suria

Niat baik, tapi pelajar Form 5 sempat bikin cemas pakai PPE tengah bandar! Situasi tenang ketika berjubah ala Ebit Lew dekati penarik beca - “Saya minta maaf kepada mereka”

Seorang pemuda memegang watak sebagai frontliners dan Ebit Lew di dalam video tahun baharu.

MEMASUKI tahun baharu 2021, tarikh 18 Mac 2020 pastinya tidak akan dilupakan rakyat Malaysia apabila negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Menerusi sebuah video, seorang individu dillihat memakai peralatan perlindungan diri (PPE) di tempat awam sambil menyedarkan orang ramai tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan melakukan penjarakkkan fizikal.

Identitinya terus menjadi misteri apabila PPE yang dipakai kemudian berubah kepada jubah dan kopiah dan dia beramah mesra dengan orang awam, yang mana perwatakan itu mirip figura yang sangat terkenal dengan kerja amal, Ustaz Ebit Lew.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegang payung, pakai topi, kibar Jalur Gemilang! Pelajar Form 4 keliru selepas minta gadis tak dikenali tolong rakam video merdeka - "Kepada Myra, terima kasih"

Individu di sebalik PPE dan jubah itu sebenarnya merupakan pelajar Tingkatan Lima dari Pulau Pinang.



Memakai sut ala PPE, Mohamed Ismail dalam video dihasilkannya dilihat memupuk kesedaran awam mengenai SOP.

Pelajar berkenaan, Mohamed Ismail Al-Rabia Mohamed Raffie memberitahu, video tersebut dihasilkan sempena menyambut kedatangan Tahun Baharu 2021 selepas seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 pada 2020, sekali gus menjadi tahun yang sukar.

Remaja berusia 17 tahun itu berkata, ia dibuat bagi menghargai jasa dan pengorban petugas barisan hadapan (frontliners) yang selama ini membantu memerangi Covid-19.

"Perjalanan video dimulakan dengan keadaan negara sebelum dilanda Covid-19 sehingga frontliners bekerja keras, sampaikan letih dan tak larat.

"Di dalam video itu juga kedengaran doa yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar dijauhi daripada musibah dan penyakit berbahaya, telah menaikkan semangat frontliners untuk terus berjuang habis-habisan," katanya kepada mStar.



Adegan Mohamed Ismail mendekati masyarakat seperti yang sering dilakukan Ebit Lew.

Mengenai kemunculan 'Ebit Lew', Mohamed Ismail yang berasal dari George Town begitu mengagumi figura itu yang saban hari membantu golongan susah dan memerlukan, terutama mereka yang terjejas akibat Covid-19.

"Saya berlakon sebagai Ustaz Ebit bukan saja-saja kerana beliau juga memainkan peranan yang cukup besar dalam masyarakat pelbagai bangsa, agama dan usia.

"Saya juga dah kenal dengan pakcik-pakcik yang muncul di dalam video ni. Ini kerana sebelum ini, setiap minggu saya akan bertemu mereka untuk menyumbangkan makanan yang disediakan oleh ibu bagi mengurangkan beban mereka," tambahnya.



Mohamed Ismail (kanan) cuba menyelami kesulitan yang dialami frontliners.

Tidak mahu sekadar berlakon semata-mata, anak bongsu daripada tiga beradik itu sebenarnya cuba juga menyelami kesulitan yang dialami frontliners dengan memakai PPE sepanjang penggambaran.

"Walaupun PPE yang saya pakai tu sebenarnya adalah gabungan baju hujan, plastik sampah (menutup kasut) dan shower cap di kepala selain face mask, sudah cukup buat saya panas sehingga air peluh menitik," katanya.

Kepada frontliners, pikul amanah dan tanggungjawab dengan baik. Ustaz Ebit, terus bantu masyarakat dalam kesusahan. Walaupun keletihan, ingatlah bahawa kami sentiasa menyayangi anda semua

MOHAMED ISMAIL AL-ARABIA

Jelasnya, penggambaran untuk kedua-dua babak berkaitan frontliners dan Ebit Lew itu dilakukan di sekitar Beach Street di George Town dari pukul 1 petang sehingga 7 petang.

Di sebalik pembikinan video tersebut, Mohamed Ismail turut berkongsi situasi mencemaskan dalam kalangan orang awam sebaik sahaja melihat dirinya menyarungkan pakaian seperti PPE.



Pelajar ini telah pun mengenali sekumpulan penarik beca yang selama ini dibantu dengan sumbangan makanan.

"Tambahan pula ketika itu ada pelancong-pelancong yang datang berjalan-jalan dan mengambil gambar. Bila nampak saya pakai PPE, mesti mereka ingat ada kes Covid-19.

"Ada yang cuak tanya berulang kali ada kes Covid-19 ke ni? Saya minta maaf kepada mereka dan maklumkan ia sekadar lakonan untuk menghargai tugas frontliners," katanya.

Dia turut mengharapkan tahun 2021 adalah tahun di mana negara termasuk dunia bebas daripada pandemik Covid-19 dan masyarakat boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kepada frontliners, pikul amanah dan tanggungjawab dengan baik. Kepada Ustaz Ebit, terus bantu masyarakat dalam kesusahan. Walaupun keletihan, ingatlah bahawa kami sentiasa menyayangi anda semua," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain