suria

Isteri ‘menyampah’ Oyen asyik nak berkepit dengan suami, sekali hilang sanggup pula tebalkan muka minta tolong ustaz

Oyen sangat rapat dengan keluarga Che Ta terutama sekali suaminya.

"IBU tak larat pujuk dah, dia asyik tengok jalan je tunggu motosikal abah."

Begitulah apa yang berlaku kepada Yusnita Mohammed Mydin, 43,yang terpaksa berdepan dengan perangai kucingnya, Oyen yang terlebih manja sehingga mahu berkepit dengan 'bapanya' setiap masa.

ARTIKEL BERKAITAN: Lembu jantan liar tiba-tiba ‘manja teruk’... asyik nak dibelai, berpeluk dengan tuan - “Mak ayah Boi suka kejar orang”

ARTIKEL BERKAITAN: Kucing ‘manja semacam’ dengan tuan selepas cucuk vaksin, netizen kesan persamaan ketara antara Yeyen dan papanya

Tidak hairanlah kucing bernama Oyen cukup sinonim dengan ragamnya dan kenakalannya yang sering membuatkan pemilik mahupun orang kelilingnya pening kepala.

"Oyen memang sangat manja sebab dari umur tiga bulan kami bela dia. Dari kecil abah (suami) suka melayan makan dan minum dia jadi saya faham kenapa dia manja sangat dengan suami melebihi seorang manusia.

"Kalau suami ada dekat rumah memang akan berkepit saja 'dua beranak ni'. Kalau abah tengah cuci kolam atau buat kerja rumah, dia peneman setia tunggu sampai siap kerja.

"Saya pelihara kucing ni sebab kawan yang bagi. Jadi memang dah anggap macam ahli keluarga sendiri. Dia pun memang manja sangat dengan keluarga saya," jelasnya.

Menurut wanita yang mesra disapa Che Ta ini, video tersebut dirakam secara spontan ketika dia sedang berehat di laman kawasan rumah mereka.



Oyen akan tunggu Fadil pulang kerja setiap hari.

Jelas wanita yang tinggal di Juru, Pulau Pinang ini, pada waktu itu jam sudah menghampiri pukul 7 malam dan Oyen tidak mahu masuk ke dalam rumah walaupun telah disuruh banyak kali.

"Saya tengah lepak depan rumah ambil angin dengan Oyen. Itu memang dah jadi rutin harian saya dengan dia kalau suami tak balik lagi. Saya rakam video tu nak tunjuk dekat suami sebab sedih tengok dia tunggu sambil tengok jalan raya.

Ada satu perasaan yang tak boleh saya gambarkan, hanya orang yang bela kucing saja akan faham.

CHE TA

"Tapi masa dia 'merajuk' tak nak masuk rumah tu dah nak dekat Maghrib. Saya siap umpan ajak makan, tu pun dia buat tak peduli saja siap bagi jelingan tajam.

"Saya dah tak larat pujuk sebab dia buat tak tahu je dekat saya. Dia tenung jalan raya tunggu motosikal abah. Dia memang dah terbiasa sambut abah sebab dah kenal bunyi motosikal suami saya.

"Tapi masa hari saya rakam tu, abah balik lambat. Akhirnya, saya terpaksa dukung bawa masuk rumah sebab kesian tengok dia tunggu lama," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai Oyen, Che Ta berkata dia sudah lali dengan sikap anak bulusnya yang manja kerana telah dipelihara sejak kecil seperti anak sendiri.

Tambah Che Ta, bukan sahaja warna bulu, malah keletah si bulusnya juga sangat manja, malah kuat cemburu tapi tetap menghiburkan hati keluarganya.



Oyen dibela oleh kelurga Che Ta sejak berusia tiga bulan.

"Oyen penyeri keluarga kami dekat rumah. Kalau saya kurung dia dalam sangkar, mesti dia akan mengiau sampai saya keluarkan dia.

"Satu lagi perangai Oyen ni, dia paling tak suka kalau tengok saya pegang tangan suami saya. Kalau suami sengaja datang dekat saya sebab nak usik dia mesti Oyen akan bawa diri jauh-jauh. Kononnya dia tengah merajuk sampai suami panggil pun dia tak datang tanda protes," selorohnya.

Namun ibu kepada dua cahaya mata ini berkata dia mempunyai masalah alahannya terhadap bulu tetapi demi anak-anak dan suami yang merupakan pencinta kucing, wanita ini tetap memelihara kucing di rumah.

"Saya tak takut kucing pun dari kecil. Cuma saya ada asma jadi alahan agak teruk dengan benda berbulu. Tapi anak-anak memang nak sangat bela kucing sampai menangis jadi saya pun ikutkan saja.

"Kebetulan ada kawan nak bagi, jadi saya ambil bela sebab dah jadi suka sangat dekat kucing masa tu. Ada satu perasaan yang tak boleh saya gambarkan, hanya orang yang bela kucing saja akan faham.



Oyen pernah hilang suatu ketika dahulu semasa berusia enam bulan.

"Si Oyen yang kawan bagi ni, setiap generasi keturunan dia memang ada anak warna oren tapi satu pun tak hidup kalau kawan saya bela. Jadi kawan saya decide nak bagi saya bela mana tahu umur si Oyen ni panjang. Alhamdulillah dah lima tahun saya bela Oyen. Sihat dan makin gemuk sekarang," ujarnya.

Imbas Che Ta, dia dan suaminya Mohd Fadil, 45 yang bekerja di sebuah kilang di Juru pernah kehilangan kucing tersebut selama tiga hari ketika si bulusnya berusia enam bulan.

Tambahnya lagi, dia yang tidak mampu menanggung rasa rindu dan sedih atas kehilangan si comel ini terpaksa berjumpa ustaz perubatan Islam agar boleh membantunya mencari kucing kesayangannya.

"Oyen ni kucing kedua kami bela. Kucing pertama dulu orang curi dan memang tak jumpa semula dah. Oyen pun pernah hilang dulu. Saya terlampau sedih masa tu sebab sayang dekat Oyen ni dah macam ahli keluarga sendiri.

"Saya pergi jumpa ustaz sebab nak minta lembutkan hati orang yang ambil Oyen sebab ustaz tu buat perubatan Islam. Saya malu juga masa pergi jumpa bagitahu punca jumpa ustaz sebab kucing hilang tapi ustaz cakap 'tak apa saya faham'.

"Alhamdulillah lepas tiga hari jumpa balik. Rupanya jiran saya yang ambil. Dia kurung dalam reban ayam rumah dia. Saya dah agak Oyen tak pergi jauh pun sebab dari kecil saya bela Oyen ni tak pernah merantau jauh.

"Nasib dapat balik lepas saya pergi rumah jiran minta pulangkan. Mulanya nak tunggu jiran tu pulangkan tapi sebab dah tak tahan rindu dekat Oyen jadi saya pergi minta terus," ujarnya.

Tidak menyangka video Oyen menjadi tular, Che Ta berkata dia gembira apabila ramai yang terhibur dengan perkongsian santainya.



Che Ta (dua dari kanan) merupakan ibu kepada dua cahaya mata.

"Bagi mereka yang memelihara kucing atau sebarang jenis haiwan lain, jagalah mereka elok-elok dan sehabis baik. Jangan anggap mereka ini sebagai haiwan saja, anggaplah mereka sebahagian dari hidup kita.

"Jangan layan mereka sambil lewa sebaliknya ambil tanggungjawab menjaga mereka dengan penuh kasih sayang," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain