“Itu sayalah”- ‘Barbie’ buat hal lagi, ramai ingat dirinya patung kek - Viral | mStar

“Itu sayalah”- ‘Barbie’ buat hal lagi, ramai ingat dirinya patung kek

Tindakan Izubiela memuat naik gambarnya di Instagram telah disalah anggap sebagai patung perhiasan kek. Foto Instagram @izubielazaffmarekan

JIKA sebelum ini usahawan kosmetik muda Izubiela pernah tular kerana berkunjung ke Pasar Awam Taman Tun Dr Ismail dengan penampilan seperti patung Barbie namun kali ini lain pula ceritanya!

Sejak Sabtu lalu, Izubiela kembali menjadi bualan netizen di laman Instagram dan Facebook apabila gambar terbaharunya yang mengenakan 'ball gown skirt' disangka sebagai patung untuk perhiasan kek.

Bergaya dalam persalinan gaun hijau zamrud, ramai melahirkan rasa kagum dengan gambar tersebut yang persis patung Barbie lengkap berambut 'blonde' sehingga percaya ia adalah patung perhiasan yang kebiasaannya diletakkan di atas kek.

Menjelaskan mengenai perkara itu kepada mStar Online, Izubiela berkata gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya itu bukanlah patung seperti disangka tetapi ia adalah dirinya ketika menjalani penggambaran untuk sebuah akhbar baru-baru ini.

Izubiela menerima mesej peribadi daripada pengikutnya selepas gambarnya tular. 

ARTIKEL BERKAITAN: 'Barbie' masuk pasar punya hal, tiba-tiba atuk nak bergambar...yang langgar rak jualan pun ada

Lebih melucukan, dia turut menerima pelbagai mesej peribadi (DM) daripada pengikutnya yang mahu membuat tempahan patung tersebut untuk majlis hari jadi termasuk perkahwinan.

"Itu sayalah bukan patung! Tapi memang ramai menyangka ia adalah patung perhiasan kek sampai ada yang DM saya untuk buat tempahan.

"Lucu juga apabila orang kata patung tetapi saya sendiri pun tak sangka tindakan saya muat naik gambar itu sampai jadi tular di Facebook dan Twitter," ujarnya yang mengusahkan produk kecantikan Putih Gebu Dbella dan Susuk 1 Juta Skincare.

Dalam pada itu, Izubiela tidak menafikan penularan gambar itu memberi impak kepada perniagaan diusahakannya sebagai salah satu bentuk promosi produk dan dirinya kepada umum.

Antara komen ditinggalkan netizen.

Malah katanya, walaupun tidak pernah melabel dirinya sebagai figura Barbie namun penerimaan masyarakat terhadap imej tersebut membuatkan dia mengambil keputusan untuk mengekalkan personaliti itu.

"Saya sebenarnya tak minat pun dengan Barbie malah tiada koleksi patung popular itu tetapi apabila orang ramai mula mengaitkan saya dengan figura itu saya OK sahaja.

"Malah ia sudah jadi sebahagian daripada diri saya kerana ke mana sahaja saya pergi orang akan panggil saya Barbie.

"Jadi saya rasa tidak salah untuk saya kekalkan imej dan personaliti itu dalam memperkenalkan diri dan produk saya kepada pelanggan," katanya.

Izubiela akan kekalkan imej sebagai Barbie.

Pun begitu kata Izubiela, dia mengakui kos untuk mengekalkan imej Barbie bukan semurah yang disangka kerana ia memerlukan penelitian dari semua segi termasuk penjagaan rambut, wajah, solekan termasuk pakaian.

Namun katanya, dia tidak lokek dalam berbelanja bagi mengekalkan imejnya itu kerana sebagai wanita dia memang gemar berfesyen selain sentiasa tampil cantik apabila di khalayak.

"Kos memang tinggi sebab nak jaga rambut, solekan terutamanya baju yang perlu saya tempah kerana seperti patung Barbie fesyen yang digayakan sentiasa luar biasa dan lain daripada lain.

"Tetapi tidak mengapa kerana ia turut memberi kepuasan peribadi kepada saya kerana sebagai wanita saya memang suka benda yang cantik," katanya.

Barbie , Izubiela

Artikel Lain