suria

Lori jatuh gaung, perjalanan atuk berakhir di Pahang! Hajat nak tengok cucu paling ditunggu di Kedah tak kesampaian - “Suami sempat video call”

Nazli (kiri) sedang dalam perjalanan ke Raub, Pahang apabila lori yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung setinggi 30 meter.

TIGA tahun dia menantikan kehadiran cucu sulung, namun siapa sangka trip penghantaran barang ke Pahang kali ini merupakan 'perjalanan terakhirnya' yang mana selepas itu dia merancang untuk singgah ke Kedah bertemu dengan buah hati barunya itu.

Tanpa dapat menunaikan apa yang dihajatkan, ajalnya tiba terlebih dahulu.

"Allahuakbar luluh hati kami tengok video ni ayah, Allah lebih sayangkan ayah, ayah tak sempat nak mai tengok cucu ayah, ayah nak sangat cucu perempuan.. penantian cucu almost tiga tahun," tulis Nurul Najiha Borhan, 26, dalam video yang dikongsikan di akaun TikToknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Berkopiah masuk dapur, video masak kerang mampu raih jutaan views... rupa-rupanya ramai suka sebab ustaz muda ni ada ‘selit’ ilmu lain

ARTIKEL BERKAITAN: Percaya atau tidak... gaya tidur dapat bantu turunkan berat badan!

Berkongsi kisahnya dengan mStar, Najiha yang menetap di Gurun, Kedah berkata, bapa mentuanya Nazli Misnon, 56, sedang dalam perjalanan ke Raub, Pahang apabila lori yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung setinggi 30 meter.

Nazli serta seorang lagi individu lain yang turut berada dalam lori terbabit gagal diselamatkan.

"Kejadian berlaku pada 2 September dalam pukul 3.30 petang, kami dapat panggilan telefon daripada makcik tapi dah lewat petang juga masa tu, dia yang maklumkan mengenai kemalangan tersebut.

“Ayah berasal dari Sungai Air Tawar, Selangor, kejadian tu berlaku dekat Bentong, Pahang, masa tu ayah dari kilang di Sungai Air Tawar nak ke Raub, Pahang hantar baja.

“Kalau tak silap jalan tu macam turun bukit kemudian ada selekoh, lori ayah bawa muatan berat, masa turun bukit tu brek tak berfungsi jadi terus terjun gaung 30 meter,” ceritanya.



Nazli (kiri) bersama anak sulungnya, iaitu suami Najiha, Muhamad Amirul Izzuan.

Najiha turut berkongsi video rakaman dashboard cam yang diperolehi daripada lori yang dipandu bapa mertuanya itu.

"Ada yang cakap ayah bawa laju, tak ada turun bukit orang nak bawa laju. Suami saya ada beritahu arwah sempat maklumkan pada bomba yang brek tak berfungsi, dari video pun nampak lampu brek menyala, dia tekan brek tapi brek tak berfungsi.

“Bila turun bukit dengan muatan berat dekat belakang memang automatik lori akan jadi laju, tambah-tambah bila brek tak berfungsi,” katanya.



Nazli (kanan) bersama anak-anak, Najiha (dua, kanan).

Menurut Najiha, selepas kemalangan, bapa mentuanya dikatakan masih berada dalam keadaan sedar.

“Lepas kemalangan tu mentua saya ada lagi, dia minta tolong orang perbetulkan punggung dia bagi lurus.

“Masa bomba sampai nak bawa naik masa tu mentua saya dah senyap,” kongsinya.



Najiha mendukung anaknya yang juga merupakan cucu sulung Nazli yang ditunggunya selama tiga tahun.

Menurut Najiha dia sedikit terkilan kerana bapa mentuanya itu tidak sempat untuk berjumpa dengan cucu sulung yang berusia hampir tiga bulan.

“Sebelum kejadian suami saya ada video call dia tunjuk cucu tapi arwah tak sempat nak dukung, lepas trip ke Pahang tu dia ada cakap nak datang Kedah tengok cucu tapi tak kesampaian.

“Ni kira cucu sulung dia, kami berkahwin almost tiga tahun ni baru ada rezeki,” katanya.

Menurut Najiha arwah mempunyai tiga anak lelaki, seorang daripadanya telah meninggal dunia juga akibat kemalangan jalan raya manakala anak bongsunya kelainan upaya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain