menipu dan buat penafian tidak tahu. Kemudian bila terserempak di pejabat agama, terkhilaf lagi jawapan. Kononnya diberitahu pada saat-saat akhir...

Dari simpati terus timbul bermacam prasangka. Isteri muda yang naif pula, yang darah baru setampuk pinang, mendaki baru sekaki, menapak baru setapak, tidak segan silu membuka cerita.

Bila buat perbandingan kenyataan bercanggah antara mereka berdua, kita sendiri akan geleng kepala. Apakah sandiwara yang sedang dilakonkan oleh mereka ini?

Kalau perlukan ruang, cakap saja. Bukan semua wartawan hiburan mewarisi 'lidah syaitan' seperti yang dilabelkan oleh seorang pembaca mStar Online di Pulau Pinang baru-baru ini. Ramai yang masih berhemah dan menulis dengan penuh tanggungjawab.

KAKAK TUA: Terkesan juga bila melihat ayam putih terbang siang

Artikel Sebelum

Album Hujan bakal tembusi pasaran Indonesia?

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain