suria

Susah dapat penderma, luahan pesakit buah pinggang tak 'famous' macam artis bikin sebak, “Dah penat hidup bergantung dengan mesin”

Azwan Shah masih bergantung kepada mesin hemodialisis untuk meneruskan kehidupannya.

MEMILIKI tubuh yang sihat adalah impian setiap manusia untuk memudahkan aktiviti harian namun ada segelintir individu terpaksa berdepan ujian apabila ditakdirkan mempunyai masalah kesihatan.

Seorang pesakit buah pinggang tular baru-baru ini apabila mengenang nasib dirinya yang tidak popular, menyebabkan dia sukar untuk mendapatkan penderma.

Semuanya bermula dengan komen yang ditulis Azwan Shah Azli Shah pada posting akaun Twitter Astro Awani mengenai pelawak dan pelakon Malaysia, Ebby Yus yang dilihat mudah menerima penderma buah pinggang disebabkan popularitinya.

Komennya yang dibuat secara bersahaja itu bagaimanapun benar-benar menyentuh emosi pengguna laman sosial tersebut apabila mendapat hampir 20,000 ulang kicau dan lebih 9,000 tanda suka.

ARTIKEL BERKAITAN: "Mama harap doktor tak buang buah pinggang Aryan" - Ibu kongsi derita anak hidap kanser

ARTIKEL BERKAITAN: Korban seorang anak... tangguh hasrat ke IPT, tawar khidmat lukis potret bantu kos rawatan penyakit bapa

Menurut Azwan, komen itu hanya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit buah pinggang yang ramai dihidapi oleh rakyat Malaysia dan tiada sebarang niat untuk menyindir mana-mana golongan popular yang lebih mudah mendapat simpati atau perhatian berbanding golongan biasa.

"Tujuan saya komen sebegitu sekadar luahan perasaan sahaja kerana memang biasanya kita lihat orang yang dikenali ramai lebih mudah mendapat perhatian.

Komen Azwan yang mendapat perhatian netizen di laman Twitter.

"Jujur saya tiada niat untuk pertikaikan populariti Ebby Yus melalui komen itu," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Azwan Shah, sebenarnya wujud insan-insan mulia yang mahu hulurkan bantuan tetapi dia berpandangan perkara sebegini tidak cukup dihebahkan kepada orang ramai.

"Selepas saya komen, tak sangka ada beberapa orang yang DM saya untuk menderma buah pinggang mereka dan saya akan rujuk dengan doktor dahulu berkaitan prosesnya," ujar Azwan yang berasal dari Tumpat, Kelantan.

Setiap pelajar kena buat pemeriksaan kesihatan di pusat kesihatan UTM selepas dua minggu masuk belajar dan dari situ, doktor mula kesan penyakit yang saya alami.

AZWAN SHAH

Pesakit buah pinggang

Azwan yang merupakan salah seorang pelajar jurusan TESL di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disahkan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang dua minggu selepas memulakan pengajiannya pada September 2017.

"Saya mula menghidap kegagalan kedua-dua buah pinggang masa mula-mula masuk universiti.

"Setiap pelajar kena buat pemeriksaan kesihatan di pusat kesihatan UTM selepas dua minggu masuk belajar dan dari situ, doktor mula kesan penyakit yang saya alami.

Mesin yang digunakan Azwan Shah untuk melakukan hemodialisis tiga kali seminggu.

"Jadi saya dihantar ke hospital Sultanah Aminah untuk buat ujian darah. Bila keputusan darah keluar selepas dua minggu, bacaan Creatinine pada tahap yang sangat tinggi dan memang tidak normal. Doktor kata kedua-dua pinggang saya gagal berfungsi," katanya.

Azwan yang selepas itu bergantung kepada ubat-ubatan selama setahun akhirnya membuat keputusan untuk melakukan hemodialisis tiga kali seminggu di pusat hemodialisis UTM.

"Pada mulanya doktor sarankan saya pilih buat Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) yang memudahkan saya untuk buat dialisis sendiri di rumah.

"Saya lalui empat pembedahan untuk CAPD di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan tetapi akhirnya terpaksa dibatalkan kerana wayar tidak boleh digunakan pada badan saya dan mempunyai komplikasi," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Menurut Azwan, dari situ dia sedar jalan terbaik untuk dirinya menjalani kehidupan normal adalah dengan mendapatkan buah pinggang baharu yang sudah tentu diperolehi daripada penderma.

Antara komen-komen yang memberi kata-kata semangat kepada Azwan.

Bercerita lanjut, Azwan berkata dia pernah bertanya kepada ahli keluarganya untuk menderma buah pinggang namun apabila difikirkan semula keadaan kesihatan ibunya yang semakin berumur, abangnya yang masih bekerja dan usia adiknya yang masih muda dia terpaksa menangguhkan hasrat tersebut.

Dalam pada itu, rata-rata netizen memberi kata-kata semangat kepada Azwan Shah dan mendoakan yang terbaik buat dirinya.

"Semoga dipermudahkan suatu hari nanti dan keep strong," komen salah seorang pengguna Twitter, @nrlizhrzk.

"Stay strong brother, semoga Allah kurangkan kesakitan itu," tulis @ohdamnitsjoe.

"Allah uji sebab Allah sayang. Moga Allah ganjarkan syurga buat awak dan ibu serta dipermudahkan segala urusan," komen @syfqhrazak.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain