suria

Akibat bela nasib pelajar, Cikgu Fadli dakwa bakal dibuang kerja... Akhirnya Radzi Jidin ajak jumpa

Cikgu Fadli dikenakan tindakan tatatertib kerana menyuarakan pendapat mengenai sistem pendidikan.

TULAR di media sosial berkenaan aktivis juga ikon guru Malaysia, Cikgu Mohd Fadhli Saleh yang mendakwa berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat gara-gara lantang menyuarakan masalah sistem pendidikan termasuk silibus matematik dan isu beg berat.

Menerusi surat tunjuk sebab yang dikongsikan di Facebook, Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi surat bertarikh 22 September menyatakan Mohd Fadhli yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak di Gombak, Kuala Lumpur wajar dikenakan tindakan atas tiga pertuduhan.

Bagaimanapun guru subjek matematik itu mempersoalkan kewajaran tindakan berkenaan kerana dia tidak pernah terlibat dalam sebarang masalah disiplin atau dengan ibu bapa pelajar sekolah.

"Jadi soalnya kenapa KPM nak buang saya? Kerana saya bercakap jujur dan menyatakan kebenaran.

"Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengan luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji puja sahaja.

"Biar saya hadap semua itu kerana jika tiada siapa berani berdiri seperti saya pada hari ini, maka kerosakan ini akan terus berlaku sampai bila-bila," katanya seperti yang dipetik di Facebook.

Berdasarkan surat tunjuk sebab itu, Mohd Fadhli dituduh melakukan kesalahan kerana memuat naik hantaran di Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi bebanan... Murid tarik nafas lega isu beg berat selesai, lokar sekolah dipasang

ARTIKEL BERKAITAN: Geram martabat guru diperlekeh, Cikgu Fadli pertahan pengajar DidikTV dimalukan gara-gara slang Bahasa Inggeris tak macam ‘mat salih’ - “Yang mana hebat tu cuba mengajar live!”

Dia juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun Satu dan menerusi pertuduhan ketiga, beliau didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak.

Mengikut surat itu juga, bagi ketiga-ketiga perbuatan berkenaan, Mohd Fadli boleh ditafsirkan telah melanggar Peraturan 19(1)(c), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat terbabit.

Beginilah sistem kita... sistem yang hanya nak mendengar puja-pujian walaupun ia penipuan.

MOHD FADHLI MOHAMED SALLEH

GURU

Dalam pada itu Mohd Fadhli berkata dia menggunakan platform media sosial bagi menyuarakan kebimbangannya tentang masalah dalam sistem pendidikan susulan saluran rasmi yang digunakan sebelum ini tidak berhasil.

Katanya pelbagai teguran sudah dibuat namun semuanya dipandang sepi.

“Jangan sembang saluran yang betul dengan saya. Sebab saya dah luahkan dalam saluran yang paling betul, (iaitu) masa penataran buku silibus baru di PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) di hadapan lebih 30 orang guru Matematik daerah Gombak, pegawai PPD dan pegawai JPN (Jabatan Pendaftaran Negara).

“Sehingga mereka tak mampu berhujah dan menjawab persoalan saya, mereka bawa pegawai BPK dari Putrajaya. Pegawai yang bertanggungjawab membuat silibus baru itu hadir dalam bengkel semata-mata nak menjawab semua persoalan saya.

“Dan sampai ke sudah saluran paling betul itu langsung tak memberi kesan apa-apa, bahkan makin menyusahkan. Beginilah sistem kita. Sistem yang hanya nak mendengar puja-pujian walaupun ia penipuan,” jelasnya.

Pada hantaran sama Mohd Fadhli turut berkongsi tangkap layar di ruangan komen menunjukkan slip keputusan prestasi kerja bagi tahun 2020 dengan markah 98.11 peratus.

Luahan Mohd Fadhli yang dikongsikan semula lebih 79,000 pelayar Facebook dengan 25,000 komen itu akhirnya turut mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan ingin mengetahui lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Mohd Fadli.

"Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh.

"Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa," katanya ringkas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain