suria

Cuti panjang sebab ‘ramai nak datang rumah’, itulah petandanya! Gadis meraung, muntah dari Cameron Highlands ke Kemaman dapat berita BFF meninggal

Hubungan akrab Ira dan Aini seperti adik beradik.

"HARI jadi tahun ni adalah yang paling sukar buat saya kerana rasa macam hilang adik sendiri. Tiada langsung rasa nak celebrate, mungkin hanya doa dititip dan ziarah ke kubur dia."

Demikian luah gadis ini dalam nada sebak ketika bercerita mengenai pemergian sahabat baiknya, beberapa hari lalu.

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Shahira ini berkata, sahabat baiknya, Nur Qurratul Aini, 22, meninggal dunia selepas dilanggar sebuah lori pada tanggal 2 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang 3 sahabat serentak, wanita ini kongsi apa berlaku di grup WhatsApp sehari sebelum kejadian - “Saya ada komen, dia tak respon seperti kebiasaan”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini setia jaga sahabat terlantar di wad sehingga akhir hayat, siap tukar lampin... diam-diam ada yang rakam kebaikannya!

Lebih pilu, dia tidak sempat menatap wajah sahabatnya buat kali terakhir sebelum dikebumikan kerana bercuti bersama keluarga.

Mengimbas kembali tragedi pilu itu, gadis yang senang disapa sebagai Ira ini berkata, dia menerima perkhabaran duka mengenai pemergian sahabat yang dianggap seperti saudara kandung ketika dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands.

Sahabat baik Ira, Nur Qurratul Aini (kiri) meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 2 November lalu.

Sahabat baik Ira, Nur Qurratul Aini (kiri) meninggal dunia dalam satu nahas jalan raya pada 2 November lalu.

"Kalau nak diikutkan, rumah kami jaraknya dua, tiga minit je... kami sekampung. Nak dijadikan cerita, hujung minggu itu saya tengah bercuti dengan famili dekat Cameron. Hari arwah Aini kemalangan, ia adalah hari terakhir kami bercuti di sana.

"Masa dah bertolak pulang dari Cameron, ketika jalan tengah sesak teruk tengah hari tu, saya dapat call daripada kawan abang arwah. Dia hantar gambar motor arwah yang tersadai dan tanya 'betul ke ini Aini?'.

"Saya terus call Aini tapi tak dapat, kemudian saya call abang dia. Luluhnya hati bila abang dia beritahu, Aini sah kemalangan dan meninggal dunia. Saya meraung dalam kereta dan keluarga saya terutama ibu sedih sangat.

bff 1

Berita kemalangan yang menimpa Aini turut dilaporkan media tempatan.

"Kami batalkan rancangan nak singgah tempat lain sebaliknya terus pulang ke Kemaman. Dalam perjalanan, semua diam sebab terlalu sedih," ujarnya yang berusia 22 tahun.

Ira berkata, gara-gara aliran trafik sesak teruk pada hari itu, dia dan keluarganya tiba di kampung mereka kira-kira pukul 1 pagi.

"Kalau nak tahu, sepanjang perjalanan saya menangis dan beberapa kali muntah. Saya tak henti berdoa moga saya ada kesempatan nak tatap wajah arwah sebelum dia dikafan dan dikebumikan, namun apakan daya.

"Arwah dikebumikan sekitar pukul 12 tengah malam... saya hanya lewat satu jam saja. Terkilan dan sedih sangat. Seperti Allah tak izin saya jumpa dia. Mungkin nanti kalau berpeluang, saya tak dapat kawal rasa sedih teramat.

bff 2

Ketika sambutan ulang tahun kelahiran arwah Aini (kiri) pada September lalu.

"Jadi saya reda walaupun hanya dapat tengok 'rumah baru' arwah saja. Saya anggap ada hikmah yang Allah aturkan," katanya yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perniagaan Pengedaran) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Ira turut berkongsi beberapa insiden yang seolah-olah seperti petanda sebelum sahabatnya itu meninggal dunia.

"Tak tahu kenapa, hari arwah meninggal dunia, dari pagi ada je semua benda tak kena berlaku masa kami bercuti. Secara kebetulan, saya, ibu dan adik pakai baju putih.

"Kemudian, ayah pula terjatuh bilik air. Selepas itu, perjalanan pulang kami ambil masa terlalu lama sampai tak sempat tengok arwah.

Saya tertunggu-tunggu sebenarnya apa kejutannya masa birthday saya 8 November nanti. Tak sangka pemergiannya adalah kejutan yang diberi.

NURUL SHAHIRA

"Kalau diingat semula, ada lagi benda yang bermain di fikiran. Sebelum kejadian, arwah yang juga seorang guru tadika minta cuti panjang dengan pengetuanya dan beritahu ramai orang nak datang rumah.

"Pengetuanya ingat ada kenduri dan arwah nak habiskan cuti tahunan. Rupa-rupanya memang betul dia 'bercuti panjang'," ceritanya lagi.

Berkongsi cerita mengenai persahabatan mereka pula, Ira berkata dia sudah mengenali arwah sejak di bangku sekolah, namun mulai rapat ketika masing-masing tamat tingakatan lima.

"Lima tahun bersahabat namun tempoh itu sudah cukup buatkan kami akrab. Pergi ke mana-mana bersama, pakai baju pun sama, malah keluarga kami pun akrab sebab dah anggap masing-masing macam anak sendiri.

bff 3

Hubungan akrab Ira dan Aini seperti adik beradik.

"Arwah sangat baik, pandai ambil hati dan dia suka buat surprise. Saya tertunggu-tunggu sebenarnya apa kejutannya masa birthday saya 8 November nanti. Tak sangka pemergiannya adalah kejutan yang diberi," katanya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya di aplikasi TikTok menjadi tular, Ira berkata dia sekadar mahu meluahkan kesedihan terhadap pemergian arwah dan mengimbas kembali momen-momen mereka bersama.

"Alhamdulillah, saya terharu sangat ramai yang doakan dan sedekahkan Al-Fatihah untuknya.

"Secara tak langsung, saya cuba sampaikan mesej agar hargai sahabat masing-masing. Semurah mana pun gajet kita, tapi rekodlah video walaupun simple.

"Ia sangat bermakna kalau dia atau kita yang tiada lagi nanti. Selain kekal dalam ingatan, tapi kita juga boleh tengok momen-momen yang dirakam banyak kali. Dan paling penting, jangan malu mengaku perasaan sayang kepada mereka," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain