suria

Bos AirAsia cari di TikTok! Pelayan hotel dilamar jadi kru kabin gara-gara layanan ‘tiptop’, tiada SPM pun tak mengapa

Wakil AirAsia menjejaki Izz untuk diberikan tawaran kerja menerusi aplikasi TikTok.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Pepatah ini sesuai bagi menggambarkan situasi pemuda ini apabila dia ditawarkan bekerja di sebuah syarikat penerbangan secara mengejut.

Menerusi satu video milik Pengurus Komunikasi dan Budaya Kumpulan Krew Kabin AirAsia, Arman Rashid, dia membuat hebahan secara terbuka dengan meminta netizen membantunya menjejaki seorang pemuda.

“Siapa yang jumpa adik dekat atas ni tolong tag abang, sebab AirAsia tengah cari dia... kita nak bagi kerja dekat dia.

“Ceritanya begini, bos saya pergi satu event dan terjumpa dia ni. Dia bagus sangat. Very attentive, polite... lepas tu bos memang nak offer kerja dekat dia,” katanya.

Sehingga kini video itu meraih lebih 500,000 tontonan di TikTok.

Tidak lama selepas itu, individu yang dijejaki iaitu Izz Ahmad Danial akhirnya muncul di ruangan komen.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen ketepikan isu ‘delay’, puji kru kabin AirAsia papah suami isteri buta turun pesawat... Teknik pegang bahu pun betul!

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dapat bertugas di awan biru, kru kabin ‘tukar angin’ layan penerima vaksin - “Dulu check boarding pass, sekarang check MySejahtera”

Ketika dihubungi mStar, pemuda berusia 21 tahun berkenaan menceritakan kisah di sebalik kejadian hingga dia 'dilamar' untuk menyertai AirAsia secara terbuka di media sosial.

Akui Izz dia ada berbual dengan seorang tetamu ketika bekerja sebagai pelayan sambilan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor hujung Jun lalu.

“Sejak 2019 memang saya selalu bekerja sambilan dekat hotel tu untuk cari duit tambahan atau isi masa lapang.

“Pada 26 Jun lalu, saya bekerja macam biasa sebagai pelayan dekat sana. Kebetulan hari tu waktu bekerja, salah seorang bos AirAsia bernama Suhaila Hassan tegur dan tanya mengenai latar belakang saya.

“Satu per satu soalanya saya jawab dalam keadaan agak malu. Secara tiba-tiba dia nak tawarkan saya kerja tapi saya pula tak cukup syarat nak bekerja di sana,” ujarnya.

Izz bekerja secara sambilan di Hotel Concorde, Shah Alam.

Kata Izz yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik, dia tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan antara syarat asas untuk memohon pekerjaan sebagai krew kabin .

Walau bagaimanapun, menurut Izz yang menetap di Shah Alam, Selangor, pihak AirAsia tetap mahu menawarkan kerja untuknya.

“Saya tiada kelayakan akademik SPM. Dulu saya belajar di sekolah Tahfiz di Pokok Sena, Kedah. Pada usia 16 tahun saya dihantar oleh ibu untuk belajar di Hadramaut, San'ah, Yaman sehingga 2019.

"Tapi dia tetap nak jadikan saya pramugara, dia akan latih saya sampai berjaya. Katanya saya kena mula daripada bawah sambil kena belajar bahasa Inggeris dan syarat-syarat lain.

"Lepas habis soal jawab tu saya beredar untuk sambung kerja sampai habis majlis. Tak lama lepas tu saya nampak Arman Rashid viralkan video dekat TikTok untuk berjumpa saya. Kemudian dia hubungi saya dan suruh datang temuduga pada Selasa, 5 Jun,” jelasnya.

Izz mendapat tawaran untuk bekerja sebagai krew syarikat penerbangan.

Namun ujar Izz dia sendiri tidak mengetahui faktor sebenar pihak syarikat penerbangan berkenaan mahu menawarkan pekerjaan kepadanya.

Ujar Izz, dia masih lagi terkejut dan teruja dengan tawaran yang tidak disangka-sangka ini.

Dalam pada itu, Izz turut menitipkan beberapa tip untuk dijadikan sebagai inspirasi agar lebih ramai di luar sana boleh melakukan kebaikan seperti dirinya.

Izz menetap di Shah Alam, Selangor.

“Saya anggap tawaran ni sebagai cabaran baharu buat diri saya. Saya bersyukur sangat sebab tak semua orang dapat peluang seperti yang Allah tunjuk sekarang ni.

“Dalam apa-apa perkara pun, kita perlu berbuat baik dengan sesiapa pun tak kiralah walaupun di luar waktu kerja. Tak sangka juga tempat kerja saya sekarang ni bukanlah semata-mata untuk bekerja layan orang tapi satu kerjaya yang boleh pergi jauh,” ujarnya.

Sementara itu rata-rata netizen turut mengucapkan tahniah kepada Izz kerana berjaya menunjukkan akhlak yang baik sewaktu bekerja sebagai pelayan hingga ditawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Daripada dulu saya pegang kata-kata ni... rezeki sangat berhubung rapat dengan akhlak yang baik. Kita ni kalau tak pandai dan tak bijak itu belakang kira, tapi akhlak kena baik.

“Apabila kita bagus dan ikhlas... rezeki tu datang tanpa diduga. Semoga dilimpahi lagi rezekinya,” ujar beberapa netizen di ruangan komen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain