suria

Padi kembali 'mengganas' di Kuala Lumpur 30 Jun depan

Padi Reborn Live in KL bakal berlangsung pada 30 Jun depan.

IA seperti sesuatu yang tertunda namun kini umpama armada membelah samudera, Padi kumpulan yang cukup dipuja peminat baik di Indonedia atau Malaysia dan Singapura kembali mengemudi arah mereka dengan jelas.

Tampil sebagai Padi Reborn, kumpulan itu nampaknya kembali mengganas dengan barisan ahli sama iaitu Piyu (Gitar), Fadly (Vokal Utama), Ari (Gitar), Rindra (Bass) dan Yoyo (Drum) dan buat pertama kali dalam sejarah Padi sejak 1997, Padi akan mengadakan konsert berskal besar mereka di Kuala Lumpur pada 30 Jun depan.

Padi Reborn Live in KL bakal memperlihatkan mereka mempersembahkan barisan lagu hit yang menaikkan nama mereka di negara serantau seperti Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah atau Kasih Tak Sampai pasti akan diperdengarkan.

Tidak sekadar itu, Padi Reborn menjanjikan hal yang lebih luar biasa buat Sobat Padi pada konsert yang bakal diadakan di KL Live, Kuala Lumpur.

"Kami berasa cukup terharu dan senang sekali kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn, sebuah konsert solo kami akan dipersembahkan.

"Persembahan di Malaysia ini juga sebagai lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah lelah menyokong kami biar pada saat Padi vakum dan kini kembali. Kami berharap Sobat Padi Malaysia akan senang dan bergembira bersama menyanyikan lagu-lagu Padi," ujar Piyu.

Sebagai informasi, Padi mempunyai lima studio album iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007). Kumpulan ini juga mempunyai album kompilasi yang berjudul The Singles yang dipasarkan pada tahun 2011.

Tidak sekadar mempunyai lima buah studio album yang kukuh dan membariskan hit yang luar biasa, kewujudan Padi tidak sekadar sebuah kumpulan  muzik yang 'kosong' apabila menerima banyak pengiktirafan termasuk Best Favourite Group from Indonesia pada MTV Asia 2001,  Kumpulan Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2001 selain menerusi album Sesuatu Yang Tertunda.

Padi memperoleh Triple Platinum dari Sony Music Malaysia dan pada tahun 2004, album Save My Soul dinobatkan sebagai Album terbaik pada Anugerah Planet Muzik dan Duo/Kumpulan Terbaik dalam anugerah yang sama.

Terdahulu, Padi pernah bergabung dengan beberapa kumpulan tenar dari Indonesia yang lain termasuk Dewa 19 dan Gigi dalam konsert Pesta Malam Indonesia 3.

Tiket-tiket untuk menikmati untaian indah Padi Reborn Live Exclusive In KL pada 30 Jun depan sudah dijual dengan harga RM179 untuk standard (Platinum) dan sesi meet and greet pula RM290 untuk standard.

Semua tiket boleh diperoleh dengan melayari www.buytickets.com.my.

Padi

Artikel Lain