suria

Siti Bainun curi tumpuan di mahkamah, kelihatan makin ‘slim’ selepas 6 bulan dipenjara

Kelibat Siti Bainun yang semakin kurus (kanan) mencuri tumpuan ramai ketika hadir di mahkamah pada Selasa.

KELIBAT pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mencuri perhatian ramai ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi Selasa, apabila dia dilihat semakin kurus.

Siti Bainun yang hadir untuk pendengaran rayuan bagi pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella, difahamkan mengalami penurunan berat badan kepada 90 kilogram (kg), berbanding 150kg ketika mula dipenjara, 3 Mei lalu.

Ini bermakna, wanita berusia 31 tahun itu mengalami penyusutan berat sehingga 60kg dalam tempoh enam bulan.

Dia yang memakai jubah rona merah jambu, dibawa ke mahkamah dengan diiringi anggota penjara.

Untuk rekod, pada 3 Mei lalu, Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera Bella: Siti Bainun dipenjara 12 tahun

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan wanita itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Aslam tak mampu poligami - Abby Abadi