suria

Perginya mengejut, bapa tunggal hiba anak 4 bulan demam panas rindukan ibu – “Saya gantung baju arwah tepi baby cot, pakai minyak wangi arwah”

Isteri Azlan, Nordiana Bidin (gambar kecil) meninggal dunia disebabkan aneurysm pada Januari lalu. Foto: FB Azlan Adnan

KEHILANGAN teman hidup sememangnya amat pahit untuk ditelan.

Apatah lagi pemergian insan tersayang berlaku dengan begitu pantas tanpa sempat meninggalkan pesan.

Buat lelaki ini, tanggal 20 Januari 2020 pasti tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

Pada tarikh itulah, isterinya menghembuskan nafas yang terakhir meninggalkan dirinya bersama dua anak yang masih kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak ada siapa bawa, mak pergi sendiri naik bas pun tak apa” - Tragedi lorong kecemasan! Orkid Cameron Highland tinggal kenangan kerana pemandu treler mengantuk

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa sakit sangat...” - Wanita ini terima ‘hadiah’ duka pada hari jadi, sempat atur photoshoot anak sebelum ajal

Sekalipun sudah lebih sebulan tragedi sedih itu berlalu, namun semuanya masih segar di ingatan lelaki bernama Azlan Adnan ini.

“Semuanya berlaku dengan pantas, pagi itu kami pergi ke hospital… Ketika itu isteri masih sihat, tidak perlu pun jalan berpimpin. Namun tidak berapa lama kemudian, dia sudah berada dalam keadaan separa sedar.

Azlan bersama dua cahaya matanya, Nick Ammar dan Nick Zulaikha.

“Dia tidak mampu membuka mata atau memberi sebarang respons. Hospital yang kami pergi tiada kepakaran dan kami diminta supaya berpindah ke hospital lain.

“Pada malam itu ketika isteri terbaring di katil, saya cium pipi dan memeluknya sambil bisikkan ‘Bangunlah sayang, anak-anak masih kecil’. Kelihatan air matanya mengalir.

“Beberapa saat kemudian, saya lihat pernafasannya tidak seperti biasa. Saya cuba rasa denyutan nadinya, seperti tak ada. Terus saya panggil jururawat. Memang isteri hembuskan nafas terakhirnya, sebelum sempat kami pindah ke hospital lain,” ujar lelaki berusia 38 tahun ini.

Menurut Azlan, isterinya Nordiana Bidin menghembuskan nafas terakhir pada usia 35 tahun disebabkan menghidap aneurysm.

Saya tak mahu dia rasa ‘kehilangan’, jadi saya gantungkan baju arwah isteri di tepi baby coat. Saya akan pakai minyak wangi arwah isteri supaya dia rasa masih dekat dengan ibunya.

AZLAN ADNAN

BAPA

“Kira-kira sepuluh hari sebelum meninggal, isteri ada mengadu sakit kepala, dan muntah-muntah… dalam masa sama, dia juga kata mempunyai masalah penglihatan.

“Memang tak sangka rupa-rupanya simptom yang dialami isteri membawa kepada kematiannya, tak sangka sebab isteri dalam keadaan sihat sebelum ini,” ujarnya.

Menurut Azlan yang juga Pengurus Cawangan Perodua di Mid Valley, Kuala Lumpur, sungguhpun masih kecil, namun anak sulungnya yang bernama Nick Ammar amat bijak dan dapat memahami bahawa ibunya telah tiada.

Anak sulung Azlan, Nick Ammar dapat memahami hakikat bahawa ibunya sudah meninggal dunia. 

“Walaupun usianya dua tahun dua bulan ketika itu, tapi dia faham apa yang saya beritahu kepadanya. Saya beritahu ibunya ada dengan Tuhan… malah ketika pengebumian, saya beritahu ibunya tidur di dalam kubur.

“Beberapa hari pertama, dia tanya juga ‘malam ni ibu tidur di atas ke?’. Saya akan terangkan dan dia faham. Cuma adiknya, Nick Zulaikha yang baru sahaja berusia empat bulan ketika itu, mengalami demam panas selepas dua hari ibunya pergi.

“Saya tak mahu dia rasa ‘kehilangan’, jadi saya gantungkan baju arwah isteri di tepi baby coat. Saya akan pakai minyak wangi arwah isteri supaya dia rasa masih dekat dengan ibunya,” ujar Azlan.

Tambah bapa tunggal ini lagi, pemergian isterinya memberi kesan yang amat mendalam memandangkan dia kini perlu memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada dua cahaya mata yang masih kecil.

Nick Ammar melihat gambar arwah ibunya untuk melepaskan perasaan rindu.

“Sebulan selepas isteri pergi, saya ambil cuti selama sebulan demi memberi tumpuan kepada anak-anak. Segala kerja rumah saya lakukan sendiri.

“Masa itu, saya rasa nak berehat seminit pun tak dapat sebab perlu uruskan hal rumah dan anak-anak. Pada ketika itulah, baru saya sedar betapa besarnya tanggungjawab seorang isteri dan ibu.

“Jadi bagi mereka yang masih ada suami mahupun isteri, hargailah pasangan masing-masing. Jangan anggap remeh apa yang pasangan anda lakukan kerana setiap orang ada peranan masing-masing. Sementara mereka masih ada, hargailah dan luangkan masa bersama-sama,” katanya mengakhiri bicara.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain