suria

Mula-mula lenguh, badan bongkok selepas 2 tahun kahwin! Isteri pasrah suami dah tak boleh jalan tegak, keluar pakai baju besar

Amirah menceritakan kisah di sebalik penyakit tulang belakang dihidapi suaminya.

SETIAP pasangan yang sudah berumah tangga pastinya ada sahaja ujian mendatang.

Begitu juga dengan Amirah Bazilah, 30, yang mana suaminya, Muhammad Firdaus, 32, menghidap penyakit ankylosing spondylitis sejak 2019.

Dia yang senang disapa Amirah berkata, segalanya bermula sejak tahun pertama perkahwinannya pada 2017 apabila suami kerap mengadu masalah lenguh pada bahagian pinggang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahu kekasih sakit buah pinggang kronik, pemuda ini nak juga jadikan isteri! Lepas kahwin kena ‘bersaing’ dengan bapa mentua demi derma ginjal

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tanggung ujian berat selepas kahwin usia muda! Suami kudung dua kaki, sakit buah pinggang... nasib 4 anak kecil jadi tanda tanya

“Dulu masa baru kahwin, suami selalu mengadu lenguh dekat bahagian pinggang. Kami anggap saja bila jadi macam tu mungkin sebab kerja menghadap komputer dalam keadaan duduk berjam-jam.

“Merata tempat juga kami ikhtiar pergi mengurut. Bila tengok keadaan masih sama kami bawa jumpa ustaz untuk ‘berubat’ sebab ramai cakap suami kena buatan orang. Tapi saya tak percaya dia kena macam tu,” jelasnya ketika dihubungi mStar.

Menurut pasangan yang sudah berkahwin selama lebih enam tahun dan memiliki dua cahaya mata ini, masalah pinggang suaminya berlarutan sehingga 2019.

Jelas Amirah yang kini menetap di Melaka, keadaan fizikal suaminya kelihatan semakin parah apabila bentuk badannya melengkung menyebabkan dia terpaksa membongkok.

“Saya dengan suami terpaksa PJJ (pasangan jarak jauh) sebab dia kena kerja dekat site di Johor. Jadi saya jarang jumpa dia.

“Ada satu minggu tu dia balik Melaka saya tegur dia kenapa badan nampak macam pelik. Dia beritahu mungkin terlalu penat.

“Makin lama makin kerap dia mengadu lenguh pinggang jadi saya mula tak sedap hati pula. Saya ambil keputusan untuk bawa dia pergi jumpa doktor dekat hospital,” ujarnya.

Setelah selesai melakukan pemeriksaan di Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka, hasil keputusan yang diterima nyata mengecewakan pasangan ini.

Keadaan belakang Firdaus ketika berdiri.

Menurut doktor, suami Amirah menghidap penyakit autoimun yang jarang sekali berlaku malah hanya berlaku kepada tiga hingga empat orang sahaja dalam 1,000 orang.

“Saya ingatkan suami kena slipped disc, lepas Xray rupa-rupanya doktor beritahu penyakit lain. Berkemungkinan ni penyakit keturunan tapi bila tanya keluarga, mereka cakap tak ada pun yang kena macam ni.

“Bila kami pergi refer pakar Rheumatologist dekat sebuah hospital kerajaan di Melaka, doktor ambil sampel darah dan mengesahkan suami memang ada penyakit ankylosing spondylitis. Kami pun teruskan buat rawatan dekat sini.

Sekarang pun dia tidur dalam bentuk badan 45 darjah sebab tak boleh meniarap atau baring menegak macam biasa.

AMIRAH BAZILAH

“Pada awalnya saya agak sedih sebab banyak benda terbatas. Tak boleh nak buat kerja-kerja berat nanti badan dia akan sakit-sakit. Dia dan ubat tahan sakit tu dah macam kawan baik. Kalau tak ambil nanti badan tak tahan mesti sakit,” katanya.

Dalam pada itu, wanita yang bekerja sebagai penolong jurutera ini berkata dia cuba mencari inisiatif untuk merawat suami dengan rawatan fisioterapi.

Kata Amirah, setiap kali keluar, dia akan pastikan suaminya yang bekerja sebagai jurutera memakai baju bersaiz besar supaya masalah badan bongkoknya tidak jelas kelihatan.

Pasangan ini telah berumah tangga lebih enam tahun.

“Sekarang dia tidur dalam bentuk badan 45 darjah sebab tak boleh meniarap atau baring menegak macam biasa. Tahun ni suami dah tak kerja di site tapi di pejabat saja sebagai pelukis pelan.

“Saya ada bawa suami pergi mengurut supaya otot-otot tak keras walaupun doktor dah sahkan dirinya akan kekal dengan keadaan macam tu cuma sekarang boleh ikhtiar untuk melambatkan keradangan dari merebak saja.

“Keradangan ni ‘serang’ tulang belakang sampai ia bercantum jadi sebatang tulang (bamboo spine). Penyakit ni boleh serang mana-mana bahagian dekat badan kita. Macam suami saya kena bahagian pinggang dari tulang punggung sampailah ke pinggang,” Amirah menjelaskan semula apa yang dimaklumkan oleh doktor kepadanya.

Pasangan ini memiliki dua orang anak.

Untuk rekod, perkongsian Amirah mengenai penyakit suaminya di TikTok telah meraih lebih 1 juta jumlah tontotan.

Rata-rata warga maya mahu mengetahui lanjut mengenai penyakit suaminya sehingga wanita ini memuat naik lebih daripada tiga video untuk menjelaskan keadaan suaminya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain