suria

Terpaksa tukar feri elak terkandas di tengah laut, pengendali akui terlepas pandang insiden penumpang buka puasa

(kiri) Terminal Feri Kuah di Langkawi. Foto travel2langkawi.wordpress.com (kanan) Insiden penumpang feri terpaksa berbuka puasa di dalam feri. Foto Muhammad Nasir Abdul Kadir

INSIDEN penumpang feri yang terpaksa berbuka puasa di dalam feri ketika perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah pada Selasa akibat mengalami masalah teknikal mendapat perhatian ramai.

Semuanya gara-gara makanan dan minuman yang dijamah diberikan dan ditawarkan oleh penumpang-penumpang bukan Islam yang turut berdepan dengan kelewatan perjalanan ke destinasi.

Pelbagai pihak menyambut baik tindakan tersebut dengan menyifatkan ia langkah perikemanusiaan kerana menghormati penumpang Islam yang berpuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia agih sampai habis semua” - Feri rosak, coklat mahal penumpang Cina jadi 'korban' iftar, lelaki ini buktikan rasis sikap individu!

Pengendali operasi feri antara Langkawi dan Kuala Kedah serta Kuala Perlis, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengesahkan mengenai insiden pengangkutan air itu terpaksa berpatah balik ke Terminal Feri Kuah di Langkawi akibat masalah teknikal.

Bercakap kepada mStar, pegawai operasinya, Nurul Fakri Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden daripada kapten feri kira-kira pukul 6 petang.

Antara penumpang yang berbuka puasa di dalam feri.

Jelasnya, feri tersebut perlu berpatah balik bagi mengelak ia terkandas di tengah laut, lebih-lebih lagi keadaan semakin gelap dengan cuaca yang kurang baik.

“Demi keselamatan penumpang dan tidak mahu feri tersadai di tengah laut, pemindahan perlu dilakukan segera.

“Ketika kejadian, feri tersebut membawa 113 penumpang dan dipindahkan menggunakan feri yang lain di Terminal Feri Kuah,” katanya ketika dihubungi.

Demi keselamatan penumpang dan tidak mahu feri tersadai di tengah laut, pemindahan perlu dilakukan segera. Ketika kejadian, feri tersebut membawa 113 penumpang dan dipindahkan menggunakan feri yang lain di Terminal Feri Kuah

NURUL FAKRI AHMAD

Mengenai insiden yang tular, Nurul Fakri berkata, perkara tersebut di luar kawalan dan tidak dijangka berlaku menjelang waktu berbuka puasa.

Beliau turut memberitahu, waktu perjalanan terakhir feri dari Langkawi ke Kuala Kedah setiap hari sepanjang bulan Ramadan pada pukul 6.30 petang.

“Pemindahan menggunakan feri terakhir sepatutnya bertolak pada pukul 6.30 petang. Tetapi ia perlu menunggu feri yang bermasalah sampai ke Terminal Feri Kuah dahulu.

“Sebab itu, pemindahan terus dilakukan sebaik feri berkenaan tiba di terminal pada kira-kira pukul 7 petang, bagi melancarkan operasi dan perjalanan penumpang ke destinasi,” katanya.

Seorang penumpang yang menjadi perhatian kerana menggedarkan makanan kepada penumpang lain untuk berbuka puasa.

Menurut Nurul Fakri, perkhidmatan menjual makanan dan minuman dilakukan secara sampingan di dalam feri di bawah kendalian syarikat itu.

“Bagaimanapun, kami mengakui terlepas pandang berhubung kejadian yang berlaku menjelang iftar sehingga penumpang terpaksa berbuka puasa di dalam feri.

“Kami memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku dan akan menambah baik perkhidmatan untuk keselesaan penumpang pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu menerusi laman sosial, seorang penumpang menceritakan kejadian yang berlaku sehingga memaksanya bersama penumpang lain berbuka puasa di dalam feri.

mStar melaporkan penumpang tersebut, Muhammad Nasir Abdul Kadir memberitahu, dia tidak berpeluang untuk keluar sebentar ke terminal bagi membeli juadah berbuka puasa berikutan feri mahu berlepas selepas pemindahan penumpang dilakukan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain