suria

Perpisahan yang menyakitkan... Gara-gara cikgu ganti persis gadis Korea, budak 9 tahun menangis sakan macam orang putus cinta

Zaza menangis kerana guru ganti yang mengajar di sekolahnya akan berhenti

BARU-BARU ini tular di media sosial video seorang murid perempuan sedang menangis sakan selepas pulang dari sekolah hingga terpaksa ditenangkan ibunya.

Bukan kerana didenda atau bergaduh dengan rakan di sekolah, sebaliknya kanak-kanak itu begitu sedih apabila salah seorang gurunya iaitu Cikgu Elisya akan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menerusi video tersebut, Nur Ayeesha Azzaleea Mohd Mukhriz atau lebih dikenali sebagai Zaza disifatkan seperti orang ‘putus cinta’ oleh ibunya, Nonie Sarawanie kerana tidak dapat menerima perpisahan tersebut.

Video air mata Zaza itu turut membuatkan netizen berasa sebak dan sedih.

Menceritakan semula kejadian pada 15 Julai itu, Nonie yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan USJ 12, Subang Jaya, Selangor memberitahu, anaknya terkejut selepas mengetahui cikgu kesayangannya akan menamatkan perkhidmatan.

“Cikgu Elisya merupakan guru ganti di SKUSJ 12 dan dia akan sambung belajar pada September nanti.

“Perwatakannya yang lemah lembut serta baik menyebabkan dia disenangi anak murid termasuk Zaza walaupun baru mengajar selama tiga bulan dan agak pendiam.

Cikgu Elisya (depan) berumur lingkungan 20-an.

Cikgu Elisya (depan) berumur lingkungan 20-an.

“Tambahan pula, raut wajah dia yang cantik menyebabkan anak saya suka tengok dan sering menyamakan gurunya itu persis remaja Korea," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut Nonie, cikgu Elisya bukanlah guru yang mengajar Zaza sewaktu sesi persekolahan tetapi hubungan kedua-dua mereka terjalin disebabkan kelas tambahan yang diadakan setiap minggu.

“Cikgu Elisya tidak mengajar Zaza pada waktu persekolahan tetapi, kedudukan meja yang dekat dengan meja saya di sekolah menyebabkan Zaza akan mencari guru tersebut setiap kali selepas waktu sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir dibuang universiti, pelajar Kimia pasrah gagal tukar kursus! Kini dinobat guru cemerlang Sains, banyak terima anugerah global

ARTIKEL BERKAITAN: Cerita sebenar cikgu dapat hadiah 3 biji kismis... Pelajar Cina datang senyap-senyap, paling akhir hulur lipatan kertas buku tulis

“Selain itu juga, saya minta cikgu Elisya mengajar Zaza subjek matematik pada setiap hari Khamis selepas waktu persekolahan,” luahnya yang pertama kali melihat Zaza begitu menyayangi guru.

Bercerita lanjut tentang anaknya, Nonie yang juga guru Bahasa Melayu berkata, Zaza merupakan anak tunggal selepas dia pernah kehilangan dua orang anak.

Raut wajah dia yang cantik menyebabkan anak saya suka tengok dan sering menyamakan gurunya itu persis remaja Korea.

NONIE

Katanya lagi, selain suka melukis dan berdrama, Zaza juga gemar menari serta seorang yang periang.

“Zaza seorang yang berani dan sangat positif. Sebelum ni dia banyak dikecam di TikTok sehingga akaun disekat selama tiga bulan.

Zaza bersama ibu dan ayahnya

Zaza bersama ibu dan ayahnya

“Bayangkan hanya kerana dia kerap bercakap dalam bahasa Inggeris, kami berdua teruk dikecam warganet... netizen minta saya ajar Zaza cakap bahasa Melayu.

“Padahal saya sendiri cikgu bahasa Melayu dan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama ketika berinteraksi,” katanya yang turut berkongsikan ilmu tentang cara membina ayat di platform berkenaan.

Tambah Nonie, anaknya juga gemar memberi kata-kata positif kepada kawan selain menjadi tempatnya berkongsi masalah.

Terdahulu, Zaza mula dikenali netizen kerana video yang memaparkan keletahnya di Starbucks.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain