suria

Belajar engineering, kerja jawab call! Graduan kejuruteraan penerbangan akur ‘tercampak’ dalam bidang khidmat pelanggan - “Sekarang bukan masa memberontak”

Meor Rifaat yang merupakan graduan jurusan kejuruteraan penerbangan kini bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan (CSR) sejak lapan bulan lalu.

SITUASI pandemik Covid-19 yang sudah berlarutan lebih dari setahun sememangnya meninggalkan impak yang besar buat setiap individu.

Ramai yang diberhentikan kerja dan sumber pendapatan terjejas teruk, menyebabkan ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk memilih pekerjaan.

Begitu juga dengan pemuda ini yang pada asalnya mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan namun 'tercampak' dalam bidang lain demi kelangsungan hidup.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berbudi kepada tanah takkan rugi” - Pereka grafik wanita ini rela tinggalkan kehidupan kota, balik Teluk Intan jadi petani

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu lelaki ini kena reject sebab pekerjaannya, kini puas hati ibu ex gf terlopong lawat kebunnya - “Sudah terlambat aunty, saya bukan petani biasa-biasa”

Menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, pemuda tersebut berkongsi serba sedikit pengalamannya yang kini bergelar wakil khidmat pelanggan (Customer Service Representative).

Video tersebut sehingga kini meraih lebih daripada 163,000 jumlah tontonan.



Meor Rifaat menamatkan pengajian pada Jun 2020.

Menurut Meor Rifaat Meor Rafeq, dia menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan penerbangan (aviation engineering) dari sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pada Jun 2020 iaitu ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Beberapa bulan juga mencari kerja namun tiada rezeki. Kemudian seorang rakan saya cadangkan untuk cuba bekerja dalam bidang khidmat pelanggan sebagai CSR.

"Saya pun fikir mengapa tidak untuk mencuba. Memang kalau nak diikutkan, sangat berbeza, daripada engineering melompat ke bidang khidmat pelanggan.



Bersama rakan-rakan yang mengikuti jurusan kejuruteraan penerbangan.

"Namun saya lapangkan dada dan beranikan diri untuk mencuba. Lagipun sekarang tak boleh nak memberontak, nak salahkan siapa-siapa... ketika ini semua terkesan gara-gara pandemik," ujar pemuda berusia 25 tahun ini.

Meor Rifaat berkata dia mula bekerja sebagai CSR di sebuah syarikat Telco di Shah Alam, Selangor pada November tahun lalu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Selama hampir lapan bulan berkhidmat dalam lapangan khidmat pelanggan, Meor Rifaat berkata dia bukan sahaja dapat menimba pengalaman malah pekerjaan tersebut membina karakter baharu dalam dirinya.



Meor Rifaat mengikuti jurusan kejuruteraan penerbangan di UniKL-Miat.

"Biasalah, CSR kena 'deal' dengan orang setiap hari. Daripada situ, secara tak langsung ia mengajar erti sabar kerana berdepan dengan pelbagai ragam dan masalah yang dihadapi pelanggan.

"Saya sebelum ini boleh dikatakan seorang yang introvert... jadi pekerjaan ini juga secara tak langsung meningkatkan skil komunikasi," ujarnya yang berasal dari Bangi, Selangor.

Malah menurut Meor, dalam lapangan yang sama juga dia bertemu dengan rakan sekerja yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan, pentadbiran, komunikasi massa dan sebagainya.

Saya lapangkan dada dan beranikan diri untuk mencuba. Lagipun sekarang tak boleh nak memberontak, nak salahkan siapa-siapa.

MEOR RIFAAT MEOR RAFEQ

"Sebenarnya dalam masa yang sama, saya tetap memohon pekerjaan dalam bidang yang saya belajar namun tak dapat, saya anggap belum rezeki lagi... jadi buat masa ini saya terus bekerja macam biasa. Just go with the flow.

"Tak sangka juga video tersebut raih perhatian ramai. Saya buat suka-suka sahaja untuk konten TikTok, tapi dalam masa yang sama nak sebarkan aura positif juga.



Meor Rifaat (tengah) sudah bergelar wakil khidmat pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi selama lapan bulan.

"Ramai yang komen dan kongsi nasib sama seperti saya. Apa yang boleh saya katakan, teruskan sahaja dalam bidang apa pun... cari sahaja rezeki asalkan ia memberi pendapatan halal dan tak menyusahkan orang.

"Perlu diingat setiap cabang kerja pastinya ada cabaran tersendiri, tapi kalau tak cuba, macam mana nak tahu? Akhirnya, anggap sahaja apa yang berlaku pasti ada hikmahnya," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain