Terkejut dapat ‘ahli keluarga’ baharu, pilot garu kepala si isteri nak tambah sampai cukup 15 - “Standby makanan dalam kereta, siap pinggan kertas sebab nak elak kucing makan atas jalan” - Viral | mStar

Terkejut dapat ‘ahli keluarga’ baharu, pilot garu kepala si isteri nak tambah sampai cukup 15 - “Standby makanan dalam kereta, siap pinggan kertas sebab nak elak kucing makan atas jalan”

Seorang juruterbang, Mohamad Fildza Yaacob terkejut apabila mendapat tahu isterinya membawa pulang dua ekor anak kucing.

"SIAPA ni? Ya Allah..." Itulah ungkapan spontan seorang juruterbang apabila isterinya meletakkan anak kucing pada tubuhnya ketika sedang asyik menonton televisyen di rumah mereka.

Menerusi sebuah video berdurasi satu minit 14 saat itu, ketua keluarga itu, Mohamad Fildza Yaacob mulanya kelihatan keliru ketika menerima kehadiran dua 'ahli keluarga' terbaharu itu.

Namun, tidak sampai seminit reaksinya berubah dan begitu mesra bersama si bulus apabila terus memanggilnya 'sayang'.

Insiden itu berlaku gara-gara isterinya, Fauziah Mohd Bahari, 51, membawa pulang dua anak kucing yang diambil dari rumah rakannya, sekali gus menjadikan jumlah kucing peliharaan mereka sebanyak 13.

ARTIKEL BERKAITAN: Kucing jalan seret perut undang simpati, tekaan pak guard ‘menyimpang’ jauh selepas dibawa jumpa veterinar

ARTIKEL BERKAITAN: “Mengaku cat lovers tapi tengok kucing jalanan nampak jijik, rasis sangat” - Si bulus pun jadi mangsa pilih kasih... jangan pandang yang bulu lebat je!

"Ni bangsa (baka) apa ni sayang? Macam familiar la," tanya Mohamad Fildza sambil menggaru kepalanya.

Gelagat lelaki berusia 49 tahun itu ternyata membuatkan si isteri ketawa dan terus mengatakan hasratnya mahu menambah sehingga 15 ekor kucing kerana sememangnya tahu suaminya seorang pencinta haiwan itu.

Video yang dimuat naik oleh anaknya, Fatini Batrisyia Mohamad Fildza, mendapat lebih 344,000 tontonan, 15,400 ulang kicau (retweet) dan 21,000 tanda suka.

Sebahagian kucing milik keluarga Fatini.

Ketika dihubungi mStar, gadis yang berusia 19 tahun itu memberitahu ibunya membawa balik dua anak kucing dari rumah kawannya yang mempunyai banyak anak kucing yang baru dilahirkan.

Pada mulanya, kehadiran dua anak kucing yang diberi nama Gabby dan Gizmo itu tidak disedari bapanya kerana ia diletakkan di luar rumah.

"Kami ada anak kucing lain di rumah tetapi tidak sebising dua ekor ini," ujar Fatini lagi.

Troy (kiri) merupakan kucing kesayangan ayahnya manakala Tenzin merupakan kucing kegemaran Fatini.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, ayah ada kucing kesayangannya yang diberi nama Troy dan istimewanya ia sering menyambut kepulangan juruterbang itu ketika pulang kerja.

"Ayah memang suka kucing, dia selalu bagi makan dan buang berak kucing, dia juga stand by makanan kalau nampak kucing terbiar kelaparan.

"Memang kami simpan di dalam kereta makanan basah untuk anak kucing dan makanan kering untuk kucing dewasa, siap dengan pinggan kertas untuk mengelakkan mereka makan di jalan.

"Di pondok pengawal taman kami juga ada dua kucing terbiar, ayah sering beri makan kepada kucing-kucing tu kerana jarak pondok tersebut dengan rumah kami tidak begitu jauh," ceritanya mengenai kecintaan mereka sekeluarga kepada kucing.

Anak kucing ni lebih aktif berbanding kucing yang dah berusia, jadi, lebih senang saya nak peluk dan main dengan mereka

FATINI BATRISYIA

Pada Januari lalu, Fatini sendiri ada membawa pulang dua anak kucing sebagai tambahan kepada si bulus yang ada di kediaman mereka.

"Jarang kami tambah kucing empat ekor sekaligus dalam masa singkat, selalunya jarang-jarang dan tak dirancang pun," kata gadis tersebut.

Tambah anak bongsu daripada tiga beradik itu lagi, rumahnya kini menjadi semakin meriah dengan kehadiran anak-anak kucing terbaharu itu.

"Anak kucing ni lebih aktif berbanding kucing yang dah berusia, jadi lebih senang saya nak peluk dan main," katanya.

Rumah kucing ini menempatkan kesemua 13 ekor kucing milik keluarganya.

Fatini turut memberitahu, keluarganya menyediakan ruang khas yang dilengkapkan dengan pelbagai barang keperluan kucing di dalam kawasan kediaman mereka yang terletak di Alam Damai, Cheras. 

Namun remaja yang bakal menyambung pelajarannya di Layang Layang Flying Academy di Ipoh, Perak untuk mengikut jejak ayahnya menjadi juruterbang ini enggan mendedahkan kos yang dilaburkan untuk membina rumah kucing tersebut.

Apabila ditanya mengenai tweetnya yang menjadi viral itu, Fatini mengakui ia sesuatu yang tidak dijangka dan terkejut apabila mendapat ramai pengikut baharu di laman media sosial itu.


Kucing , pilot , juruterbang , anak kucing

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain