suria

“Gagallah aku sebagai cikgu MRSM” - Cemerlang tapi gagal jadi manusia, guru kesal bekas pelajar sekolah pandai perlekeh result 5A pekerja Shell

Kenyataan merendah-rendahkan keputusan 5A itu ternyata mengundang perhatian ramai.

PADA pandangan sesetengah individu, keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah dianggap sebagai kejayaan luar biasa.

Namun, ada pula individu lain yang melihat keputusan itu sekadar biasa-biasa sahaja, seolah-olah tiada apa yang perlu dibanggakan.

Begitulah yang berlaku di laman Twitter apabila seorang lelaki memperkecilkan kejayaan murid tular baru-baru ini, Muhammad Amir Hakim Shahrudin yang mengambil keputusan SPM sambil memakai baju pekerja Shell.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bermula cabaran RT, budak SPM 5A naik pentas pakai baju Shell terkejut dapat habuan... Apa yang big boss offer memang sempoi!”

ARTIKEL BERKAITAN: Tampal result orang lain, ‘pantang’ telefon bimbit... gadis dedah rahsia dapat straight A dari UPSR sampai SPM - “Bukanlah selalu berkepit dengan buku”

"Seriuslah 5A and boom macam ni? Sejujurnya 5A dekat sekolah aku dulu ialah result tercorot.

"Aku 8A pun tak naik pentas. Sebab simple, 8A - 9A dekat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) benda biasa.

"Pelik betul 5A and suddenly boom," tulis seorang pelayar Twitter.

Kisah Amir yang mendapat 5A menjadi tular baru-baru ini.

Tweet yang menerima kecaman ramai itu turut mendapat perhatian guru bahasa Inggeris dari MRSM Muadzam Shah, Pahang, Mohd Asri Jusoh.

Menurut guru kelahiran Dungun, Terengganu itu, kejayaan tidak sepatutnya diukur dengan bilangan gred A dalam peperiksaan sahaja.

Sebaliknya, usaha serta peningkatan yang dipamerkan patut menjadi perhatian dan dijadikan contoh oleh murid-murid lain.

Penting banyak A, itu menunjukkan awak dengan kata-kata cikgu. Tapi kalau sombong, rendahkan pencapaian orang... buat apa?

MOHD ASRI JUSOH

GURU MRSM

"Gagallah aku sebagai cikgu MRSM kalau aku lahirkan anak murid sombong macam ni," ujar Asri di Twitter, mengulas isu tersebut.

Bercerita lebih lanjut kepada mStar, dia mengakui kecewa dengan pandangan yang dilemparkan oleh individu tersebut.

"Ukuran kejayaan bukan pada bilangan A. Effort tu lebih penting.

Kata Asri, bukan bilangan A yang menjadi ukuran utama. (Gambar Hiasan)

"Saya rasa gagal sebagai guru, kecewa kerana dia meletakkan ukuran kejayaan pada bilangan A.

"Saya ajar murid saya effort, kemenjadian mereka sebagai manusia lebih penting. Ada adab, tak sombong, itu paling utama pada saya," ujarnya.

Menurut Asri lagi, dia juga sebelum ini pernah bertemu dengan pelajar yang mendapat A sepenuhnya dalam SPM namun gagal mendapat kerja selayaknya kerana salah memilih jurusan di universiti.

Tweet yang mendapat perhatian Asri.

Oleh itu katanya, kita tidak wajar memperkecilkan keputusan seseorang kerana apa yang berlaku pada masa hadapan, tiada siapa yang tahu.

"Orang kata MRSM ni kejar rating, jangan pukul rata. Ada masa kejar rating, tapi paling penting belajar jadi manusia.

"Kena merendah diri, ingat jasa guru, dengar kata mak ayah, tak tinggal solat dan sebagainya.

Asri bersama sebilangan muridnya baru-baru ini.

"Penting banyak A... itu menunjukkan awak dengar kata-kata cikgu. Tapi kalau sombong, rendahkan pencapaian orang... buat apa?

"Kita belajar ni bukan untuk SPM je tapi untuk sepanjang hidup. Jangan rendahkan rezeki orang," katanya lagi.

Berkongsi kisah seorang muridnya, Syafie yang menduduki SPM pada tahun lalu, Asri mengakui bangga dengan kejayaannya.

Kata Asri, adab dan sahsiah diri juga patut menjadi ukuran dalam diri setiap pelajar.

"Dia biasanya dapat gred D dan C sahaja untuk bahasa Inggeris. Masa percubaan dapat A-. Masa SPM dapat B+.

"Bukan gred yang jadi ukuran, tapi effort dia sehingga berlaku peningkatan. Dia tulis semula semua sampel essay yang dia jumpa dalam buku rujukan.

"Usaha dia nak berjaya, itu yang saya bangga. Dan saya ceritakan kisah kesungguhan dia pada murid-murid lain," ujarnya lagi mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Mohd Asri Jusoh, MRSM, SBP, SPM

Artikel Lain