suria

“Kamu adalah raja ketika kita bertempur” - Sahabat umum bersara, Chong Wei throwback momen bersama Lin Dan

Datuk Lee Chong Wei (kiri) bersama jaguh badminton China, Lin Dan yang bersara pada Sabtu.

SEJURUS pengumuman persaraan Lin Dan pada Sabtu, musuh tradisinya yang juga jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei membuat satu perkongsian istimewa di laman Instagram.

Menurut Chong Wei, dia tahu hari bersejarah itu akan tiba selepas mereka berdua acap kali menggemparkan dunia badminton dengan pertembungan sengit selama ini.

Dalam posting sama, Chong Wei turut berkongsi foto throwback memaparkan dirinya berpelukan dengan pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gantung raket! Jaguh badminton dunia, Lin Dan umum bersara

ARTIKEL BERKAITAN: Chong Wei sedia sahut cabaran Lin Dan

"Kita tahu hari ini akan tiba. Detik yang berat dalam kehidupan kita. Kamu melabuhkan tirai dengan penuh gaya.

"Kamu adalah raja ketika kita bertempur dengan penuh rasa bangga," tulis Chong Wei.

Dalam tempoh singkat sahaja, posting itu menerima lebih 50,000 tanda suka.

Chong Wei (kiri) membuat posting di Instagram sejurus pengumuman persaraan Lin Dan (kanan).

Malah, ia turut dihujani dengan pelbagai ucapan netizen yang mengagumi kedua-dua ikon sukan badminton itu.

Selain itu, ada yang menyifatkan saingan mereka berdua persis Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam sukan bola sepak selama ini.

"Kamu berdua adalah legenda. Inspirasi kepada golongan muda.

Kamu adalah raja ketika kita bertempur dengan penuh rasa bangga.

DATUK LEE CHONG WEI

"Kedua-duanya jaguh dalam sukan badminton.

"Pemain yang hebat. Kagum dapat saksikan pertembungan anda berdua. Terima kasih untuk kenangan.

"Saya sangat bertuah dapat saksikan perperangan antara dua legenda ini," tulis beberapa netizen.

Dua jaguh badminton ini banyak memberi inspirasi kepada peminat sukan itu khususnya di Malaysia dan China.

Terdahulu, arena badminton dunia menerima kejutan apabila Lin Dan mengumumkan persaraannya.

Lin Dan, 36, mengumumkan hal itu menerusi platform media sosial China, Weibo pada Sabtu.

Sebelum ini, Chong Wei turut mengumumkan persaraannya atas faktor kesihatan pada 13 Julai tahun lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain