Bertunang tak sampai sebulan, lelaki diberitahu wanita dikenalinya sejak kecil hanya ada 2 minggu untuk hidup - “Memang buat saya terduduk” - Viral | mStar

Bertunang tak sampai sebulan, lelaki diberitahu wanita dikenalinya sejak kecil hanya ada 2 minggu untuk hidup - “Memang buat saya terduduk”

Aidil bersama Nur Jannah selepas mengikat tali pertunangan 31 Ogos lalu.

"KAMI tidak akan memberitahu tempoh hidupnya hanya dua minggu sahaja lagi," demikian luah seorang lelaki mengenainya keadaan tunangnya yang kini terlantar sakit.

Bagi Mohamad Aidil Haiqal Nor Azman, 20, dia begitu terkilan dengan pihak hospital yang merawat tunangnya, Nur Jannah Jahari yang kini menderita sakit selepas didiagnosis mempunyai ketumbuhan di bahagian ovari.

Jelas Aidil, sekiranya pihak hospital mengesan penyakitnya itu lebih awal, ketumbuhan tunangnya itu tidak akan pecah dan merebak.

ARTIKEL BERKAITANSama-sama hidap kanser, hubungan pasangan kekasih tak goyah, “Kami selalu berjanji... kena kuat dan lawan apa saja”

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak ceria, wanita ini bertarung 2 jenis kanser, 3 penyakit lain sejak 1983... kini disah hidap barah tulang tahap 4 pula

"Beberapa bulan lalu Nur Jannah memang mengadu sakit di bahagian perut. Keluarganya dah bawa ke hospital. Mula-mula di pergi ke hospital di Johor Bahru dan diberitahu dia mengalami kekurangan darah kuning.

"Kami berulang alik mendapatkan rawatan di situ dan menunggu laporan, dan diberitahu pula ada cyst yang masih kecil.

Aidil merancang untuk bercuti daripada kerjanya bagi menjaga dan meluangkan masa bersama Nur Jannah.

"Selepas itu dia balik ke kampungnya di Simpang Renggam dan mendapatkan rawatan hospital di Kluang kerana sakitnya semakin serius.

"Berita yang mengejutkan saya apabila doktor di sana mengesahkan ketumbuhan yang dialami Nur Jannah telah pecah dan merebak ke seluruh bahagian perutnya.

"Paling menyedihkan saya, mereka beritahu Nur Jannah hanya ada tempoh untuk hidup lebih kurang dua minggu dan paling maksimum sebulan," kongsi Aidil sayu kepada mStar.

Menurut Aidil, doktor memberitahu perkara tersebut selepas Nur Jannah menjalani pembedahan pada Khamis lalu.

"Memang buat saya terduduk. Sedih, terkilan semua ada. Memang saya sangat terkilan dengan pihak hospital kerana jika mereka cepat 'detect' mesti tunang saya masih boleh dirawat.

Berita yang mengejutkan saya apabila doktor mengesahkan ketumbuhan yang dialami Nur Jannah telah pecah dan merebak ke seluruh bahagian perutnya.

MOHAMAD AIDIL HAIQAL NOR AZMAN

Tunang Pesakit

"Tetapi mahu atau tak, saya terpaksa melalui situasi menyedihkan ini. Saya masih tidak dapat menerima berita yang doktor sampaikan itu kerana saya percaya dengan Tuhan. Ajal dan maut di tangan-Nya.

"Saya dan keluarganya mengambil keputusan tidak akan memberitahu perkara sebenar (tempoh hidup) kepada Nur Jannah.

"Selepas pembedahan saya tengok keadaannya agak stabil dan kuat semangat untuk sembuh. Saya berdoa semoga dia terus kuat," jelas anak kelima daripada tujuh adik beradik ini.

Dalam pada itu, Aidil bercadang mahu bercuti seketika untuk menjaga tunangnya yang dikenali sejak kecil lagi.

Posting mengenai keadaan terkini Nur Jannah yang dikongsi di laman Twitter oleh salah seorang anggota keluarga Aidil mendapat lebih 4,000 ulang kicau.

"Saya bekerja di Singapura dan kalau tidak mendapat pelepasan bercuti panjang saya mahu berhenti kerja.

"Memang saya ingin menghabiskan masa menjaga Nur Jannah. Hanya masa yang suntuk ini sahaja yang saya ada untuk menjaganya.

"Kami baru sahaja bertunang 31 Ogos lalu dan merancang berkahwin paling awal tahun depan.

"Tetapi dugaan pula buat kami semua. Saya doakan dia teruskan semangat melawan penyakitnya itu," ujarnya dalam nada sedih.

tunang , kanser , cyst , ajal

Artikel Lain