suria

Isteri sedang berpantang reda suami disahkan ada masalah paru-paru, tak sempat keluar wad positif Covid-19 pula... tiada memori ketika anak newborn!

Muzammil (kiri) disahkan menghidap penyakit paru-paru berair selepas demam selama dua minggu.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah dugaan yang perlu dipikul seorang isteri apabila terpaksa berpisah dengan suaminya ketika sedang berpantang.

Rakaman video yang dimuat naik oleh wanita berkenaan menunjukkan bagaimana dia diuji apabila suaminya tiba-tiba jatuh sakit selepas menyambut kelahiran anak sulung mereka,

Perkongsian tersebut setakat ini meraih 190,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis nyaris bawa ATV ‘membelah’ lautan, kawan cuak terus lompat turun - “Rupa-rupanya dia tak pernah tunggang motosikal pun”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahan berjauhan, gadis ini bawa kucing kesayangan tinggal di kolej... sanggup menyewa di luar selepas kantoi! - “Saya menangis dan merayu”

Bercerita lebih lanjut kepada mStar, Fatini Md Zahari, 24, berkata, video tersebut dimuat naik untuk dijadikan peringatan buat dirinya dan suami, Muhammad Muzammil Junaidi yang sebaya usia untuk kekal bersemangat demi anak mereka.

Jelasnya lagi, suaminya jatuh sakit 15 hari selepas dia melahirkan anak sulung mereka, Muhammad Eusof Muhammad Muzammil yang kini berusia 41 hari.

"Video itu saya buat sebab nak bagi semangat untuk diri sendiri dan suami supaya terus kuat demi anak.

"Sebab saya baru sahaja melahirkan anak sulung kami pada 3 Ogos lalu dan suami jatuh sakit sewaktu hari ke-15 berpantang.

IMG_8425

Pasangan ini dikurniakan cahaya mata sulung lelaki pada 3 Ogos 2021.

"Sekarang ni dah masuk hari ke-18 suami menjalani rawatan di sebuah hospital di Kelantan. Suami saya dulu sangat aktif bersenam, tak pernah ambil apa-apa supplement.

"Memang tak sangkalah kami berdua diuji waktu dikurniakan cahaya mata yang pertama dan ketika suami saya masih muda," katanya yang kini sedang berpantang bersama keluarganya di Ketereh, Kelantan.

Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, suaminya demam selama dua minggu sejak 17 Ogos lalu dan terpaksa dimasukkan ke hospital kerana masalah paru-paru berair.

Bagaimanapun, wanita ini sekali lagi diuji apabila suaminya disahkan positif Covid-19 selepas 10 hari mendapatkan rawatan di hospital tersebut.

"Pada mulanya suami demam biasa selama 14 hari, minggu yang pertama tu kami ke klinik dan doktor bagi antibiotik. Tapi bila dah habis makan ubat semua, suami masih lagi demam... swab test menunjukkan keputusan negatif.

"Masuk minggu kedua, dia tak dapat tidur selama seminggu. Bermulalah panic attack dan anxiety sebab tak tidur, jadi kami mengambil keputusan untuk terus ke unit kecemasan hospital.

IMG_8424

Muzammil terpaksa dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan paru-paru, namun disahkan positif Covid-19 pada 5 September lalu.

"Doktor membuat pemeriksaan keseluruhan dan mendapati paru-paru suami berair dan terpaksa di masukkan ke wad untuk rawatan. Tetapi selepas 10 hari di hospital, tiba-tiba dia dijangkiti virus Covid-19 dan 19 pesakit di dalam wad itu juga disahkan positif.

"Maka terpaksalah suami saya dipindahkan ke wad lain untuk kuarantin lagi 10 hari. Sekarang dia masih menunggu untuk habiskan tempoh kuarantin dan akan dipindahkan ke wad biasa semula bagi mendapatkan rawatan susulan," ujarnya yang mesra disapa Fatini.

Fatini mengakui dia pada mulanya berharap agar dugaan ini hanya bersifat sementara sahaja, namun pasrah apabila satu demi satu ujian Allah diberikan kepada mereka.

Pasangan ini reda dengan takdir dan berharap ada hikmah di sebalik segala dugaan yang dilaluinya.

"Cuma suami sedih tak dapat nak main dengan anak waktu newborn ni. Tapi dia sempatlah merawat luka saya sebaiknya dalam tempoh 14 hari pertama bayi lahir, lepas saya dah sembuh baru suami sakit.

Satu benda yang saya belajar dari pengalaman ini ialah jangan ingat muda-muda tak kena penyakit.

FATINI MD ZAHARI

"Saya berpantang di rumah keluarga saya di Kelantan. Mak ayah, kakak dan adik saya banyak membantu untuk uruskan anak.

"Setiap hari saya berhubung dengan suami dan update pasal anak, dia berharap semua ni segera berakhir dapat balik jaga bersama-sama," ujarnya.

Menurut Fatini yang merupakan usahawan keropok lekor ini, dia hampir berputus asa tetapi sedar bahawa Allah tidak akan menguji seseorang luar dari kemampuannya.

Mengenangkan perkara tersebut, dia terus memberi semangat kepada suaminya yang masih lagi berada di hospital.

"Sudah pasti saya ada rasa macam nak give up waktu awal-awal. Tapi kalau difikirkan semula, Allah tak akan menguji seseorang lebih dari kemampuannya.

"Jadi saya kena kuat untuk terus bagi semangat pada suami. Saya bersyukur kedua-dua belah keluarga dan rakan-rakan turut membantu beri semangat kepada kami.

IMG_8423

Keluarga Fatini (empat, kanan) membantu menguruskan bayinya ketika berpantang.

"Satu benda yang saya belajar dari pengalaman ini ialah jangan ingat muda-muda tak kena penyakit. Sebab kita takkan tahu bila Allah nak uji.

"Jika demam berlarutan pergi hospital segera, mungkin kita ingat demam biasa tapi sebenarnya tidak. Tak semestinya Covid-19 je penyakit yang ada sekarang ni.

"Bagi yang berkemampuan lebih tu, segeralah buat medical card. Kita rasa kita tak akan sakit, tapi bila dah sakit nanti menyesal tak sudah bila melihat kos rawatan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak