suria

Pakar beri nasihat padu kepada pemilik suka rawat sendiri kucing di rumah, dah teruk mulalah harap doktor buat magik!

Dr Salehatul menasihati orang awam untuk dapatkan pandangan pakar sebelum guna sebarang home remedies. (Gambar Hiasan)

RAWATAN menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati di rumah atau 'home remedies' bukanlah sesuatu yang asing baik di Malaysia mahupun luar negara.

Selain bersifat semulajadi, cara atau kaedah home remedies ini juga menjimatkan.

Justeru, tidak hairanlah ia dilihat menjadi antara pilihan utama terutama sekali bagi pencinta haiwan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mata anak berkaca di majlis konvo, puncanya terjawab masa sesi luah perasaan dalam kereta... naluri si ibu tepat!

ARTIKEL BERKAITAN: Luah niat nak beli rim, terdiam bila isteri kata ‘baik pergi Makkah’! Suami terpaksa guna taktik ‘renung gambar’ minta simpati

Namun apa yang mereka tidak sedar adalah tindakan ini mungkin secara tidak lansung akan menyebabkan kecederaan lebih parah.

Bercakap kepada mStar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali berkata, pihaknya kadangkala menerima haiwan dengan kecederaan yang lebih teruk akibat penggunaan ubat ubatan yang sering digunakan pada manusia seperti minyak gamat.

"Yang guna minyak gamat dekat luka ni antara yang tragis juga sebab lepas tu luka jadi lagi teruk, kulit kucing tu jadi melepuh macam terbakar.

"Kucing tersebut selamat, tapi peritnya tu... pegang pun tak boleh," katanya.



Dr Salehatul berkata menerima haiwan dengan kecederaan yang lebih teruk akibat penggunaan ubat ubatan yang sering digunakan pada manusia.

Berkongsi sebuah carta aliran yang menunjukkan 'lencongan jauh' yang dilakukan pemilik sebelum akhirnya membawa juga haiwan kesayangan mereka ke klinik haiwan, Dr Salehatul berkata, selain menyebabkan kecederaan lebih parah, pemilik juga berdepan dengan kos rawatan yang lebih tinggi.

"Kalau nasib baik pergi 'melencong' sana sini mungkinlah elok... kalau nasib tak baik? Kerosakan mungkin berlaku pada organ haiwan tersebut, duit pun terbang sebab kos tinggi, nak pulihkan kerosakan yang dilakukan ini bukan mudah.

"Tak perlulah 'pusing' jauh sangat, kalau kereta rosak terus pergi hantar bengkel kan? Kenapa kalau haiwan sakit tak terus dibawa jumpa doktor?

"Lepas tu mengharapkan kami ni buat magic, boleh bagi sembuh dalam sehari. Bila mati kami juga yang dikatakan tak betul," katanya.

Selain menggunakan minyak gamat, antara bahan lain yang kononnya mampu dijadikan penawar kepada penyakit haiwan termasuklah menggunakan air rebusan rumput helikopter, air lobak putih, kunyit dan lain-lain.

Menurut Dr Salehatul, mencari rawatan alternatif buat anak bulus khususnya tidak salah, namun ia mestilah dilakukan selepas mendapat khidmat nasihat daripada doktor haiwan terlebih dahulu.

Penggunaan kunyit untuk menghilangkan kutu, kurap dan fungus pada kucing sebagai contoh boleh menyebabkan kucing mengalami muntah-muntah, cirit birit atau masalah lain.



Kunyit boleh menyebabkan kucing mengalami muntah-muntah, cirit birit atau masalah lain.

Katanya, kunyit hanya boleh bertindak menghalau kutu disebabkan kutu berasa tak selesa justeru akan lari dari permukaan yang disapu kunyit. Bagaimanapun bahan itu tidak mampu membunuh kutu secara keseluruhan, malah masalah kutu akan berulang selagi persekitaran masih ada kontaminasi kutu.

"Kunyit mungkin baik pada manusia dan dianggap superfood tetapi, tiada atau terlalu sedikit kajian klinikal tentang keberkesanan kunyit pada kucing secara spesifik, jadi jangan guna secara berlebihan sebab kesan sampingan tetap ada.

"Tidak semua herba yang baik untuk manusia, sesuai untuk haiwan peliharaan terutama kucing, manusia pun kalau disalahguna atau berlebih berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan.

"Guna dengan berhati-hati dan berpada-pada, pantau jika ada kesan sampingan yang tak diingini, kalau nampak ada kesan sampingan bawa jumpa veterinar secepat mungkin," katanya, sambil menambah kesan sampingan tersebut mungkin tidak akan muncul serta merta.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain