suria

[VIDEO] Ibu sayu, hanya mampu lihat anak hidap Leukodystrophy berubah mengejut... kini terlantar longlai - “Doktor kata autisme, saya rasa tak logik”

IBARAT direntap sekelip mata!

Begitulah ungkapan yang boleh menggambarkan situasi yang menimpa anak sulung kepada wanita ini apabila berubah secara drastik dalam tempoh yang sangat singkat.

Daripada seorang kanak-kanak yang lincah dan aktif, Mohamad Nur Iman Ramadhani kini hanya mampu terlantar dan memerlukan bantuan 100 peratus untuk melakukan rutin hariannya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Akak jawab mata adik dekat syurga, Allah simpan” - Ibu tunggal sanggup buat apa saja demi anak hidap kanser... tabah walau cuti dah habis, gaji kena potong

ARTIKEL BERKAITAN: Kering air mata ibu lihat bayi derita kanser otot tahap 4, anggap ajaib jika sembuh... “Kalau sakit dia merengek, ketuk-ketuk muka”

Berkongsi cerita dengan mStar, ibunya, Nor Hanisah Haswan berkata, segala-galanya bermula pada Jun tahun lalu apabila anaknya yang disapa Iman, sering terjatuh ketika berjalan gara-gara hilang keseimbangan badan.

"Saya perasan bila berjalan, Iman selalu jatuh walaupun lantai rata. Saya ingat dia tak fokus sebab asyik terjatuh. Kemudian, bila saya bagi arahan minta ambilkan barang, dia macam tercari-cari seperti tak nampak.

"Hinggalah keadaannya berlarutan, saya tak sedap hati dan bawa Iman pergi ke klinik. Doktor di klinik kata Iman autisme. Masa tu saya rasa tak logik sebab sembilan tahun Iman membesar seperti kanak-kanak normal.

"Iman aktif di sekolah malah dia seorang yang bijak dalam akademik. Tak berpuas hati, saya bawa pula ke klinik swasta. Doktor di klinik itu minta saya segera rujuk Iman ke hospital.

leuko 1

Sebelum didiagnos menghidap Leukodystrophy, Iman seorang kanak-kanak yang aktif, lincah dan bijak.

"Saya dan suami bawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh. Iman jalani pelbagai prosedur termasuk CT Scan dan MRI. Dua hari dia di wad dan ketika itu, doktor diagnos penyakitnya sebagai Leukodystrophy," ujar wanita berusia 29 tahun ini.

Menurut Nor Hanisah, perasaannya bercampur baur selepas mendengar penerangan doktor mengenai penyakit yang pertama kali didengarnya itu.

"Doktor kata penyakit ni berbahaya. Ia akan menjadi makin teruk di mana ia akan beri kesan kepada otot, sering sesak nafas, pundi akan bermasalah dan sebagainya.

"Doktor memang berterus terang mengenai keadaan Iman dan saya tersentak bila doktor kata, tak ada ubat boleh sembuhkan penyakit ini. Ibu mana yang tak sedih.

leuko 3

Iman memerlukan bantuan 100 peratus untuk bergerak serta menguruskan diri sendiri.

"Iman anak sulung daripada tiga adik beradik dan satu-satunya anak lelaki. Dia aktif dan bijak... namun tiba-tiba jadi macam tu. Sebelum tu kami bercuti, Iman aktif dan sihat sahaja.

"Iman juga tak ada simptom sawan atau demam. Memang mengejut saja bila mula-mula dia tak boleh berjalan. Doktor kata ia berpunca daripada genetik, namun tiada dalam kalangan keluarga yang ada masalah saraf. Sungguhpun berat, saya reda dan anggap ia adalah ujian," ujarnya yang menetap di Jerantut, Pahang.

Berkongsi situasi Iman selepas beberapa bulan menghidap penyakit tersebut, Nor Hanisah berkata keadaan kesihatan anaknya semakin merosot dan paling ketara sejak dua bulan kebelakangan ini.

"Iman perlukan tumpuan 100 peratus. Dia tak boleh dah nak urus diri sendiri walaupun untuk menyuap makanan. Saya dan suami yang uruskan bab mandi, makan, kebersihan dan sebagainya.

Doktor memang berterus terang mengenai keadaan Iman. Saya tersentak bila doktor kata tak ada ubat boleh sembuhkan penyakit ini. Ibu mana yang tak sedih.

NOR HANISAH HASWAN

"Dia tak boleh langsung berjalan, memang perlu didokong. Kalau papah, jatuh juga sebab Iman seolah-olah lembik. Pertuturan Iman juga dah terjejas dan makin perlahan.

"Dulu ada juga ikhtiar kampung tapi sekarang ini Iman perlu jalani terapi dan juga pemulihan secara berkala. Sebak sangat bila dia cakap, dia sedih tak macam dulu. Kadang-kadang dia menjerit. Sebagai ibu, saya banyak beri sokongan dan kata-kata untuk elakkan dia stres dan kuat semangat.

"Buat masa ini, saya tinggalkan seketika bisnes bundle sebab Iman memerlukan perhatian khusus. Mujurlah dua adiknya yang berusia lapan tahun dan tiga tahun seolah-olah mengerti situasi abang mereka," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Tidak menyangka perkongsiannya di aplikasi TikTok meraih sehingga 1.9 juta jumlah tontonan, Nor Hanisah berkata dia amat terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh warganet.

leuko 2

Keadaan kesihatan Iman merosot dalam tempoh tiga bulan.

"Ramai yang share pengalaman anak masing-masing. Ramai juga yang nak offer rawatan serta bantuan. Ada yang nak hadiahkan tilam. Mereka siap call dan WhatsApp.

"Tak kurang juga yang minta nombor akaun. Malah terlalu ramai yang mendoakan. Ya Allah, saya sangat terharu. Tak sangka macam tu sekali impak dia.

"Saya upload sebagai kenang-kenangan saja. Manalah tahu, nanti Iman sembuh, boleh tengok semula video ini.

"Sebagai ibu, tiada apa yang saya harapkan melainkan melihat Iman macam dulu semula. Mungkin sukar untuknya sembuh, tapi sekurang-kurangnya dia boleh bangun dan berjalan walau dalam rumah.

"Saya tak berani nak harap lebih... takut kecewa," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain