Gong Yoo dedah perangai pelik Lee Dong Wook, suka hantar mesej sama dua kali

Gong Yoo teruja saat dijemput sebagai tetamu jemputan menerusi satu rancangan talk show yang dihoskan oleh Lee Dong Wook.

BAGI anda kaki KDrama semestinya anda tidak terlepas menonton drama Goblin yang dibintangi oleh Lee Dong Wook dan Gong Yoo.

Bukan sekadar jalan penceritaannya yang bagus, tetapi apa yang menarik perhatian penonton adalah hubungan persahabatan dua pelakon utama ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Curi perhatian peminat, Chanyeol tampil serba 'pink' dalam MV 'Obsession'!

Rata-rata peminat mengetahui hubungan persahabatan dua pelakon ini masih terjalin sehingga kini walaupun mereka sudah selesai penggambaran bagi drama tersebut.

Malah apa yang menarik perhatian lagi, Gong Yoo turut menjadi tetamu jemputan pertama menerusi satu rancangan talk show, 'Because I Want To' yang dihoskan oleh Lee Dong Wook.

Serasi gandingan antara Gong Yoo bersama Lee Dong Wook menerusi drama Goblin.

Berdasarkan laporan dari Soompi, episod pertama rancangan ini ditayang pada Rabu lalu.

Menerusi rancangan itu, Gong Yoo dilihat sempat bergurau mengatakan bahawa dia tidak menyangka bahawa Lee Dong Wook menjadi hos untuk rancangan itu.

"Dahulu saya pernah memberitahu Lee Dong Wook bahawa saya akan hadir sebagai tetamu jika dia menjadi hos. Tetapi saya tak sangka dia lakukannya, malah masa itu saya hanya bergurau," kata Gong Yoo.

"Adakah itu gurauan? Saya tidak tahu," respons Lee Dong Wook.

Kongsi Gong Yoo lagi, mereka berdua masih berhubung sehingga kini malah kedua-dua mereka mempunyai nama panggilan khas yang direka oleh mereka.

Kedua-dua pelakon ini turut mempunyai nama panggilan masing-masing iaitu 'Kke Bi' dan 'Dong Seung'.

"Lee Dong Wook memanggil saya 'Kke Bi' dan saya memanggilnya 'Dong Seung'.

"Kke Bi adalah perkataan Korea yang bermaksud Goblin, manakala Dong Seung pula adalah gabungan nama Lee Dong Wook dan malaikat kematian atau grim reaper," kata pelakon Coffee Prince ini.

Tambah pelakon berusia 40 tahun ini lagi, Lee Dong Wook mempunyai tabiat pelik iaitu sering menghantar pesanan mesej yang sama sebanyak dua kali.

"Dia (Lee Dong Wook) menaip 'Apa yang sedang dilakukan kamu? Apa yang sedang dilakukan kamu?', 'Di mana kamu? Di mana kamu?' sebanyak dua kali," ujar Gong Yoo.

Jelas pelakon kelahiran Busan, Korea Selatan ini, selain menghantar pesanan mesej sebanyak dua kali, Lee Dong Wook juga gemar menggunakan emotikon.

"Selain itu, dia juga sering menggunakan emotikon yang banyak berbentuk hati," katanya.

Hal ini turut diakui oleh Lee Dong Wook sendiri. -SOOMPI

Gong Yoo, Lee Dong Wook

Artikel Berkaitan

Artikel Lain