suria

Peguam perjelas kes enam beranak dianiaya, 2 tahun ketakutan di rumah sendiri angkara hutang Ah Long - “Bukan semua laporan polis akan jalankan siasatan”

Kisah enam beranak yang diganggu Ah Long sejak dua tahun lalu mengundang perhatian ramai. Foto: FB Huda Muhamad

BARU-BARU ini tular mengenai kisah enam beranak yang terpaksa hidup dalam ketakutan di rumah sendiri sejak dua tahun lalu apabila sering diganggu sekumpulan Ah Long.

Kisah tersebut mendapat liputan meluas media tempatan selepas dikongsikan sendiri oleh pemilik rumah berkenaan, Huda Muhamad di Facebook, selepas buntu kerana kesnya tidak menemui jalan penyelesaian sehingga kini.

Menurut wanita berkenaan, suaminya membeli rumah teres dua tingkat yang terletak di Seri Kembangan daripada seorang lelaki pada 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi senario tak patut berlaku selepas kematian, kubur masih merah dah berebut harta - “Mereka pilih taat isu faraid, tidak bahagian lain”

ARTIKEL BERKAITAN: Hangat kes Wani Comel... Peguam tegaskan penting baca kontrak, tandatangan tanpa dipaksa - “Sidang media bukan mahkamah”

Pada peringkat awal, mereka sekeluarga tidak berdepan dengan sebarang masalah sehinggalah pada penghujung 2018, keluarga ini menerima sepucuk surat bertulisan Cina.

Menerusi coretan panjang lebar lengkap dengan kronologi, wanita berkenaan menceritakan rentetan gangguan demi gangguan yang dialami keluarganya, berpunca daripada pemilik asal rumah berkenaan yang dipercayai menggunakan alamat kediaman tersebut untuk membuat pinjaman Ah Long.

Walaupun beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa, namun penyelesaian kes berkenaan menemui jalan buntu.

Terpanggil untuk mengulas kes berkenaan, seorang peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor tampil menerangkan beberapa perkara terutama bersabit laporan polis yang dibuat oleh keluarga malang tersebut yang dikatakan tidak mendapat perhatian.



Menurut Nor Zabetha, orang ramai perlu memahami prosedur laporan polis sebelum bingkas menuduh pihak berkuasa tidak mengambil tindakan.

"Ada mesej yang saya terima sebelum kes ini disiasat oleh pihak polis. Soalannya 'Kenapa tiada tindakan oleh pihak polis? Bukankah ini melibatkan siasatan awam?'

"Saya petik keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Mohd Azran Rahmat & Anor v. Mazlan Aliman iaitu selaras dengan Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), apabila terdapat laporan polis, pihak polis berkewajipan menjalankan siasatan untuk memutuskan sama ada terdapat syak munasabah bahawa satu kesalahan telah dilakukan.

"Ada juga situasi yang mana, laporan telah dibuat tetapi tiada tindakan lanjut daripada pihak polis. Apakah hak kita? Benarkah tindakan pihak polis tidak mengambil tindakan?

"Selaras dengan Seksyen 108 KTJ memperuntukkan bahawa sekiranya polis mendapati laporan tersebut bukanlah merupakan satu kesalahan yang boleh ditangkap, kes ini akan dirujuk kepada Mahkamah Majistret," terangnya.

Jadi perlu faham juga bahawa bukan kesemua laporan polis akan dijalankan siasatan dan diambil tindakan atau dilakukan tangkapan.

NOR ZABETHA MUHAMAD NOR

PEGUAM

Menerangkan lebih lanjut, terang Nor Zabetha, pihak yang berkenaan perlu melantik peguam dan menuntut secara sivil di mahkamah sivil kerana kes tersebut bukan di bawah mahkamah jenayah.

"Saya rumuskan penjelasan di atas, laporan polis dibuat, polis perlu ambil laporan. Kemudian polis perlu memutuskan bahawa adakah kesalahan itu boleh tangkap atau tidak, ada elemen jenayah atau tidak, atau adakah kesalahan yang dilaporkan terkandung dalam mana-mana kesalahan jenayah dalam mana-mana Akta.

"Kes-kes yang biasa dilaporkan yang bukan merupakan kesalahan boleh ditangkap misalnya kes hutang tidak dibayar, kes perjanjian tidak disempurnakan, kes perbalahan suami isteri yang tidak melibatkan pukul biasanya bergaduh isteri keluar rumah atau isteri alami tekanan emosi, kes suami curang, kes jiran tidak puas hati, kes fitnah-memfitnah di sosial media dan lain-lain.



Sebahagian penerangan Nor Zabetha mengenai prosedur laporan polis.

"Jadi perlu faham juga bahawa bukan kesemua laporan polis akan dijalankan siasatan dan diambil tindakan atau dilakukan tangkapan," terangnya panjang lebar.

Justeru peguam ini berkata adalah penting untuk semua pihak memahami proses laporan polis.

"Kita berbalik pula pada kes Puan Huda. Alhamdulilah telah ada tindakan yang diambil dan polis telah menyiasat ada elemen di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat secara merosakkan harta benda yang bernilai RM25 dan lebih.

"Namun demikian, yang tidak seronok adalah punca orang yang meminjam wang hutang ini jika terlepas begitu sahaja. Saya harap si penghutang ini akan ditahan dan disiasat juga bagi penipuan," ujarnya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain