suria

Mak ayah amuk anak didera, pergi bantai pengasuh berkali-kali! ‘Tukang’ lerai pergaduhan pun kena lempang

Video bapa kanak-kanak itu mengasari pengasuh tular di media sosial.

VIDEO memaparkan seorang kanak-kanak lelaki didera di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Luyang, Penampang, Sabah kecoh diperkatakan netizen sejak Rabu.

Terbaharu, tular pula satu video memaparkan seorang lelaki yang hilang sabar dan bertindak kasar ke atas pengasuh wanita itu yang didakwa mendera anaknya.

Menerusi video yang tersebar pada Khamis, lelaki itu dilihat sedang memarahi pengasuh berkenaan sebelum bertindak menampar wajah dan menunjal kepalanya berkali-kali.

Dalam satu video berasingan, ibu kepada kanak-kanak berkenaan turut dilihat memukul dan memarahi pengasuh tersebut.

Kejadian itu turut disaksikan isteri dan anaknya serta individu lain dipercayai staf-staf taska.

Seorang lagi staf yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut terkena tempias amarah lelaki itu apabila dia turut dilempang.

deraaa

Ibu kepada kanak-kanak itu turut mengasari pengasuh berkenaan.

"Pengasuh perempuan yang sepak budak kecil tu dah kena tempeleng dengan parents budak tu. Tapi kesian auntie yang leraikan gaduh tu pun kena tampar juga," tulis pengendali Twitter @MalaysiaViralll.

Susulan kejadian itu, pengusaha dan pengasuh taska berkenaan turut bertindak membuat laporan kepada pihak polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu meraung, luluh hati tengok anak didera pengasuh taska! Dah tendang dan tarik rambut, dipukul pula dengan buku

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis mengenai kejadian itu.

Jelasnya, selain laporan polis daripada ibu mangsa, pengusaha dan pengasuh taska (suspek) turut membuat laporan dan mendakwa dikasari oleh bapa kanak-kanak terbabit.

"Mangsa kanak-kanak dan suspek dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk pemeriksaan doktor.

"Setakat ini, dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikuti Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan" katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Untuk rekod, video memaparkan kanak-kanak itu dikasari oleh pengasuh mula tersebar pada Rabu.

Dalam video itu, pelaku dilihat sedang mengagihkan makanan namun bertindak menendang, menarik rambut, menolak dan memukul kepala seorang kanak-kanak dengan menggunakan buku di taska berkenaan.

Rakaman berdurasi 2 minit 12 saat itu kemudian dipercayai ditonton oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan menyebabkan kedua-duanya berang dengan perbuatan individu terbabit.

Malah perbuatan memukul kanak-kanak tersebut dilakukan secara berulang kali menyebabkan ibu kanak-kanak itu tidak dapat menahan kesedihannya sehingga menyebut 'kasihan anak saya' sambil meraung.

Ibu kanak-kanak terbabit dipercayai merakam video berkenaan untuk dijadikan bukti dalam laporan polis mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain