suria

Kekayaan 50 individu di Malaysia makin meningkat, Robert Kuok kekal individu terkaya - Forbes Asia

Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia.

TAIKUN dalam senarai 50 Terkaya Malaysia Forbes 2023 menyaksikan kekayaan gabungan mereka meningkat kepada AS$81.6 bilion (RM376.3 bilion) dari AS$80.5 bilion (RM371.2 bilion) setahun lalu.

Peningkatan kecil sebanyak 1.4 peratus dalam kekayaan kolektif mereka tetap berlaku walaupun terdapat penurunan dalam pasaran saham dan nilai ringgit.

Secara keseluruhan, 19 kekayaan meningkat manakala hampir separuh yang lain turun, menurut kenyataan Forbes Asia.

Forbes Asia berkata, walaupun Malaysia mengalami kebangkitan pasca-pandemik, pasaran saham jatuh lapan peratus, dan ringgit turun hampir dua peratus sejak kekayaan mereka diukur untuk kali terakhir.

Pengasas Kumpulan Kuok, Robert Kuok memegang gelaran sebagai orang terkaya di Malaysia, yang mana gelaran itu dipegangnya selama lebih suku abad.

Kuok, yang memperoleh untung terbesar dari segi dolar tahun ini, adalah seorang daripada hanya dua orang dalam senarai dengan kekayaan dua digit AS$11.8 bilion (RM54.4 bilion), meningkat dari AS$11 bilion (RM50.7 bilion) tahun lepas.

Seorang lagi ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan, yang kekal sebagai individu kedua terkaya, dengan kekayaan bernilai AS$10.2 bilion (RM47 bilion), meningkat dari AS$10.1 bilion (RM46.6 bilion) tahun lepas.

Tokoh logam Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya kekal di tempat ketiga, dengan kekayaan gabungan AS$5.8 bilion (RM26.7 bilion), turun hampir tujuh peratus dari AS$6.2 bilion (RM28.6 bilion) tahun lepas.

Ini sejajar dengan kejatuhan harga saham syarikat mereka, Press Metal Aluminium Holdings Bhd, pengeluar aluminium bersepadu terbesar di Asia Tenggara.

Mengambil tempat keempat ialah T Ananda Krishnan dari Maxis Bhd, yang nilai bersihnya meningkat AS$400 juta (RM1.8 bilion) kepada AS$5.4 bilion (RM24.9 bilion).

Forbes Asia menyatakan bahawa antara yang untung besar dalam senarai tahun ini ialah gandingan bapa dan anak, Tan Sri Yaw Teck Seng dan Datuk Seri Yaw Chee Ming, yang mengawal gergasi kayu Sarawak Samling Group.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 Rakyat Malaysia Tersenarai Individu Paling Kaya Di Dunia

Mereka melonjak ke nombor 16 dari kedudukan 32 tahun lepas kerana kekayaan meningkat lebih dari dua kali ganda kepada AS$1.25 bilion (RM5.8 bilion) atas maklumat baharu mengenai aset persendirian mereka.

Bekas guru Matematik Chia Song Kun yang kini pengerusi eksekutif firma makanan laut keluarganya, QL Resources Bhd, kembali ke kedudukan ke-10 dengan nilai bersih AS$1.8 bilion (RM8.3 bilion) selepas jurang tujuh tahun.

Ini didorong oleh kenaikan hampir 20 peratus dalam saham syarikat dan kemasukan kepentingan keluarganya yang lebih luas.

Sementara itu, Forbes Asia menyatakan bahawa dua taikun swasta yang disokong ekuiti mendapat rangsangan daripada urus niaga penting.

Pengasas penyedia perkhidmatan pengebumian Nirvana Asia Group, Tan Sri David Kong Hon Kong menduduki tempat ke-23, dengan nilai bersih AS$860 juta (RM4 bilion), selepas rangsangan daripada penjualan yang dicadangkan oleh firma ekuiti swasta CVC Capital Partners pegangan pada anggaran penilaian AS$2 bilion (RM9.2 bilion).

Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, yang mengendalikan Weststar Aviation Services Sdn Bhd armada helikopter perkhidmatan luar pesisir kedua terbesar di Asia-Pasifik, membeli balik 21 peratus kepentingan firma pelaburan KKR & Co Inc, dan kini berada di kedudukan nombor 24 terkaya, dengan nilai bersih dianggarkan AS$825 juta (RM3.8 bilion), meningkat 27 peratus dari tahun lepas.

Menurut Forbes Asia, lima muka baharu dalam senarai 50 Terkaya Malaysia tahun ini termasuk taikun hartanah Datuk Seri Chiau Beng Teik, Pengasas Chin Hin Kumpulan, di nombor 29 dengan nilai bersih AS$665 juta (RM3.1 bilion); dan Datuk Dr Yu Kuan Chon, seorang doktor perubatan, yang mengendalikan YNH Property Bhd milik keluarganya, di nombor 39 dengan AS$430 juta (RM2 bilion).

Pendatang baharu lain ialah Datuk Ong Soon Ho, Pengasas Kumpulan Agrokimia Hextar Global Bhd, di nombor 32 dengan AS$630 juta (RM2.9 bilion); dan Goh Nan Kioh, yang memiliki firma pelaburan Mega First Corp Bhd dan mempunyai kepentingan dalam D&O Green Technologies Bhd, yang membuat diod pemancar cahaya untuk sektor automotif di nombor 40 dengan AS$425 juta (RM1.9 bilion).

Forbes Asia berkata, kekayaan mendiang Tan Sri Teh Hong Piow, seorang jurubank veteran dan pengasas Public Bank Bhd, yang meninggal dunia pada Disember 2022, kini disenaraikan di bawah anak-anaknya, adik-beradik Teh. Mereka menduduki tempat kelima terkaya, dengan AS$5.2 bilion (RM24 bilion).

Mala, Forbes Asia berkata ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana tahun ini, selepas mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 8.7 peratus pada 2022 berikutan pemulihan dalam perbelanjaan pengguna domestik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain