suria

Cubaan larikan diri gagal, wanita peras ugut Lee Sun Kyun ditahan polis

Kematian Sun Gyun menimbulkan tanda tanya ramai.

SEHARI selepas kematian Lee Sun Kyun, seorang wanita yang dikehendaki polis Korea Selatan berjaya diberkas bagi membantu siasatan atas dakwaan melakukan peras ugut terhadap aktor berkenaan.

Wanita berusia 28 tahun itu sebelum ini cuba melarikan diri selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Individu dikenali sebagai 'A' itu ketika ini sedang ditahan di Balai Polis Nonyeon di Incheon bagi membantu siasatan selain turut didakwa meminta wang sebanyak RM180,000 daripada mendiang.

Penahanan itu juga dipercayai bagi membantu siasatan kematian aktor filem Parasite itu yang ditemui tidak bernyawa dalam sebuah kenderaan pada Rabu.

Sun Gyun sebelum ini menafikan semua dakwaan penyalahgunaan dadah.

Sebelum ini, mendiang ada membuat laporan polis terhadap 'A' dan seorang lagi wanita yang merupakan pengurus sebuah pusat hiburan atas dakwaan sama.

Pelakon itu juga dikatakan sudah menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.6 juta kepada wanita terbabit.

Nama Sun Kyun menjadi perhatian ramai selepas dia didakwa mengambil beberapa jenis dadah di rumah salah seorang pelayan wanita yang bekerja di sebuah kelab mewah di Gangnam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Parasite Lee Sun Kyun ditemukan meninggal dunia dalam kereta

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri dedah surat terakhir Lee Sun Kyun, isi kandungannya cukup menyayat hati

Mendiang didakwa sudah beberapa kali berkunjung ke rumah pelayan wanita itu sejak awal tahun ini.

Sun Kyun mendakwa dia diperangkap mengambil barang terlarang yang tidak diketahui isi kandungannya.

Ujian saringan dadah yang dilakukan sebanyak dua kali mendapati aktor itu bersih daripada sebarang pengambilan barang terlarang.

d5e9b922f3814670ae86a404aadb205a

Sun Kyun bersama isteri yang juga pelakon Jeon Hye Jin.

Pada 23 Disember lalu, Sun Kyun menghabiskan masa selama 19 jam bagi memberi keterangan berhubung kes ugutan dua wanita terbabit.

Aktor itu juga sebelum ini pernah dipanggil memberi keterangan pada 28 Oktober dan 4 November lalu bagi kes berkaitan menggunakan dadah.

Sun Kyun mendirikan rumah tangga dengan aktres Jeon Hye Jin pada 23 Mei 2009 selepas tujuh tahun menjalinkan hubungan cinta.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki berusia 14 dan 12 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain