suria

Cinta abadi, isteri 'ikut' suami selang dua jam

Bera dan isterinya meninggal bersama selang dua jam.

SIMPANG RENGGAM: Sepasang suami isteri di Kampung Chokro, di sini, hidup mati bersama selepas meninggal dunia dalam tempoh selang dua jam, awal pagi Jumaat.

Pada mulanya, Bera Madiran yang merupakan imam Masjid Jamek Simpang Renggam, di sini, ditemui meninggal dunia oleh isterinya, Maimunah Dariman kira-kira jam 4.30 pagi ketika dia bangun untuk bersiap menunaikan solat Subuh.

Menurut perkongsian di dalam laman sosial Facebook Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), selepas memberitahu anaknya tentang kematian Bera, Maimunah menemani jenazah suaminya di bilik tidur mereka sebelum dia ditemui turut meninggal dunia oleh anak lelakinya pada pukul 6.30 pagi.

Ahli SPJM Simpang Renggam, Shahrul Aqmal berkata, selepas menyedari suaminya meninggal, Maimunah memaklumkan kepada dua anaknya yang kemudian membuat persiapan dan menghubungi saudara mereka, manakala Maimunah menemani jenazah suaminya.

"Bagaimanapun, anaknya yang memasuki semula bilik itu mendapati Maimunah yang menghidap kanser limfoma dan baharu sahaja menjalani kemoterapi turut meninggal dunia di sisi bapa mereka kira-kira pukul 6.30 pagi.

"Kematian Bera mengejutkan kerana sebelum itu, dia sempat memimpin solat Jumaat, Maghrib dan Isyak di Masjid Jamek Simpang Renggam semalam (kelmarin) dan sebelum menjadi imam, arwah merupakan seorang pesara guru di Simpang Renggam," katanya.

Menurutnya, jenazah pasangan suami isteri itu juga turut dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Berumbung, di sini, kira-kira pukul 10.30 pagi, Jumaat. - Sinar Harian

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
meninggal dunia, suami isteri

Artikel Lain