suria

"Mama harap doktor tak buang buah pinggang Aryan" - Ibu kongsi derita anak hidap kanser

Maliq Aryan disahkan menghidapi kanser buah pinggang tahap tiga.

SEMANGATNYA sekuat makna namanya yang bermaksud 'memiliki kekuatan yang penuh'.

Begitulah kuatnya Maliq Aryan Ahmad Rafiq yang berusia satu tahun empat bulan melawan kanser buah pinggang tahap tiga.

Perkongsian ibunya, Nur Syafiqah Haspulah yang dimuat naik ke Facebook pada pagi Jumaat meruntun perasaan netizen kerana tersentuh dengan ujian yang menimpa si comel itu.

Pada usia semuda itu, Maliq Aryan terpaksa menjalani rawatan kemoterapi dan bakal menjalani pembedahan untuk membuang tumor pada buah pinggang kanannya.

Masih kecil, tapi ujian yang menimpa Maliq Aryan sungguh besar.

"Saya baru dapat tahu Aryan menghidap kanser awal bulan lepas selepas bawa dia dapatkan rawatan di hospital.

"Awalnya, saya ingat dia alami kembung biasa tapi pelik juga sebab bahagian kanan badannya macam keras. Saya dan suami sangat sedih hingga pada mulanya kami tidak dapat menerima berita ini.

"Mengikut kata doktor, buah pinggang kanan Aryan pun terpaksa dibuang sekali. Sebagai ibu saya masih berharap sangat-sangat agar buah pinggang Aryan dapat diselamatkan. Masih mengharap pada keajaiban tuhan," katanya kepada mStar Online.

Menurut suri rumah yang menetap di Semenyih itu, perasaannya lebih bercelaru apabila dimaklumkan hamil anak kedua semasa membawa Maliq Aryan ke hospital pada hari yang sama.

Tambahnya, dia dan suami langsung tidak menjangka anak sulung mereka mengalami penyakit serius memandangkan Maliq Aryan adalah seorang anak yang ceria.

Saya berharap sangat Aryan kuat seperti maksud namanya dan amat menghargai jika orang lain dapat mendoakan dia kembali sihat seperti dulu.

NUR SYAFIQAH

Sehingga kini bayi lelaki itu sudah melakukan empat kali kitaran rawatan kemoterapi sebelum dijadualkan menjalani pembedahan membuang tumor tersebut pada Khamis depan.

Kata Nur Syafiqah, doktor memaklumkan bahawa penyakit yang menimpa anaknya berlaku ke atas seorang daripada 10,000 kanak-kanak.

Pasangan itu juga tidak mempunyai saudara-mara yang menghidapi penyakit sama.

Surat pengesahan penyakit daripada pihak hospital.

"Saya berharap sangat Aryan kuat seperti maksud namanya dan amat menghargai jika orang lain dapat mendoakan dia kembali sihat seperti biasa.

"Semoga pembedahannya berjalan lancar dan dapat meneruskan rawatan kemoterapi selepas itu," ujarnya dalam nada sayu.

Mereka sekeluarga terpaksa berulang-alik dari Semenyih ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada setiap Jumaat sejak bulan lalu.

Kos rawatan pembedahan tersebut dianggarkan bernilai antara RM10,000 hingga RM15,000.

"Kami tiada duit sebanyak itu, kami amat menghargainya kalau ada yang sudi hulurkan sumbangan," kata Nur Syafiqah.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Maliq Aryan

Artikel Lain