suria

“Dia pergi dengan cara paling terbaik” - Remaja pasrah hilang sahabat selepas selamatkan 2 rakannya daripada mati lemas

Allahyarham Faris Iskandar (gambar kecil) meninggal dunia kerana lemas selepas berjaya menyelamatkan dua rakan yang lemas di Sungai Kelemin, Hulu Terengganu, Jumaat lalu. Foto: Kredit Twitter _Han_IF

"WALAUPUN berat nak terima, tapi lega sebab dia 'pergi' dengan cara paling terbaik."

Demikian kata seorang remaja ketika berkongsi kisah pemergian sahabatnya akibat lemas, baru-baru ini.

Hanya mahu dikenali sebagai Hanif, remaja berusia 19 tahun itu berkata walaupun sedih dengan berita mengejut tersebut namun sedikit sebanyak dia bersyukur dan yakin dengan ketentuan Ilahi.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesej ‘I miss you’ dibalas, lelaki ini sangka sahabat yang dah meninggal masih hidup - “Dia cuma kata nak pergi satu tempat”

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku menyesal tak wish birthday kau 10 muka surat” - Pelajar kongsi pemergian mengejut rakan pada 1 Ramadan, al-Fatihah trending di Twitter

"Memang cara arwah pergi tu, cara terbaiklah yang Allah pilih. Arwah memang baik, rendah diri. Mak arwah pun ustazah sekolah menengah dulu.

"Ramai yang menyebut-nyebut nama arwah (di laman sosial)" cerita Hanif.

Sahabatnya yang bernama Faris Iskandar Mohd Radhi meninggal dunia Jumaat lalu selepas terjun ke dalam Sungai Kelemin, Felda Mengkawang, Hulu Terengganu untuk menyelamatkan dua rakan yang lemas.



Perkongsian Hanif mengenai pemergian sahabatnya, Faris Iskandar di Twitter sehingga kini meraih lebih 11,000 retweet.

Dua rakannya itu berjaya diselamatkan, namun Faris Iskandar tenggelam ketika berada di tengah sungai.

Berita pemergian allahyarham banyak dikongsikan oleh sahabat-sahabatnya yang terkesan dengan kehilangan tersebut di media sosial, sekali gus mengundang perhatian netizen.

Mengimbas kembali peristiwa tersebut, Hanif berkata ketika mula mendapat khabar mengenai sahabatnya itu, dia seakan-akan sukar untuk percaya.

Memang cara arwah pergi tu, cara terbaiklah yang Allah pilih. Arwah memang baik, rendah diri. Mak arwah pun ustazah sekolah menengah dulu.

HANIF

"Dapat berita ni masa Maghrib, dalam group (WhatsApp). Mula-mula macam tak percayalah arwah lemas. Masa tu orang suruh doa arwah dijumpai saja.

"Ketika itu saya tak tahu sangat cerita lanjut, sebab masa tu memang arwah hilang (belum ditemui). Malam tu, baru dapat tahu yang arwah sah dah tak ada. Masa tu dah jumpa jasad. Lepas tu baru tahu cerita detail sikit," katanya.

Menyingkap kembali kenangan bersama allahyarham, Hanif berkata mereka sudah bersahabat sejak enam tahun yang lalu ketika menuntut di sebuah sekolah menengah yang sama.



Sungai Kelemin, lokasi di mana allahyarham Faris Iskandar lemas selepas berjaya menyelamatkan dua rakan.

"Saya orang Kuala Nerus, arwah pula Kuala Terengganu. Sekolah sama dulu, sebab tu kenal. Dan mak arwah pun baik. Sebab itu dia pun jadi macam disegani pelajar jugalah dulu.

"Namun arwah berpindah sekolah sewaktu di tingkapan empat dan kemudian melanjutkan pelajaran di sebuah kolej penerbangan. Tapi masih 'contact'lah. Kadang-kadang lepak bersama.



Antara komen sahabat allahyarham yang turut sama terkesan dengan pemergiannya.

"Kali terakhir berjumpa pun rasanya dah lama. Iyalah, sebab sejak musim covid ni susah nak jumpa rakan-rakan," katanya yang bakal melanjutkan pelajaran ke sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Oktober ini.

Sungguhpun jarang bertemu, namun pemergian seorang sahabat yang sudah lama saling mengenali tetap memberi kesan mendalam buat Hanif.

"Yang dekat reply dan quote tweet, ramai yang cakap arwah baik dan kenal arwah. Yang tu memang tak boleh nak nafi. Arwah memang baik dengan semua orang. Jaga hati semua orang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain