suria

“Ya, ke mana saja… beli barang, tengok wayang” - Lelaki ini bangga pakai baju ala hulubalang tengah bandar, dedah ramai tersalah pilih teknik ikat samping

Antara demonstrasi melakukan pelbagai jenis ikatan samping menerusi video yang dikongsikan di Twitter.

PERSIS hulubalang Melayu dahulu kala, seorang pemuda segak memakai baju Melayu lengkap dengan samping pelbagai corak dan warna.

Sesekali bertukar gaya sama ada bersongkok mahupun memakai tanjak, sebanyak 11 klip videonya telah dikongsikan di laman Twitter.

Bukan video menyanyi apatah lagi menari, dia sebenarnya berkongsi tentang pelbagai jenis ikatan samping yang mana bagi sesetengah orang mereka menganggap semua ikatan samping adalah sama dan tidak membawa sebarang maksud.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tibai' kain pelikat kawan, model entah siapa-siapa... pemuda tak sangka foto street fashion pernah dipadamnya dulu sebenarnya luar biasa!

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin lelaki ketawa berdekah tengok 'nasib' rakan bawa hantaran, hilang gugup nak nikah! Ini jawab dulang boy selepas samping terlucut

Pemuda berkenaan, Mohammad Faeez Harith Khairil Anuar memberitahu, dia sebenarnya gemar mendalami seni budaya Melayu warisan turun-temurun.



Segak berbaju Melayu, bertanjak dan memakai samping di dalam MRT.

Anak muda berusia 30 tahun itu berkata, teknik ikatan samping itu dipelajarinya selepas mengikuti bengkel di Akademi Seni Warisan Tradisional Melayu di Subang, Selangor.

"Saya rakam sebab takut lupa. Pada masa sama, saya mahu berkongsi setiap ikatan samping kepada mereka yang berminat untuk mempelajari seni budaya Melayu.

"Sebab saya tengok segelintir orang sekarang suka pakai samping yang pelik-pelik, merapu atau tak kemas. Jadi, saya sekadar berkongsi ilmu yang saya belajar," katanya kepada mStar.



Menolak troli untuk membeli barang dapur di pasar raya.

Lebih mesra disapa Faeez, katanya, masih ramai tidak menyedari setiap ikatan dan kedudukan samping membawa maksud yang berbeza buat si pemakai.

"Ikatan bunga samping kanan untuk lelaki, bunga kiri untuk perempuan. Bunga di tengah pula bermaksud duda. Tapi ada pengantin lelaki pakai samping dengan bunga di tengah.

"Begitu juga kalau bujang, labuh kain samping paras atas lutut dan bagi yang sudah berkahwin adalah paras bawah lutut. Tapi ada yang sudah beristeri, pakai samping atas lutut macam orang bujang," katanya yang berasal dari Kuatan, Pahang.



Makan di kedai mamak bersama rakan.

Menurutnya, sebanyak 11 ikatan samping telah dipelajarinya iaitu Janda Berhias, Laksamana Melamar, Sila, Teruna Mencari Jodoh, Asas Sisip Bunga Tanjung, Bunga Tanjung, Selit Pahang, Dendang Perantau, Pancung, Teruna atau Dara, dan Fajar Menyinsing.

"Ikatan samping yang paling saya suka adalah Teruna Mencari Jodoh sebab 'kepala' kain iaitu bahagian corak yang besar diletakkan di depan, tunjuk status si pemakai masih bujang.

"Memang saya bujang tapi saya suka ikatan ni bukan sebab nak mencari jodoh, cuma lebih suka corak yang cantik ditonjolkkan di bahagian depan," ujarnya secara berseloroh.



Bersiar-siar memakai baju Melayu, tanjak dan samping kini menjadi kebiasaan buat Faeez.

Siapa sangka pemuda yang bekerja sebagai pembantu khidmat pelanggan di sebuah gim di Petaling Jaya, Selangor ini sebenarnya tidak hanya memakai samping pada majlis tertentu.

Faeez berkata, dia mula memberanikan diri untuk memakai baju Melayu lengkap bersama samping apabila keluar secara kasual bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Saya tengok segelintir orang sekarang suka pakai samping yang pelik-pelik, merapu atau tak kemas. Jadi, saya sekadar berkongsi ilmu yang saya belajar.

MOHAMMAD FAEEZ HARITH KHAIRIL ANUAR

"Kebanyakan kita biasanya pakai baju Melayu dengan samping pada Hari Raya, majlis perkahwinan atau solat Jumaat, tapi saya selesa memakainya di mana-mana di luar waktu kerja dan selain berada di rumah.

"Ya, ke mana sahaja. Dari beli barang dapur tolak troli di pasar raya, tengok filem di pawagam, dalam MRT sehingga lepak di kafe atau kedai mamak dengan kawan-kawan, saya tetap okay berbaju Melayu dan samping serta tanjak," katanya.



Berkesempatan berbaju Melayu berserta tanjak dan samping ketika bertugas di gim.

Sudah menjadi kebiasaan dengan gaya sedemikian sejak dua tahun lalu, dia sering diajukan soalan daripada orang awam disebabkan penampilannya itu di tempat awam.

"Ada yang tanya saya, baru balik dari show ke? Mereka ingat saya baru selesai persembahan budaya. Saya jawab bukan, saya keluar jalan-jalan je," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain