suria

Lee Seung Gi kantoi langgan saluran lucah

Lee Seung Gi secara tidak sengaja melanggan saluran lucah ketika menginap di sebuah resort baru-baru ini.

PENYANYI Lee Seung Gi mendedahkan dia terpaksa menanggung malu apabila tindakannya menonton saluran lucah ketika menginap di sebuah resort dihidu oleh pengurus produksi dan pekerja hotel ketika hendak membuat pendaftaran keluar.

Seung Gi berkata, dia sebenarnya tidak sengaja melanggan saluran tersebut kerana menyangka ia percuma memandangkan tiada kata laluan diperlukan seperti mana kebiasaan.

"Ketika sampai ke hotel berkenaan saya berehat di atas katil dan membuka televisyen yang memaparkan dua pilihan berwarna putih dan merah.

"Tanpa berfikir panjang saya pilih paparan merah dan tidak menyangka ia saluran lucah.

"Akibat bosan saya terus menekan untuk melihat apa yang ada dan terkejut juga kerana saluran itu boleh diakses kerana kebiasaannya ia memerlukan kata laluan," katanya.

Penyanyi itu berkata, dia menginap di hotel itu bagi menjayakan rakaman sebuah program.

Seung Gi memberitahu perbuatannya itu dihidu pengurus produksi yang menguruskan penginapannya ketika hendak mendaftar keluar.

"Ketika saya sampai di lobi, pengurus produksi dan pekerja hotel memandang saya dengan pandangan tajam dan saya bertanya sekiranya ada sebarang masalah berlaku.

"Pengurus produksi itu terus bertanya sama ada saya ada melanggan sebarang saluran lucah dan pihak produksi perlu membayar AS$200 (RM800) sebagai caj tambahan.

"Saya sangat malu dan bimbang pengurus produksi dan pekerja hotel itu akan mendedahkan perbuatan saya kepada media... ia insiden memalukan!" katanya.

Seung Gi membuat pendedahan itu ketika muncul dalam sebuah program bual bicara selepas ditanya pengalaman pelik ketika berada di luar negara yang pernah dialaminya.

Lee Seung Gi

Artikel Lain