suria

Doktor ramal hanya 50 peratus boleh hidup... Pramugari syukur dapat peluang kedua, tak percaya bangun semula selepas 30 hari koma

Ellysha pernah mengalami koma selama hampir sebulan.

BERKAT doa daripada keluarga dan orang sekeliling, wanita ini akhirnya sedar selepas mengalami koma selama sebulan.

Marah Puteri Nuraqila Ellysha bersyukur apabila dia berjaya melawan penyakit Sindrom Guillain-Barre (GBS) yang menyerang sistem saraf pada Oktober 2022.

Ketika dihubungi mStar, Ellysha yang merupakan seorang pramugari menyatakan dia seakan tidak percaya diberikan peluang kedua untuk hidup.

“Selepas selesai tugasan dan ketika penerbangan balik dari Kathmandu, Nepal, saya mula rasa letih dan alami demam. Badan jadi lesu yang teramat sangat.

“Mujurlah saya sempat balik rumah dan tidur. Ketika ibu cuba kejutkan untuk makan, saya sudah tak sedarkan diri.

“Sejak daripada tu saya tak bangun hampir sebulan. Macam dalam video tu, saya baru dimasukkan ke hospital masa koma. Doktor gerakkan dan tekan dada dengan kuat. Dia cakap yang peluang untuk saya hidup hanya 50 peratus sahaja,” katanya kepada mStar.

Bercerita lanjut, Ellysha menjelaskan bahawa penyakit dialami ini adalah keadaan yang jarang berlaku.

Sebagaimana dinyatakan doktor, GBS disebabkan oleh sistem imun yang menyerang sebahagian daripada sistem saraf pinggir.

Keadaan ini boleh menyebabkan saraf meradang, dan boleh membawa kelumpuhan atau otot lemah jika tidak dirawat dengan segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun koma... remaja tetap setia menunggu berita gembira, tak sabar nak habiskan masa bersama seperti dulu – “Baru dua tahun kenal dah ngam”

ARTIKEL BERKAITAN: 18 tahun koma akibat kemalangan, pemuda digelar 'the sleeping prince'

Walaupun pada mulanya harapan untuk dia kembali pulih tipis, namun dengan izin Allah penyakit Ellysha berjaya dirawat dengan bantuan ubat antibiotik yang menelan kos RM30,000.

Bagaimanapun kos rawatan itu adalah percuma kerana Ellysha mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Virus menyerang tulang belakang dan otak. Otak dan saraf jadi lemah sampai tak boleh buat apa yang orang normal lakukan termasuklah berjalan atau nak duduk makan dan minum.

Ellysha mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Sedih sangat apabila ingat balik keadaan saya. Tapi doktor cakap sebenarnya saya pulih semula agak cepat. Lepas sedarkan diri, saya hanya boleh gerakkan mata saja.

“Saya jalani fisioterapi agak cepat dan berkat doa daripada keluarga saya kembali sihat seperti dulu. Saya bersyukur sangat sebab siapa sangka bulan Mac tahun ni boleh pulih sepenuhnya,” ujarnya lagi.

Apabila sakit, segeralah berjumpa dengan doktor walaupun demam atau sakit biasa.

PUTERI NURAQILA ELLYSHA

Tambah Ellysha yang bertugas sebagai pramugari sejak 2019, dia bersyukur kerana dapat kembali bekerja setelah kesihatan pulih sepenuhnya.

Selama menghidap GBS, Ellysha terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Dalam pada itu Ellysha yang menetap di Kuala Lumpur tidak menyangka perkongsiannya di TikTok meraih perhatian sehingga ramai yang mendoakan kesihatan untuknya.

Ellysha syukur diberi peluang kedua untuk teruskan hidup selepas diserang penyakit GBS.

“Tak sangka boleh kembali sihat semula. Allah berikan peluang kedua untuk hidup. Saya cuma nak jadikan ia sebagai kenangan di akaun TikTok peribadi saja.

“Saya bersyukur sangat dengan peluang diberikan Allah untuk sihat semula seperti biasa. Terharu sangat apabila ramai yang doakan yang baik-baik buat saya di ruangan komen lepas tengok video tu.

"Nasihat saya, apabila sakit, segeralah berjumpa dengan doktor walaupun demam atau sakit biasa. Macam sebelum ni, saya bergantung pada paracetamol dan ubat biasa. Lepas tu, saya kurang rehat dan pernah tak tidur selama dua hari,” jelasnya menutupi kisah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain