suria

Gadis menangis lihat penjual kerepek di lorong pandu lalu dihulur set makanan, terima kasih abang askar! - “Ramai orang, tapi tak seorang pun beli”

Tangkapan skrin video TikTok merakamkan dua anggota tentera menghulurkan bantuan kepada seorang lelaki. foto TikTok Maslianadin

TANPA mengira siang atau malam, panas atau hujan, pasti ada insan yang memerah keringat demi mencari rezeki untuk menyara kehidupan.

Begitu juga dengan seorang lelaki sudah berusia yang dirakamkan sedang menjual makanan di tepi lorong pandu lalu (drive thru) di sebuah premis makanan segera.

Menerusi video di aplikasi TikTok @maslianadin, dapat dilihat dua lelaki berpakaian seragam tentera yang menunggang motosikal kemudian menghulurkan minuman dan makanan kepada peniaga jalanan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tabik! Anggota tentera kutip Jalur Gemilang di tepi jalan undang sebak,"Terima kasih pahlawan"

ARTIKEL BERKAITAN: Polis suruh berhenti tepi, gadis pakai mask bawah hidung gelabah fikir mana nak cari RM1,000... rupa-rupanya ditahan sebab lain - "Peluh menitik kat muka abang polis trafik"

Gadis yang merakamkan video tersebut, Nur Amylia Nastasha Mohd Hisham berkata, video tersebut dirakamkan di Bayan Baru, Pulau Pinang, kira-kira pukul 2 petang Selasa.



Penjual kerepek (kanan) mengangkat tangan tanda menghargai pemberian air minuman.

Gadis berusia 18 tahun itu memberitahu, ketika itu dia menunggu ibunya melakukan urusan di sebuah stesen minyak bersebelahan dengan restoran makan segera tersebut.

"Sementara menunggu dalam kereta, kira-kira 100 meter dari restoran tu, saya nampak seorang pakcik berusia lewat 50an menjual kerepek dekat lorong pandu lalu.

"Masa tu ramai keluar untuk membungkus makanan untuk lunch, jadi pakcik tu nampak bersungguh-sungguh berdiri di tengah panas terik sambil pegang beg plastik berisi bungkusan kerepek," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Amylia, katanya, dua anggota tentera itu merupakan antara pelanggan restoran makanan segera yang lalu di lorong tersebut bagi membeli makanan.

"Lepas ambil pesanan di kaunter pandu lalu, abang-abang askar tu memberhentikan motosikal mereka dan menyerahkan secawan air minuman kepada pakcik tu sebelum beredar.

"Pakcik tu terus duduk kat tembok nampak lega sangat dapat minum, sebab cuaca panas terik kan. Kasihan pula saya tengok," ujarnya yang berasal dari Bayan Lepas di Pulau Mutiara itu.



Dua anggota tentera berpatah balik menemui penjual tersebut.

Bagaimanapun pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini berkata, dua anggota tentera itu datang semula berjumpa dengan lelaki tersebut beberapa minit kemudian.

"Kira-kira tujuh minit selepas tu, abang-abang askar datang semula dan kali ini menyerahkan makanan dari bungkusan yang dibeli mereka di restoran tu.

"Mereka macam berpatah balik dan bagi makanan yang dibeli mereka sebelum tu sebab tak nampak mereka beratur semula untuk beli makanan yang baharu.

Saya tak pasti mereka kemudian berkongsi makanan berdua sebab dah sedekahkan kat pakcik tu, tapi apa yang mereka buat tu begitu mulia

NUR AMYLIA NATASHA MOHD HISHAM

"Lagipun kem tentera pun tak jauh dari situ, mungkin mereka berpatah balik selepas dah hantar makanan, atau mungkin juga berpatah balik separuh jalan... apa pun, mereka kembali jumpa pakcik tu untuk lengkapkan makanan tengah hari pakcik tu," tambahnya.

Menyaksikan momen tersebut ternyata mengundang rasa sebak anak sulung daripada tiga beradik itu sehingga dia mengalirkan air mata.



Mereka kembali untuk memberikan makanan.

"Saya menangis masa rakam video tu. Bayangkanlah, tengah panas terik pakcik tu berdiri berharap ada yang beli kerepek dia tapi tak ada seorang pun datang beli.

"Sekurang-kurangnya abang-abang askar itu dapat melegakan pakcik tu selepas berdiri lama tengah panas. Saya tak pasti mereka kemudian berkongsi makanan berdua sebab dah sedekahkan kat pakcik tu, tapi apa yang mereka buat tu begitu mulia," ujarnya.

Amylia berkata, kejadian yang dirakamkannya itu diceritkan kepada ibunya yang merupakan ahli perniagaan ketika dalam perjalanan untuk menghantar barang.

"Lepas hantar barang, mak segera berpatah balik ke kawasan restoran tu dengan harapan pakcik tu masih di situ untuk membeli kerepek dan menghulurkan sedikit sumbangan.

"Tapi pakcik tu dah tak ada, mungkin dah bergerak ke tempat lain. Jadi, mak berkongsi video yang saya rakam tu di TikTok supaya mereka yang di kawasan berdekat Bayan Baru sudi membeli kerepek daripada pakcik tu atau membantu apa yang termampu," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain