suria

Tak jemput masuk grup WhatsApp, rupa-rupanya ada komplot nak bawa ‘rombongan pengantin’ di sebalik undangan makan roti canai

Izazi menerima kejutan daripada rakan-rakan yang meraikan hari jadinya, April lalu.

HATI siapa yang tidak berbunga ataupun tersentuh apabila menerima kejutan sempena ulang tahun kelahiran?

Beruntungnya si gadis ini dikurniakan ramai sahabat yang bukan sahaja tidak melupakan tarikh hari jadinya, malahan siap berpakat untuk hadir beramai-ramai dengan membawa pelbagai jenis makanan sebagai kejutan.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan gadis berkenaan benar-benar terkedu dan terkejut saat melihat kelibat sahabat-sahabatnya muncul dari belakang sambil menyanyikan lagu 'Happy Birthday' untuk dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan jadi kecoh! BFF campak hadiah gelang emas RM11,000 ditemui dalam shell out - “Kena gertak suruh makan sampai habis”

ARTIKEL BERKAITAN: “Sekarang kami dah mampu beli hadiah” - Rakan-rakan buat ‘air mata jantan’ pemuda ini gugur, tak sia-sia tunjuk contoh kasut idaman

Perkongsian tersebut kini meraih sehingga 111,800 jumlah tontonan selain dibanjiri dengan komen netizen yang menyifatkan dirinya begitu bertuah dikelilingi sahabat yang baik.

"Bestnya... aku kawan baik empat orang tapi birthday aku sekali pun tak pernah sambut.

"Untungnya dapat kawan-kawan macam ni. Aku jangankan surprise, wish pun tidak sebab diorang tak ingat birthday aku," demikian antara komen yang dilontarkan netizen.

Menurut Nur Izazi Adilah Mohd Khairil Azman Panjabi, sebenarnya video kejutan tersebut adalah video lama yang dirakam ketika hari jadinya pada 8 April lalu namun hanya baru dimuat naik di TikTok.

"Kebetulan dekat TikTok ketika ini hangat dengan trend post video terakhir dalam galeri telefon bimbit. Video hari jadi ini adalah video latest dalam handphone saya, jadi saya pun sajalah post.

"Ketika itu kami masih lagi belajar di kampus Kolej Matrikulasi Arau, Perlis. Sebenarnya hari jadi saya jatuh pada 8 April tapi mereka buat kejutan pada 11 April.

izazi 2

Izazi (depan, tiga dari kiri) menerima kejutan rakan-rakan sempena hari jadinya pada April lalu.

"Masa menjelang hari jadi saya, kami sebenarnya sangat sibuk dengan tutorial, assignment... jadi memang tak boleh nak lepak sangat. Saya pun handle beberapa program, agak sibuk dan tak fikir sangat pun pasal birthday.

"Lagipun mereka masing-masing dah bagi ucapan jadi saya tak expect apa-apa. Tapi kebetulan satu malam tu, seorang rakan ajak makan roti canai. Tak sangka ia 'umpan' sebab mereka nak buat surprise," kata gadis berusia 19 tahun ini.

Senang disapa sebagai Izazi, gadis ini berkata dia benar-benar terharu melihat kegigihan sahabat-sahabatnya meluangkan masa ketika masing-masing sedang sibuk malahan siap membawa pelbagai jenis makanan.

izazi 1

Izazi bertuah dikelilingi rakan-rakan baik yang sentiasa menyokong setiap penglibatannya di dalam setiap aktiviti di kolej.

"Kami memang tak boleh keluar kampus nak beli makanan atau apa-apa. Tapi mereka order dan minta tolong dengan kawan-kawan dekat luar, saudara mara untuk dikirim ke dalam kampus.

"Memang terharu habis dengan effort mereka. Lebih 20 orang juga yang datang. Selepas kejutan tu, saya tanya mereka macam mana plan. Rupa-rupanya mereka create satu grup WhatsApp tanpa invite saya. Lepas buat surprise baru invite.

"Tapi sampai sekarang mereka tak nak beritahu siapa mastermind," katanya yang bakal melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi), Perak.

Bercerita lebih lanjut, Izazi tidak menafikan dia terlalu bersyukur kerana mempunyai 'circle' sahabat baik yang begitu ramai.

Mereka inilah yang selalu support saya dalam apa jua program yang saya handle. Senang cerita, tanpa mereka, siapalah saya.

IZAZI

"Saya banyak campur dengan circle yang pelbagai sebab aktif di kolej. Bila sama-sama jumpa, secara tak langsung, kawan daripada circle yang berlainan ini pun boleh 'connect' dan menjadi circle yang besar.

"Mereka inilah yang selalu support saya dalam apa jua program yang saya handle. Senang cerita, tanpa mereka, siapalah saya," ujar anak bongsu daripada tiga adik beradik ini.

Tidak menyangka perkongsiannya menarik jumlah tontonan yang ramai, Izazi berkata dia tersentuh apabila membaca komen-komen netizen terutama sekali yang tidak pernah merasai momen seperti mana dirinya.

izazi 3

Izazi (tengah) merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik.

"Bila baca banyak juga komen yang beritahu mereka tak pernah dapat surprise birthday dari kawan-kawan, saya rasa terpanggil nak share sama-sama kegembiraan dengan mereka.

"Saya rancang nak buat giveaway secara random tapi tak sangka pula dapat sambutan ramai. InsyaAllah, saya cuba kongsi mengikut kemampuan sendiri.

"Kepada yang bertanya pelbagai soalan antaranya tip dalam persahabatan, apa yang boleh saya kongsikan, kita hanya perlu menjadi diri sendiri... kena pandai sesuaikan diri.

"Tak perlu nak pilih kawan konon nak jaga standard dan sebagainya sebab kita pun ada kelemahan sendiri. Pendek kata, kita respect orang, orang akan respect kita semula," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain