suria

"Tak sistematik, orang main masuk macam lembu" - Penonton AJL33 luah rasa tak puas hati

BELUM pun habis bahang kehangatan Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) yang berlangsung pada Ahad malam, seorang individu tampil mempertikaikan harga tiket dan tempat duduknya ketika menyaksikan acara itu.

Menerusi laman Twitter, kata Aszlizan Ali Shamsudin, tiket berharga RM55 itu disifatkan tidak berbaloi kerana pandangannya terhalang sewaktu acara yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Haram’ juara AJL33, Hael Husaini dan Ezra Kong rangkul anugerah dua tahun berturut-turut

Bercerita kepada mStar Online, lelaki berusia 34 tahun yang mesra disapa Zizan itu mengakui kecewa apabila sistem pengurusan tiket yang tidak sistematik menyebabkan dia dan rakannya tidak dapat menikmati sepenuhnya persembahan pada malam itu.

AJL 33 menyaksikan koloborasi Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah diangkat sebagai juara.

"Di tempat duduk saya, pandangan terhalang dengan binaan tiang besi. Ia dialihkan selepas persembahan pembukaan, tetapi ada petugas keselamatan pula yang berdiri di situ.

"Saya terpaksa jerit beberapa kali, baru mereka bergerak. Memang rasa hilang mood, rasa macam nak balik.

"Apabila beli tiket, kami expect dapat view yang bagus. Kami beratur pun dari pukul 5 lagi, " ujar Zizan sewaktu dihubungi pada Isnin.

Menurut Zizan, dia juga terpisah dengan beberapa rakannya kerana tempat duduk yang kosong adalah terhad.

Selain pandangan yang terhalang, Zizan turut mempertikaikan pengurusan acara itu sehingga berlaku kesesakan sebelum acara bermula.

"Sangat tidak sistematik, orang main masuk macam lembu, ramai yang potong barisan sebab tiada petugas yang jaga.

"Barisan pun dah macam ular, orang ramai tolak-menolak untuk masuk disebabkan hujan sebelum acara itu.

"Apabila masuk, tempat duduk pula tiada sehingga berpecah dengan kawan-kawan. Kita datang berkumpulan sebab nak raikan sama-sama," ujarnya.

Posting Zizan yang mempertikaikan tiket berharga RM55 menerusi laman Twitter berikutan pandangannya yang terhalang sewaktu acara itu.

Dalam pada itu, Zizan turut memberi cadangan agar pihak AJL menyediakan tiket bernombor pada edisi penganjuran akan datang supaya perkara sebegini tidak berulang.

"Dah lebih lima kali saya datang tengok AJL, tapi sebelum ini tiket percuma. Kali ni saya expect lebih baik sebab dah bayar.

"Kalau tahu macam ni, saya akan beli tiket yang lebih murah untuk tengok dari aras atas," ujarnya lagi.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif AJL 33, Nurhul Huda Khalid sewaktu dihubungi mengesahkan akan mengambil maklum mengenai aduan itu.

Piihaknya juga akan membuat post-mortem untuk mengenal pasti beberapa kelemahan berikutan ia kali pertama mereka memperkenalkan penjualan tiket untuk acara itu.

"Binaan tiang itu untuk persembahan pembukaan Search sahaja, semua orang pun terhalang. Selepas itu kita terus buka.

"Kami dah cuba yang terbaik semalam, belum post-mortem lagi, tapi kami akan ambil berat pandangan itu.

"Berhubung sistem tiket dan tempat duduk yang tak sistematik, ia kali pertama kami jual tiket. InsyaAllah cadangan tiket bernombor itu akan dipertimbangkan untuk tahun depan," ujarnya lagi.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain