Yuya Masuk Hong Kong - Niaga | mStar

Yuya Masuk Hong Kong

Bung Moktar dan Ismail bersama wakil beberapa syarikat Hong Kong sempena Program Promosi Produk Yuya di Hong Kong.

PENGERUSI Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin optimis produk sardin dan tuna berjenama Yuya bakal mendapat permintaan tinggi di Hong Kong berikutan komitmen beberapa syarikat utama yang berminat memasarkan produk berkenaan.

Menurutnya, Program Promosi Produk Yuya Hong Kong menjadi platform penting memperkenalkan produk keluaran anak syarikat Felcra iaitu Felcra Livestok & Agri Product Sdn Bhd (Flap) dengan kerjasama beberapa rakan perniagaan strategik dari Filipina dan Indonesia.

“Wakil syarikat di Hong Kong melihat Yuya sebagai produk makanan berkualiti serta mampu memberi pilihan kepada pengguna, selain harganya yang cukup kompetitif,” katanya dalam program promosi tersebut yang berlangsung baru-baru ini.

Lebih 80 tetamu hadir mewakili beberapa syarikat terkemuka di Hong Kong seperti Biworld International Holding, Wah Shun Trading, Easy Done Marketing, Fuk Ming Foods, Ka Yuen Food dan Fruitful Food & Beverage Company.

Bung Moktar memberitahu, produk berjenama Yuya telah berada di pasaran Malaysia sejak tahun lalu dan merancang menembusi pasaran antarabangsa termasuk Hong Kong, China, Jepun dan Timur Tengah.

“Pensijilan Halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ternyata cukup meyakinkan beberapa syarikat antarabangsa termasuk di Hong Kong.

“Untuk pasaran antarabangsa kami lantik Felcra International Venture (FIV) kendalikan promosi serta pembekalan stok kepada rakan perniagaan khususnya di Hong Kong,” katanya.

Pelbagai produk Yuya mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa seperti  Tuna Sambal Pedas (Spicy Chili); Tuna Rendang (Spicy Coconut Gravy); Tuna Sos Bawang Berempah (Spicy Onion Sauce), Sotong Goreng Bercili (Squid Fried Chili), Perencah Tuna (Tuna Seasoning), serta Perencah Ikan Masin (Salt Fish Seasoning), selain Sardines (in Tomato Sauce) dan Sardines (In Tomato Sauce With Chili Added).- Sinar Harian

Yuya , Felcra

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

KL Tersenarai 100 Bandar Paling Dilawati

Artikel Lain

Tun M pandu Proton Saga baharu