suria

Gadis resah duit misteri masuk akaun... Pemiliknya berpeluh duit ‘last kopek’ lesap, minyak kereta kering

Shiffa membuat posting berhubung misteri wang yang masuk ke akaunnya pada petang Khamis lalu. Foto ihsan Nurul Shiffa Mohamad Jafary.

SEORANG pemuda meluahkan rasa terharu dengan kejujuran seorang gadis yang berusaha keras mencarinya di Twitter gara-gara wang RM30 yang tersilap masuk ke dalam akaun bank miliknya baru-baru ini.

Menurut Muhammad Nabil Fitri Zulazli, dia tidak menduga gadis tersebut, Nurul Shiffa Mohamad Jafary sanggup meminta pertolongan netizen untuk menjejakinya agar wang itu dapat dikembalikan semula kepadanya.

"Terima kasih kerana mencari saya. Saya memang tak sangka ada lagi orang jujur macam Shiffa sebab wang RM30 pun dia nak pulangkan. Kalau saya sendiri pun tak tahu kalau ada orang tersalah transfer dekat akaun saya.

"Mungkin saya rasa itu rezeki dia (Shiffa), tapi dia nak pulangkan juga. Jadi saya memang terkejut sebab saya dah tak fikir dah pasal perkara itu," katanya kepada mStar Online.

Jelas pemuda berusia 22 tahun itu, dia mengetahui Shiffa sedang menjejakinya selepas dimaklumkan seorang rakannya petang Sabtu.

"Saya dapat tahu kira-kira pukul 5 lebih petang semalam (Sabtu). Kawan saya tag dekat Twitter. Jadi saya pun terus DM (direct message) Shiffa.

"Sebenarnya saya dah tahu duit tu tersilap transfer pada petang Khamis lalu. Saya dah hubungi pegawai khidmat pelanggan bank RHB dan CIMB tapi prosedur agak rumit. Jadi saya dah malas nak fikir," katanya.

Muhammad Nabil Fitri Zulazli.

Muhammad Nabil Fitri atau lebih mesra disapa Nabil berkata wang tersebut adalah baki simpanan yang tinggal sementara menunggu gaji pada hujung bulan.

"Sebenarnya waktu tu memang tengah kering. Nak balik kerja tapi dalam bank CIMB kurang duit. Jadi saya transfer online dari bank RHB ke CIMB memandangkan saya dah dekat depan bank CIMB.

"Kononnya nak elak kena tax RM1 tapi akhirnya tersalah transfer. Saya rasa cuai teruk sebab duit tu yang saya ada nak buat beli minyak kereta. Saya reda je dan terus balik rumah," katanya.

Nabil yang tinggal dekat Rawang, Selangor berkata dia hanya mampu berdoa agar perjalanannya balik ke rumah dalam keadaan minyak kereta berkelip-kelip dipermudahkan.

Kononnya nak elak kena tax RM1 tapi akhirnya tersalah transfer. Saya rasa cuai teruk sebab duit tu yang saya ada nak buat beli minyak kereta. Saya reda je dan terus balik rumah.

Muhammad Nabil Fitri Zulazli.

"Saya tak dapat nak isi minyak sebab dah tak ada duit. Minyak dah 'senyum' dan kelip-kelip. Saya kerja di Petaling Jaya dan tinggal di Sungai Buaya, Rawang.

"Saya tawakal sahaja. Jalan sesak dan Alhamdulillah saya berjaya sampai rumah. Waktu tu memang berpeluh-peluh walaupun tengah hujan lebat," katanya.

Bagaimanapun Nabil menghalalkan wang itu kepada Shiffa sebagai tanda terima kasih di atas kejujurannya.

"Saya rasa serba salah pula sebab dia kata tak boleh tidur fikir pasal tu duit. Jadi saya halalkan duit tersebut.

"Saya anggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Mungkin rezeki saya yang sikit itu nak dikongsi dengan orang lain," katanya yang turut menerima wang Bantuan Sara Hidup Rakyat pada malam Khamis lalu.

Shiffa 'menghadiahkan' wang misteri itu kepada individu yang amat memerlukan.

Sementara itu, Nurul Shiffa atau mesra disapa Shiffa lega apabila tuan punya duit tersebut sudah ditemui.

"Alhamdulillah saya rasa lega sangat-sangat. Sebelum tu susah nak tidur sebab tiba-tiba ada duit misteri masuk. Jadi saya kerap periksa notifikasi dan DM.

"Saya juga buat carian nama dia dekat Facebook tapi ramai betul nama Nabil Fitri. Jadi saya fokus cari dekat Twitter sahaja. Tak sangka dengan kuasa retweet akhirnya terus jumpa," katanya.

Nurul Shiffa yang berkerja di sebuah syarikat perkomputeran di Batu Kawan, Pulau Pinang tekad mencari Nabil kerana bimbang jika wang tersebut amat diperlukannya.

"Kita boleh fikir dengan logik akal. Jika ia bukan wang anda jangan ambil. Tidak kira berapa nilai wang itu jadi pulangkanlah.

"Walaupun jumlahnya kecil tapi bagi orang yang amat memerlukannya, ia amat bernilai. Saya risau sebab saya tahu bagaimana rasa bila tak ada duit," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Shiffa, bank, duit, ATM, Nabil Fitri

Artikel Lain