suria

Nampak steady, dalam hati siapa tahu! Ramai kagum tengok Tokmok umur 90 tahun anyam ketupat sambil baring, cucu dedah neneknya sedang sedih baru hilang anak

Video Tokmok yang menganyam ketupat sambil berbaring menjadi tular di TikTok.

OTAI masih berbisa!

Itulah perkataan sesuai bagi menggambarkan gelagat selamba seorang nenek menganyam ketupat daun kelapa sambil berbaring.

"Atok aku paling steady... umur dah 90 tahun. Anyam ketupat sambil baring,. Agak-agak budak sekarang pandai tak anyam ketupat," demikian tulis penerangan pada satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: “Makwe saya ni sudah ada sejak zaman Jepun lagi” - Hilang rindu dapat video call orang tersayang usia 105 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak boleh duduk saja, nanti peluh tak keluar” - Umur 104 tahun, kudrat Tok Pora setanding anak muda... mudah sangat petuanya!

Sehingga kini, video berkenaan meraih lebih 72,000 sejak dimuat naik dalam tempoh 24 jam.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammah Syahmi Mohd Hair berkata, gelagat neneknya itu dirakamkan oleh abangnya pada Isnin, ketika seisi keluarga sedang membuat persiapan untuk meraikan Hari Raya Aidiladha pada Selasa.

"Saya seorang saja tak balik kampung sebab menetap di Kuala Selangor, manakala adik beradik, ibu bapa dan sepupu sepapat semua menetap di Sungai Mati, Muar, Johor.

"Saya seorang saja duduk jauh... jadi abang rekod video atok (nenek) dan hantar dekat WhatsApp. Saja nak kongsi suasana keluarga sedang buat persediaan dan gotong royong nak sambut raya.

nenek baru 2

Foto kenangan keluarga besar Muhammad Syahmi ketika menyambut Aidilfitri bersama Tokmok pada 2017.

"Sebenarnya atok yang kami panggil Tokmok ketika itu masih bersedih selepas kematian anak lelakinya yang juga pakcik saya, minggu lalu. Sebulan Tokmok tak dapat berjumpa sejak pakcik saya dimasukkan ke hospital sehinggalah menghembuskan nafas terakhir. Itu yang dia berbaring saja.

"Mujurlah dekat rumah atok memang ada ramai sepupu sepapat dan ibu serta bapa saudara yang tinggal serumah dengannya... bolehlah ceriakan dan bagi semangat pada Tokmok. Saya sendiri tak ketinggalan bercakap dengan Tokmok menerusi panggilan video untuk tanya khabar dan bagi semangat padanya," katanya.

Menurut Muhammad Syahmi, dia sudah dua tahun tidak dapat pulang beraya di Muar, Johor sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

nenek baru 3

Muhammad Syahmi (depan, empat dari kanan) bersama sepupu-sepupu dan Tokmok ketika masih kecil.

"Rindu sangat nak rasa kemeriahan raya dekat kampung... bergotong royong masak juadah, kemas rumah. Semua akan ambil bahagian dan turun padang, tak ada yang terkecuali termasuk lelaki.

"Paling best, kami semua tidur lambak dekat rumah Tokmok. Rumahnya besar dan memanjang, memang pakat-pakat berkumpul. Semestinya rindu nak kucup tangan Tokmok dan juga makan juadah raya air tangannya.

nenek baru 4

Aktiviti gotong-royong merupakan aktiviti wajib setiap kali tibanya perayaan atau majlis kenduri.

"Tokmok walaupun dah 90 tahun, dia masih kuat untuk memasak atau menumbuk sambal. Asam pedas daging adalah hidangan air tangannya yang paling menjadi kegemaran semua. Rahsianya masih sihat, setahu saya Tokmok ni berpantang makan ayam, minuman manis dan dia tak makan pada waktu malam," cerita bapa kepada seorang cahaya mata ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Tambahnya, Tokmok sememangnya sangat rapat dengan semua cucunya malah dia sendiri dipelihara oleh neneknya itu sewaktu kecil sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama.

Tokmok ni dari kami kecil hinggalah dah berkahwin, dia tak pernah gagal beri duit raya dekat semua cucu-cucu dia. Semua dapat.

MUHAMMAD SYAHMI MOHD HAIR

CUCU

"Bukan saya saja, semua cucu Tokmok jaga sejak kecil sebab kami semua duduk dekat rumah dia. Saya masih ingat, Tokmok akan jemput setiap kali saya pulang dari tadika.

"Antara kenangan raya paling seronok, Tokmok ni dari kami kecil hinggalah dah berkahwin, dia tak pernah gagal beri duit raya dekat semua cucu-cucu dia. Semua dapat sama... tak lebih dan tak kurang.

solat sunat

Seisi keluarga menunaikan solat sunat Aidiladha berjemaah di rumah Tokmok, pagi Selasa.

"Selain itu, Tokmok ni rajin bersedekah... setiap bulan, duit pencen arwah datuk kami akan digunakan untuk beli barang dapur dalam kuantiti yang banyak dan dia akan beri serba sedikit barang dekat anak-anaknya, malah pekerja Indonesia yang tinggal berdekatan," ceritanya yang juga seorang ejen Perodua.

Tidak menyangka perkongsiannya mengundang perhatian netizen, Muhammad Syahmi berkata dia sekadar mahu mengabadikan kenangan dan melepaskan rindu kepada neneknya dan suasana beraya di desa.

nenek baru 1

Tokmok bersama sebahagian daripada cucu-cucunya.

"Ramai yang komen rindukan nenek mereka yang sudah tiada, malah ramai yang rindu nak pulang ke kampung selepas sekian lama beraya di perantaun. Yang paling menyentuh hati, ada seorang netizen kagum dengan nenek yang kuat walau dah tua, sedangkan dia strok pada usia 35 tahun.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan Tokmok. InsyaAllah, kalau diberi kelonggaran untuk merentas negeri kelak, memang rumah Tokmok tempat yang saya akan tuju dulu," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain