suria

Mengamuk setiap pagi, menangis macam kena pukul... Ibu kanak-kanak tantrum anggap perkara biasa - “Nombor 2 ni perangainya lain sikit”

Chumi dan suaminya akan memujuk Audra setiap kali kanak-kanak itu menangis untuk ke sekolah.

SETIAP kanak-kanak memiliki perwatakan dan mood masing-masing sehingga ada kalanya bisa menguji kesabaran ibu bapa.

Dalam satu perkongsian video di TikTok, seorang ibu merakam gelagat puterinya yang menangis apabila tiba waktu untuk ke sekolah pada waktu pagi.

Menerusi video tersebut, anak perempuannya dilihat sedikit memberontak dan hanya membatukan diri apabila sedang dipujuk sambil disiapkan oleh si ayah sebelum dihantar ke sekolah.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Chumi berkata, anak bongsunya itu mula berkelakuan sedemikian apabila seorang lagi anaknya sudah tidak ke sekolah yang sama kerana memasuki tingkatan satu.

"Sebelum ini dia tak macam tu. Tapi sejak kakaknya masuk sekolah menengah tahun ini, dia rasa tak ada kawan. Selalu pergi sekolah berdua dengan kakaknya.

"Boleh dikatakan selalu juga mood dia macam tu setiap pagi. Waktu bangun tidur dan mandi okay... tapi bila nak bersiap, dia mula menangis-nangis," cerita Chumi mengenai anak keduanya yang dipanggil Audra.

ARTIKEL BERKAITAN: Lain macam perangai anak nombor 2! Salah ‘landing’ hingga terbabas langgar gril tingkap, mulut bengkak sampai doktor pun tergelak

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Drama’ depan restoran! Gelagat budak kecil merajuk jadi perhatian, bukan senang nak pujuk... tiba-tiba ramai anak nombor 2 muncul

Bagaimanapun wanita berusia 41 tahun ini berkata, dia dan suami lebih suka mengambil pendekatan yang lembut untuk memujuk anak bongsu mereka.

"Kalau dia menangis, kami biarkan saja dia lepaskan tangisan. Kalau pukul pun tak menjadi. Orang kata, kalau kita lagi keras, budak-budak akan menjadi lebih keras.

tantrum 2

Audra merupakan anak bongsu daripada dua adik beradik.

"Pendekatan kami, waktu dia menangis tu, kita pujuk sambil beri kata-kata nasihat. Tak lama tu dia berhentilah menangis. Okay saja apabila sampai sekolah. Dekat rumah saja macam tu.

"Kadang tu apabila nak jemput dia pulang dari sekolah, pernah dia tak nak balik sebab dah jumpa kawan-kawan. Jadi dalam perkongsian itu, saya cuma nak tekankan betapa kesabaran ibu bapa memainkan peranan yang penting," ujarnya yang merupakan seorang jurusolek dan menetap di Kuala Terengganu.

Bercerita lebih lanjut, Chumi mengakui puteri bongsunya itu sedikit unik dan mempunyai perwatakan yang sedikit kasar.

Pendekatan kami, waktu dia menangis tu, kita pujuk sambil beri kata-kata nasihat. Tak lama tu dia berhentilah menangis.

CHUMI

IBU

"Dia dan kakaknya sangat berbeza. Kakaknya macam princess tapi Audra ni berlawanan pula. Baju pun lebih suka pakai kemeja atau t-shirt... yang jenis santai dan ringkas.

"Kalau nampak dia pakai gaun atau baju yang ayu, maknanya kena 'berperang' dulu dengan dia. Kalau nak gunting rambut pun, dia tak nak ke salun tapi nak pergi barber.

"Dulu-dulu masa kecil, dia selalu juga jadi model kanak-kanak untuk butik di sekitar sini. Itupun puas nak memujuk... bila mood dah okay, barulah dia berposing.

tantrum 4

Audra aktif sebagai model kanak-kanak sebelum ini.

"Mungkin agaknya betul orang kata.... anak nombor dua ni perangainya lain macam sikit. Lebih-lebih lagi kalau bongsu," katanya berseloroh.

Tidak menyangka video anaknya menjadi tular, Chumi berkata dia terharu apabila ramai yang berkongsi petua untuk melembutkan hati anak.

"Ramai yang kongsi pengalaman, kongsi petua. Sama seperti yang dikongsikan, kami juga amalkan perkata serupa seperti peluk dan pujuk sampai dia cool down.

tantrum 3

Chumi (berdiri) seorang jurusolek yang berpangkalan di Kuala Terengganu.

"Saya dan suami bukan jenis yang naik tangan. Paling-paling pun tinggi suara saja. Budak zaman sekarang bukan lagi macam zaman dulu.

"Bagi mereka yang juga ada pengalaman yang sama, kata kuncinya satu saja iaitu sabar," akhirinya.

Sehingga kini perkongsian video Chumi di TikTok meraih lebih 304,000 jumlah tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain