suria

Skandal pelacuran dan judi, Seungri dipenjara 3 tahun, denda RM4.23 juta

seungri1

BEKAS ahli kumpulan BigBang, Seungri dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada Khamis atas kesalahan membabitkan kegiatan pelacuran dan perjudian.

Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun didapati bersalah bagi kesemua sembilan pertuduhan terhadapnya termasuk mengatur perkhidmatan pelacuran bagi pelabur-pelabur serta terlibat dalam perjudian antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Seungri mungkin masuk penjara dua hingga tiga tahun

Seungri disiasat berhubung penglibatannya dalam skandal kelab malam Burning Sun di Seoul.

Selain dipenjara, penyanyi itu turut diarahkan membayar denda berjumlah 1.15 bilion won Korea iaitu RM4.18 juta.

Menurut laporan akhbar Yonhap, mahkamah menyifatkan kesalahan penyanyi itu mencetuskan ancaman yang cukup berbahaya kepada negara.

"Tertuduh (Seungri) mengatur tawaran seksual kepada pelabur asing menerusi pelbagai acara serta bersekongkol dengan rakan perniagaannya Yoo In-suk demi mengaut keuntungan.

"Jenayah itu yang mengkomersialkan seks melanggar norma budaya kita dan benar-benar mendatangkan bahaya besar kepada negara," kata dakwaan itu.

Pada Julai lalu, pendakwa raya mahkamah tentera dilapor berkata bahawa Seungri tidak menunjukkan tanda insaf dan menuding jari kepada orang lain, walaupun setelah mengaut keuntungan daripada kesalahannya.

Seungri memulakan kariernya BigBang pada 2006 sebelum kumpulan tersebut berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa.

Dia didaftarkan masuk ke angkatan tentera Korea Selatan tahun lepas selepas berundur daripada BigBang susulan skandal Burning Sun yang menggemparkan seluruh industri hiburan tempatan.

Skandal tersebut menyaksikan beberapa tuduhan besar dilemparkan terhadap penggiat industri hiburan yang berkait dengan kelab malam Burning Sun.

Menerusi skandal itu penyanyi lain termasuk Jung Joon-young dan Choi Jong-hoon daripada FT Island turut dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan gangguan seksual dan rogol.

Pengasas syarikat pengurusan BigBang iaitu YG Entertainment, Yang Hyun-suk pula disiasat atas penglibatannya dengan skandal Burning Sun serta beberapa tuduhan lain. - YONHAP

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain