suria

Petronas Lancar Rangka Kapal LNG Terapung Pertamanya

KUALA LUMPUR: Petronas melancarkan rangka kapal kemudahan gas asli cecair terapung (PFLNG 1) pertamanya di limbungan Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (DSME) di Okpo, Korea Selatan.

Kemudahan itu dengan ukuran panjang 365 meter dijadualkan siap pada suku keempat 2015, dan akan menjadi kemudahan LNG terapung pertama beroperasi di dunia.

Naib Presiden Petronas yang juga Pengarah Teroka untuk Projek LNG - Perniagaan Gas dan Tenaga Domestik Datuk Abdullah Karim berkata pelancaran rangka kapal itu merupakan satu pencapaian cemerlang memandangkan proses meletakkan lunas telah bermula pada 6 Januari tahun ini.

"Tambahan pula, projek itu juga telah mencapai lebih daripada 5.5 juta jumlah jam bekerja sejak projek itu bermula pada Mac 2012 tanpa berlaku insiden kerugian masa di tapak projek.

"Kami berharap pasukan projek terus memacu momentum ini untuk mencapai pencapaian kami yang komited, sejajar dengan pelan dan jangkaan kami," katanya dalam kenyataan, Isnin.

Syarikat minyak dan gas nasional itu turut bekerjasama dengan rakan kongsi strategiknya Technip dan Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering bagi memastikan projek itu dilaksanakan dengan baik sejajar dengan spesifikasi projek dan kualiti, serta mengikut kos dan jadual.

Kapal PFLNG 1, turut dikenali sebagai PFLNG SATU, akan ditempatkan di lapangan gas Kanowit Malaysia, 180 kilometer di luar pantai Sarawak, dan akan menghasilkan 1.2 juta tan LNG setiap tahun.

Kemudahan itu akan memainkan peranan penting dalam usaha Petronas meneroka simpanan gas di lapangan terpencil dan terbiar di Malaysia yang kini dianggap tidak ekonomi untuk dimajukan dan dipindahkan, serta akan membantu memenuhi peningkatan permintaan terhadap gas.

Petronas, LNG, Korea

Artikel Lain