suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Bekas menteri agama direman 5 hari isu skandal pajakan hotel Arab Saudi

Bekas menteri dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman isu siasatan Tabung Haji pada Rabu. -Foto Bernama

SEORANG bekas menteri direman selama lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan isu pajakan hotel di Arab Saudi.

Siasatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa perkara yang dibangkitkan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan SPRM dibenarkan di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Terdahulu, suspek yang difahamkan memegang portfolio menteri agama ditahan kira-kira pukul 4.30 petang Selasa ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana disyaki meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau ganjaran dalam sesuatu urusan.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, mengikut Seksyen 24 akta sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Tabung Haji makin panas... Giliran bekas menteri dalam lingkungan 60-an pula ditahan SPRM!

Susulan perkembangan terbaharu berkenaan, sekurang-kurangnya 17 individu ditahan SPRM secara berperingkat sejak siasatan terhadap dapatan RCI Tabung Haji dimulakan pada awal Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 10 individu direman termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, bekas Pengerusi TH, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta beberapa pegawai kanan dan individu korporat.

SPRM sebelum ini memaklumkan sebanyak 14 kertas siasatan dibuka, selain 28 premis diperiksa dan digeledah.

Pada masa sama, sekurang-kurangnya 115 saksi turut dipanggil untuk ditemu bual serta dirakam keterangan.

Untuk rekod, RCI berhubung TH ditubuhkan bagi meneliti aspek pengurusan dan operasi institusi berkenaan, termasuk dakwaan berkaitan kedudukan kewangan, tadbir urus serta keputusan pelaburan.

Dapatan dan syor hasil siasatan RCI itu kemudiannya dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

Artikel Lain