suria

Kena ‘sound’ gara-gara rakam bapa buat kuih kapit, anak dedah sisi lain guru serba boleh ini – “Kalau tiba-tiba lapar ayah masak sendiri”

Tangkap layar video TikTok menunjukkan seorang bapa sedang membakar kuih kapit. Gambar kecil menunjukkan bapa Ifa yang bertugas sebagai guru.

PASTINYA ramai yang kini sibuk membuat persiapan sempena kedatangan 1 Syawal.

Menerusi satu video di aplikasi TikTok, seorang bapa tekun membakar kuih kapit sambil disaksikan oleh anak perempuannya yang membuat rakaman itu.

"Anak main handset, pak (ayah) buat kerja. Bertuah punya anak," ujar bapa berkenaan secara bergurau sebelum dinafikan anak perempuannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak terkejut tengok pakaian mak ketika gerudi dinding renovate rumah! Kerja lelaki-perempuan semua boleh buat, janji ada kain batik

ARTIKEL BERKAITAN: "Kau jangan pandai-pandai, pinggang aku ni dah tak nak kawan" - Ayah bertukang perabot macam beli di kedai, ramai DM tanya harga

Gadis berkenaan, Nurul Nazifa Hasenizam memberitahu, dia tidak menyangka video yang baru dimuat naiknya di aplikasi TikTok beberapa hari lalu menjadi tular kerana ia sebenarnya merupakan rakaman yang dibuat pada tahun lalu.



Kuih kapit yang dihasilkan oleh bapa Ifa.

Lebih dikenali sebagai Ifa, katanya, video tersebut dikongsi semula memandangkan rakaman itu dibuat ketika bulan Ramadan dan mahu membangkitkan mood menyambut Aidilfitri.

"Ayah ni seorang yang serius tetapi kelakar, suka berjenaka dan membuat lawak. Apa yang dikatakannya dalam video tersebut secara spontan untuk bergurau.

"Sebenarnya bukan saya tak buat kerja seperti yang dikata ayah. Sebelum rakam tu, saya masak ayam sambal di dapur untuk juadah berbuka puasa," katanya kepada mStar.



Ifa (kiri) bersama bapanya.

Gadis berusia 21 tahun itu turut mendedahkan bahawa mesin kuih kapit yang digunakan bapanya itu sebenarnya baru dibeli oleh ibunya.

"Bila ada mesin tu, ayah asyik cuba saja. Ayah saya suka mencuba sesuatu yang baru. Skil dan teknik ayah buat kuih kapit memang power.

"Ayah memang suka mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti selepas kerja, termasuklah membakar kuih kapit," katanya sambil menambah bapanya berusia 51 tahun.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mengulas lanjut, dia yang berasal dari Pendang, Kedah berkata, bapanya bertugas sebagai guru dengan berpengalaman dalam bidang perguruan selama 26 tahun.



Bapa dan ibu Ifa.

"Dalam tegasnya, ayah mendidik anak-anaknya untuk melakukan kerja-kerja rumah. Ayah tunjuk contoh bakar kuih kapit, kerja-kerja yang biasanya dilakukan perempuan.

"Ayah seorang yang berdikari. Kalau tiba-tiba dia lapar, ayah rajin buat sendiri di dapur cari makanan atau ayah masak je nasi goreng," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Nampak garang macam guru disiplin, tapi ayah sebenarnya penyayang, suka berlawak dan menyakat anak-anak

IFA

Tidak dinafikan kuih kapit yang dihasilkan bapanya begitu enak dimakan, namun kata Ifa, stok berkenaan hanya untuk keluarga sempena Aidilfitri dan bukannya dijual.

"Tapi memang sedap, anak-anak je yang banyak makan. Belum raya lagi, dah banyak kuih kapit yang ayah buat kami makan," ujarnya secara berseloroh.



Ifa (dua, kiri) bersama keluarga.

Walaupun tidak lagi aktif membakar kuih kapit tahun ini seperti Ramadan tahun lalu, Ifa yang merupakan pelajar Diploma Teknologi Makanan di Politeknik Tun Syed Nasir di Pagoh, Johor berkata, bapanya itu suka bertukang dan membaiki kereta di rumah.

"Bukan setakat masak dan bakar kuih kapit. Kerja-kerja bertukang dan repair kereta pun ayah pandai. Tapi setakat betulkan kereta sendirilah.

"Kiranya ayah ni serba boleh. Walaupun nampak garang macam guru disiplin, tapi ayah sebenarnya penyayang, suka berlawak dan menyakat anak-anak," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain